Aksi menentang Korea Selatan pada saingan suku akhir esok amat penting kerana ia merupakan perlawanan penentuan bagi pasukan negara mendapatkan tiket bagi melangkah ke Kejohanan Hoki Remaja Piala Dunia.

Bagaimanapun jurulatih Malaysia, A Arulselvaraj berkata, ia bukan satu tekananan, malah berjanji anak buahnya akan mempamerkan persembahan terbaik bagi meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia 2015.

"Kami tidak rasa tekanan berhadapan Korea Selatan dan menganggapnya seperti perlawanan-perlawanan biasa. Namun ini merupakan misi hidup atau mati dan pemain saya kini sudah bersedia untuk menentang Korea," katanya di sidang media di Hotel Grand Continental, di Kuantan, Pahang hari ini.

Beliau berkata aksi esok juga bakal menentukan hala tuju pasukan remaja yang dibimbing, selain kerjayanya.

"Saya tidak memikirkan tentang kerjaya tetapi lebih fokus untuk melatih pemain remaja kita agar lebih ke hadapan.

"Kini kami telah sampai ke tahap lebih penting dan perlu mencapai sasaran untuk menang," katanya.

Beliau berkata menentang sebuah pasukan yang kuat seperti Korea Selatan di peringkat suku akhir bukanlah satu pilihan yang baik tetapi pasukannya pasti akan turun dengan mempamerkan permainan bijak dan tangkas.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Jang Jung Min berkata perlawanan esok diramal sukar kerana Malaysia merupakan sebuah pasukan yang kuat.

"Skuad Malaysia amat kuat kerana mereka memiliki pemain remaja yang lebih baik dari segi teknikal dan skil individu.

"Majoriti pemain kami pula kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.

"Apa yang perlu dilakukan ialah menguatkan pertahanan dan kami mungkin hanya memiliki peluang kecil untuk menang," katanya.

Beliau berkata pemain Korea Selatan juga menghadapi cabaran bermain di hadapan penonton tuan rumah yang ramai, namun merupakan medan terbaik buat mereka untuk menimba pengalaman.

- Bernama