BTN: Perkauman OK jika...
Biro Tatanegara (BTN) hari ini menafikan agensi itu mengajar peserta kursusnya supaya mengamalkan semangat perkauman.
Sebaliknya, Ketua Pengarah BTN Datuk Raja Arif Raja Ali berkata apa yang dipaparkan dalam laman web mereka semata-mata untuk bahan penyelidikan.
Namun, Arif mendakwa bahawa konsep "perkauman" boleh digunakan untuk "tujuan yang baik" terutama pada masa ketegangan antara etnik.
"Kami tidak pernah mengajar peserta kursus kami mengenai konsep perkauman atau cara mengatasi mana-mana kaum.
"BTN tidak pernah kata bahawa kita lebih baik daripada orang lain. Kami tidak pernah berkata kami lebih baik daripada kaum lain.
"Apa yang dipaparkan hanyalah bahan penyelidikan kita sendiri untuk kita baca. Apa yang kita baca tidak semestinya apa yang kita amalkan," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Patriotisme Negara di Akademi Kenegaraan di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 15 Jun, satu paparan dimuat naik di laman web bertajuk "Rasis" mendakwa perkauman boleh memberi "tujuan yang baik" tetapi sebaliknya telah menerima "konotasi negatif" sebagai apabila digunakan pihak tertentu untuk mencapai matlamat politik mereka dan menjatuhkan kerajaan.
Sokong sekolah satu aliran
Sementara itu BTN juga berpendapat wajar bagi kerajaan mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini kerana ia memberi kesan positif.
Raja Arif berkata antara kesan positif itu ialah menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekali gus membendung masalah perkauman yang ketara seperti hari ini.
"Saya sendiri berpendapat begitu. Saya berasal dari kampung, sekolah Melayu, sekolah kebangsaan tapi kawan-kawan Cina, India sekolah di bandar dan bila masuk asrama penuh tidak bergaul antara satu sama lain.
"Untuk jangka masa panjang eloklah kita sekolah sekali (sekolah satu aliran)," katanya.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa pemimpin semua kaum perlu berbincang sama ada perlu atau tidak mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.
Mahdzir berkata isu sistem sekolah satu aliran dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional perlu difikirkan secara bersama oleh semua kaum negara ini.
Mengulas lanjut, Raja Arif berkata masyarakat hari ini tidak perlu prejudis dalam hal itu.
"Kenapa tidak anak-anak kita dari kecil duduk sekali (bersama kaum lain) tanpa prejudis?" katanya.
Malah, Arif berkata tidak ada di dunia ini sekolah banyak aliran.
"Mana ada di dunia ini sekolah banyak aliran? Hanya di Malaysia," katanya.

