Kesal dengan laporan berkaitan tarif air Selangor, Azmin Ali tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman ke atas stesen televisyen TV3.

Menteri besar itu berkata beliau kesal kerana jawapan penggulungan yang diberikan di DUN Selangor itu telah diputar belit sebahagian media yang didakwa cuba merosakkan imej kerajaan negeri.

"Saya kecewa kerana ada media tidak bertanggungjawab yang telah melapor seolah-olah kerajaan negeri bersetuju menaikkan tarif air.

"Ini satu pembohongan, fitnah dan saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana media, khususnya TV3 sekiranya mereka terus membuat pembohongan ini," tegas Azmin dalam ucapannya di sidang DUN Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Semalam juga, ADUN Permatang Datuk Sulaiman Razak dan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali) bertanya mengenai pendirian kerajaan negeri dalam menjamin tiada kenaikan tarif dengan penstrukturan semula industri air.

Sempat sindir Khalid suka tweet

Sambil membacakan jawapan dari hansard, Azmin menafikan kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh beliau.

"Dalam mana-mana program atau skim penstrukturan ini pastinya akan memberikan implikasi kos. Untuk memastikan pengurusan air lebih efektif dan memberikan perkhidmatan yang bertanggungjawab dan holistik, namun pendirian kerajaan Selangor adalah untuk memastikan sebarang kenaikan tarif air tak akan membebankan pengguna dan rakyat Selangor.

"(Jadi) di mana saya sebut bahawa kerajaan negeri telah setuju naikkan tarif air? Ini satu pembohongan," katanya.

Azmin sekali lagi menegaskan, sekiranya ada keperluan untuk menaikkan kadar tarif, maka ia akan ditentukan setelah kerajaan negeri mengambil alih keempat-empat syarikat berkenaan.

Azmin turut sempat menyindir bekas menteri besar yang juga ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ( gambar ) yang lebih gemar menggunakan medium Twitter untuk mengkritiknya, khususnya berhubung kadar tarif air.

Ujarnya, Khalid tidak wajar mengeluarkan kenyataan di luar sidang dewan, apatah lagi kenyataan "berbaur fitnah" yang akhirnya bakal dimanipulasi media.

"Sebentar tadi dia (Khalid) tweet. Tak perlu tweet, sebab dia ADUN.. datang (sidang DUN).. kalau tweet panjang saya nak kena jawab panjang. Duduk sebab kerusi dah ada. Kalau tak mahu kerusi, beritahu.

"Dia tweet (bahawa) tidak ada rasional munasabah untuk naikkan tarif air Selangor. Bila dia tweet, TV3 ikut.. kita ikut benda yang baik, yang tak baik jangan ikut," ujarnya.

Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan Azmin berlawanan dengan semangat serta niat asal rancangan kerajaan negeri untuk melakukan penstrukturan semula industri air di Selangor.

Khalid berkata, menurut pelan awal, kenaikan tarif air akan hanya dipertimbangkan selepas industri perkhidmatan air berjaya distrukturkan semula dalam tiga hingga empat tahun dan kenaikan itu dijamin tidak melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.