AI: Aceh perlukan perhatian umum
Peningkatan kesedaran orang ramai adalah penting dalam usaha mengatasi peningkatan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Aceh yang kini dilanda kekacauan, kata Pengarah Amnesty International (AI) Malaysia, Julian Jayaseela.
Peningkatan kesedaran orang ramai adalah penting dalam usaha mengatasi peningkatan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Aceh yang kini dilanda kekacauan, kata Pengarah Amnesty International (AI) Malaysia, Julian Jayaseela.
"Sebab mengapa kita berada di sini malam ini adalah kerana wujudnya keperluan untuk mengatasi perlanggaran hak asasi manusia di Aceh, dan untuk melakukannya, kita perlu memahami isu tersebut, rakyat dan budayanya," katanya di Malam Aceh, anjuran AI di pejabatnya di Selangor malam tadi.
Menurutnya, majlis tersebut memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari mengenai Aceh, budaya mereka dan penderitaan mereka, dalam usaha membantu menghentikan diskriminasi terhadap mereka, sama ada di tanahair mereka sendiri ataupun sebagai pelarian di sini.
Sekumpulan 30 rakyat Malaysia dan Aceh yang diiktiraf sebagai pelarian Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR), menikmati makanan dan muzik sejati Aceh, sambil menonton dokumentari mengenai kekacauan dan kezaliman yang menimpa wilayah yang dahulunya dikenali sebagai Nanggroe Aceh Darulssalam.
Dokumentari itu memaparkan bagaimana orang awam di sana dibunuh, didera, diganggu, dirogol, dipaksa melacur, kelaparan dan berdepan dengan sistem yang tidak adil, manakala tentera Indonesia dan pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) pula terus bertempur.
Konflik ini itu berlaku sejak tahun 1976 apabila gerakan menuntut kemerdekaan GAM, mengisytiharkan kemerdekaan. Ia bagaimanapun dipatahkan oleh Kerajaan Indonesia.
Sejak itu, tentera Indonesia dan GAM terus menerus terbabit dalam pertempuran dan pada masa yang sama, mereka saling menuduh satu sama lain melanggar hak asasi manusia.
Tidak dibenarkan masuk
Aceh kini diletakkan di bawah pemerintahan undang-undang tentera manakala pertubuhan kemanusian dan hak asasi manusia serta media antarabangsa, tidak dibenarkan memasuki wilayah tersebut.
"Amnesty tidak dibenarkan masuk ke Indonesia, apatah lagi ke Aceh," kata penyelaras kempen AI Malaysia, Josef Roy.
Tambahnya, pelanggaran hak manusia berterusan berlaku sebebas-bebasnya manakala wilayah tersebut ditutup kepada masyarakat antarabangsa.
Seorang peserta di majlis tersebut yang mengetuai badan perubatan dan kemanusiaan antarabangsa yang berpusat di Jakarta, mendedahkan bahawa kerajaan baru menunjukkan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi PBB dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.
Bulan lalu, rakyat Indonesia telah memilih presiden baru Susilo Bambang Yudhoyono yang pernah bertugas sebagai Menteri Keselamatan di bawah kerajaan bekas Presiden Megawati Sukarnoputri. Ketika memegang jawatan tersebut, rundingan damai di Aceh gagal, malah gerakan ketenteraan di Aceh telah dipertingkatkan. 
Berikutan itu, para peserta di majlis perbincangan malam tadi, tidak yakin keadaan di Aceh akan berubah di bawah kepimpinan baru Indonesia.
"Pada masa ini, hanya pihak berkuasa kesihatan yang terpilih sahaja, dibenarkan masuk ke Aceh. Namun, mereka terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi, mengakibatkan sejumlah kecil sahaja yang dapat ke wilayah tersebut," kata seorang peserta yang tahu mahu namanya disebut.
Menurutnya lagi, apabila pertubuhan tersebut sampai ke Aceh, mereka akan diletakkan di bawah pengawasan pihak tentera.
Selain agensi-agensi di bawah PBB, para pegawai tempatan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) juga dibenar menguruskan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Aceh.

