Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan dengan tiga wakil pembangkang hari ini bertegas tidak membenarkan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pembedahan di luar negara.

"Beliau (Dr Mahathir) tetap dengan pendiriannya tidak membenarkan Anwar menerima rawatan di luar," kata Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor kepada malaysiakini, selepas pertemuan itu selama sejam di Putrajaya pagi tadi.

Selain Fadzil, perjumpaan itu turut disertai wakil rakyat DAP bahagian Kepong Dr Tan Seng Giaw dan wakil rakyat Keadilan bahagian Kemaman Abdul Rahman Yusof.

Sementara Dr Mahathir ditemani setiausaha politiknya, Datuk Dasuki Ahmad dan seorang pembantu.

Fadzil berkata, Perdana Menteri memaklumkan bahawa pembedahan tulang belakang itu boleh dilakukan "di mana-mana, (pakar) boleh membawa peralatan perubatan dengan syarat ia dilakukan di dalam negeri."

"Kita (rombongan pembangkang) memberitahu potensi kejayaan Dr (Thomas) Hoogland menjalankan pembedahan endoskopik," kata Presiden PAS lagi, menceritakan tentang pertemuan itu.

"Kita maklumkan kejayaan dan risiko yang rendah daripada pengalaman Hoogland sebagai perintis (pembedahan) endoskopik (berbanding risiko rawatan di negara ini menggunakan kaedah rawatan bius)."

Fadzil juga melahirkan rasa kecewa berhubung keputusan Dr Mahathir itu dan menambah sebagai seorang doktor, Perdana Menteri sepatutnya lebih memahami perkara itu serta dapat memberikan pertimbangan daripada aspek kemanusiaan.

Pertemuan hari ini pertama kali diadakan antara pembangkang dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu-isu politik semasa.

Berhak pilih doktor

Abdul Rahman, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, berkata Perdana Menteri menyebutkan "Anwar telah diberikan layanan istimewa" dan sekiranya dihantar ke luar negeri beliau (Dr Mahathir) tidak fikir "Anwar akan dilayan seperti banduan".

Dr Mahathir juga berkata undang-undang Malaysia tidak dapat dikuatkuasakan di luar negara sekiranya Anwar dilepaskan ke luar negara, jelas wakil rakyat Kemaman itu lagi.

Sementara Fadzil berkata, Dr Mahathir menegaskan beliau telah memberikan pertimbangan penuh dan bersetuju bahawa pembedahan itu boleh dilakukan di negara ini setelah menerima laporan pakar perubatan tempatan.

Dr Tan pula berkata, beliau tidak menafikan kemahiran pakar-pakar perubatan di Malaysia.

"Pesakit (Anwar) berhak memilih doktor dan rawatan yang difikirkan selesa (dengan dirinya)," ulas Dr Tan, yang juga Naib Presiden DAP, kepada malaysiakini dan berharap Perdana Menteri masih bersedia mempertimbangkan semula keputusannya.

Abdul Rahman berkata keputusan terbaru kerajaan itu akan dikemukan kepada isteri Anwar, Dr Azizah Wan Ismail dan terserah kepada keluarganya untuk membuat keputusan lanjut.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima rawatan sakit tulang belakang akibat cakera teranjak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima bulan mulai November.

Bagaimanapun beliau, yang kini menjalani hukuman penjara selama 15 tahun, dibawa pulang ke penjara pada 10 Mei lalu selepas menolak jenis rawatan yang ditawarkan oleh kerajaan dan bertegas ingin menerima kaedah pembedahan mikro endoskopik di Jerman.