Serangan pengganas di Paris menimbulkan simpati dunia, termasuk seorang pelukis grafik Jean Jullien.

Dengan sentuhannya, tragedi itu akan dikenang secara 'istimewa' melalui simbol penyatuan yang menjadi viral di kalangan pengguna alam maya.

Lukisan yang dihasilkan dengan lakaran tangan itu menggabungkan simbol keamanan dengan bangunan ikonik Paris iaitu Menara Eiffel.

Simbol berwarna hitam disiarkan dalam Instagram dan Twitter bermula semalam bersama ungkapan “Peace for Paris.”

Peace for Paris pic.twitter.com/ryf6XB2d80

— jean jullien (@jean_jullien) November 13, 2015

Sebaik dimuat naik, jumlah pengguna yang berkongsi simbol itu meningkat dari semasa ke semasa.

Sehingga tengah hari tadi, ia mendapat 146,000 like dan 2,938 komen menerusi Instagram.

Seorang daripada pengguna Instagram, zhanee_tabuga memuatnaik komen yang menyatakan betapa sedihnya dia dengan insiden yang berlaku.

“Saya begitu sedih Paris diserang dan bagaimana 'kota raya cinta' boleh berada dalam perang ketika ini?

“Kita akan dapat mengatasi hal ini bersama. Kami sokong dan berdoa untuk kamu (Paris) dan saya berharap kita akan mencapai keamanan di Paris,” katanya.

Selain dikenali sebagai ibu negara Perancis, Paris juga digelar kota raya cinta.

Di Twitter pula, ia diulang tweet sehingga lebih 54,000 kali dan mendapat lebih 38,000 favourite.

Bagi pengguna di Facebook pula, orang ramai mengubah imej yang digunakan pada avatar mereka yang mempamerkan warna bendera Paris.

Setakat ini polis mengesahkan sekurang-kurangnya 120 orang maut dan 200 cedera dalam serangan yang membabitkan letupan di beberapa lokasi di Paris itu.

I am devastated by what just happened in France. #CharlieHebdo pic.twitter.com/IxEbScqYFh

— jean jullien (@jean_jullien) January 7, 2015

Sekumpulan pengganas menyerang restoran La Casa Nostra , bar Belle Equipe, dewan konsert Bataclan, stadium bola sepak Stade de France dan beberapa lokasi di bandar raya Paris.

Jullien yang berasal dari Nantes dan menetap di London mula melakar nama menerusi pelbagai ilustrasi humor dan projek termasuk video dan rekaan kostum.

Dia tidak gentar untuk berdepan dengan isu politik mahupun sosial dengan menghasilkan karya grafik terhadap peristiwa yang berlaku.

Antaranya seperti rusuhan di Ferguson tahun lalu dan tembakan di pejabat majalah satira Charlie Hebdo Januari lalu.