Sesekali mesej yang cuba disampaikan oleh pelakon di atas pentas itu kelihatan begitu didaktik, bagai seorang pengkhutbah yang bersyarah tentang dosa dan pahala. Dan bukan sekali dua pula idea yang dilontarkan itu berbaur klise.

Ia sebenarnya bergantung kepada nawaitu penonton. Jika datang ke Panggung Sari itu untuk bergembira, kemungkinan besar mereka akan menemuinya dengan mudah.

Ini boleh diumpamakan seseorang pergi ke kuliah - jika matlamatnya untuk belajar, akan ada ilmu yang tersimpan di dada, tetapi jika sebaliknya, faham-faham sahajalah.

Apa cuba dikatakan di sini adalah, teater Mak Cun sarat dengan 'propaganda', namun agak bijak disembunyikan, malah disampaikan dengan cara bersahaja menerusi humor.

Tetapi terkadang, usaha untuk menghiburkan sambil memberi pengajaran itu dilihat terlalu berlebihan pula.

Dan dari situ, terpulanglah kepada penonton untuk bijak menilai, malah menerapkan pembelajaran tadi.

Itu yang berlaku apabila ada pelakon dilihat terlalu ghairah dan teruja terlampau di atas pentas ketika membawakan watak masing-masing.

Namun di mata pengarah Mak Cun - Erma Fatima - ia mungkin tidak salah dan barangkali begitu caranya untuk ‘mengajar.’

Janggal boleh dimaafkan

Siapakah yang membawa watak itu?

Dia adalah Atul (Balkisyh Semundur Khan) - anak kepada Mak Cun (Erma Fatima) - yang hidup di sebuah kampung di Kodiang, Kedah.

Mak Cun seorang ibu berusia 50-an yang kematian suami tetapi gigih mahu mengembangkan perniagaan bedak sejuknya sehingga ke serata dunia.

Masalahnya ialah, Balkisyh, 29, seakan bergelut untuk menjadikan dirinya orang Kodiang namun pada ketika tertentu dia lebih menjadi orang Pulau Pinang.

Cuma, melihat kepada latar belakangnya yang berasal dari Sabah, kejanggalan itu rasanya boleh dimaafkan.

Gandingan dua pelakon baru untuk watak Haidar (Ungku Ismail Aziz) dan Meor (Dafi) sebagai pegawai agensi kerajaan pula sekadar "boleh-lah".

Untuk berlaku adil, ulasan ini dibuat pada hari keempat teater Mak Cun di Istana Budaya dan pementasan itu berlangsung tanpa kehadiran dua pelakon terkenal lain, iaitu Nora Danish dan Ogy Ahmad Daud.

Namun, sekalung tahniah wajar diucapkan kepada Erma kerana, bukan saja dia berjaya sebagai pengarah, malah sebagai pelakon yang bijak menyesuaikan lakonan pada setiap babak.

Susah diubah

Nak tahu antara babak itu? Misalnya, tatkala ikatan kain batik dipakai Erma tiba-tiba terungkai dan hampir terlucut.

Saat itu dipenuhi gelak tawa dan jeritan penonton kerana mereka seakan sudah boleh membayangkan seandainya kain batik itu benar-benar tertanggal.

Tetapi, apa yang diimaginasikan penonton tidak berlaku, kerana sudah semestinya semua pelakon yang memakai kain batik turut memakai legging sebagai langkah berhati-hati supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Kembali menyentuh aspek didaktik seperti disebut tadi - siapakah sesuai menegur orang Melayu kalau bukan Melayu?

Dalam realiti, budaya dan kelaziman sesetengah orang Melayu begitulah - tidak serik dan sudah diubah. Sebagai contoh, babak tiga wanita kampung baru pulang dari sembahyang disapa oleh Zeenat Manisa (Umie Aida).

Seakan tidak menyedari pakaian sembahyang itu masih melekat di badan, ketiga-tiganya seronok mendengar umpatan Manisa.

Ternyata kejahatan Manisa bukan setakat itu saja. Dia juga tergamak membomohkan orang untuk memuaskan keinginannya - satu lagi ciri yang memang banyak diamalkan orang Melayu.

Bukan itu saja babak yang menyentuh kritikan sosial terhadap masyarakat dalam Mak Cun . Banyak, tetapi boleh dikatakan semuanya mahu menyampaikan mesej bahawa Melayu tidak akan berhenti berdengki. Itulah Manisa.

Mak Cun pula tetap manusia biasa. Sebagai ibu tunggal dia tetap gigih mahu menjayakan produk bedak sejuknya walaupun berdepan dengan orang kampung - termasuk Manisa - yang menduga kesabarannya.

Pada suatu ketika Mak Cun 'tewas' juga oleh perasaannya.

Satu lagi aspek yang menarik ialah kesan dibawa pelakon veteran Datuk Rahim Razali. Walaupun loghat Kedahnya tidak benar-benar meyakinkan, penghayatan beliau sebagai Pak Akob memang memuaskan.

Jika anda belum menonton Mak Cun , pergilah. Masih ada peluang malam ini, esok atau Ahad sebelum pementasan ini berakhir.