Mencari penyanyi yang mampu membawakan sesebuah lagu lebih sedap didendangkan daripada penyanyi asal - itu antara matlamat diinginkan Datuk Ramli Sarip menerusi program realiti televisyen Rockers.

Menurut Ramli, dia percaya dengan adanya komitmen dan platform disediakan oleh KRU Studios Sdn Bhd (KRU Studios), bakat peserta boleh diketengahkan dengan sebaiknya.

Memetik contoh lagu Wild World, Ramli berkata ( gambar ), ia mungkin kedengaran biasa saja apabila didendangkan Cat Stevens namun ia menjadi lebih menarik apabila dibawa penyanyi lain seperti Mr Big.

“Kami nampak keadaan itu boleh berlaku di sini kerana KRU Studios sememangnya mempunyai produksi sendiri dan ia tidak menjadi masalah,” katanya di sidang media mengenai program itu di Cyberjaya hari ini.

Turut hadir, beberapa selebriti yang terbabit secara langsung dalam program berkenaan iaitu Tam Spider, Sofi Jikan dan Hunny Madu.

Menurut penyanyi digelar Papa Rock itu, untuk membolehkan keinginan seumpama itu tercapai pihaknya akan memastikan setiap peserta Rockers boleh benar-benar 'sebati' dengan lagu yang diberikan.

Tujuannya - supaya lagu berkenaan boleh dipersembahkan dengan baik.

“Saya kena sukakan lagu itu, baru mereka akan suka dan saya percaya mereka akan menggemarinya.

“Saya tidak akan memberi sesuatu yang di luar permainan mereka (kerana) ia seumpama membunuh peserta,” katanya.

Ada pelbagai genre

Rockers adalah satu pertandingan bertujuan mencari vokalis rock - yang bakal dididik dan dikembangkan bakat mereka - sehingga boleh menyanyikan muzik genre itu di atas platform yang disediakan.

Pro gram itu diterbitkan oleh KRU Studios untuk saluran HyppTV.

Ramli akan membawa peranan sebagai Otai iaitu penasihat kepada peserta, manakala Sofi Jikan sebagai Abang Long (pembimbing); Hunny Madu sebagai Minah Rock (hos konsert); Myo sebagai Der (hos jurnal harian) dan Tam Spider serta Kudsia Kahar (juri tetap).

Seramai 12 peserta Rockers diumumkan hari ini iaitu Muhammad Redha Khairul, Awal Fitri Abdullah, Muhamad Iskandar Abdul Halim, Mohd Azwarul Ayraf Mad Nasir, Muhammad Ikhtiman Che Ismail, Shamin Iqwan Ahmad Nazri, Ayrool Azrool Mohd Khairi, Mohd Faizal Ismail, Nor Suhaila Saadon, Zarith Sofea Md Yasin, Kamilia Razwanis Kamarudin dan Rasmawatie Thamrin.

Walaupun mengetengahkan genre rock sepanjang 13 episod itu, Rockers akan tampil membawa satu berlainan setiap minggu. Antaranya rock ballad, akustik rock, pop rock dan rock moden.

Diari Harian Rockers akan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat mulai 23 November ini pada jam 8.30 malam.

Berlaku kekeliruan

Konsert mingguan pertama disiarkan pada 29 November dan berterusan setiap Ahad pada waktu sama.

Sementara itu, belum sempat program ini disiarkan, ada cerita kurang enak muncul ke pengetahuan umum apabila enam peserta terawal menarik diri gara-gara isu elaun.

Menjelaskan kekeliruan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Rizal Sahimy berkata pihaknya sudah menjelaskan sejak awal bahawa program berkenaan memang tidak memberi elaun kepada peserta.

“Kami juga me ngajukan pertanyaan sama ada mereka sanggup untuk berkorban kerja dan sebagainya untuk menyertai program ini. Dan mereka menyatakan kesanggupan.

“Tetapi apabila mereka masuk, mereka mula bertanyakan mengenai hal itu," katanya.

Ekoran kekeliruan berkenaan produksi Rockers berbincang mengenai perkara berkenaan dan akhirnya bersetuju memenuhi permintaan peserta.

Apabila masih ada peserta yang tetap mahu berundur, kata Rizal, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa dan menganggap isu berkenaan sudah selesai.

“Kami harus teruskan program ini dan menemui pengganti mereka - seperti yang ada di sini hari ini,” katanya.