eksklusif Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan esok dengan tiga wakil pembangkang, diketuai Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, bagi membincangkan isu rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua lagi wakil Barisan Alternatif adalah Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Nasional, yang juga wakil rakyat Kemaman, Abdul Rahman Yusoff.

"Perjumpaan ini hanya membincangkan isu rawatan Datuk Seri Anwar," kata Fadzil kepada malaysiakini petang tadi.

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui wakil-wakil kerajaan atau Umno yang bakal turut serta Dr Mahathir dalam perjumpaan itu jam 9 pagi di Putrajaya.

Beliau menambah, pertemuan itu diusahakan oleh pembangkang.

Fadzil juga berkata pada jam 2 petang pula beliau akan memimpin satu rombongan wakil-wakil parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan satu memorandum berhubung isu yang sama kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Semalam lima pesuruhjaya Suhakam yang diketuai Tan Sri Anuar Zainal Abidin melawat Anwar di biliknya di penjara Sungai Buloh bagi menilai sendiri keadaan kesihatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu ekoran satu aduan daripada isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam aduan itu, Azizah mendakwa Anwar dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan sakit tulang belakang yang dipilihnya sendiri.

"Tidak adil (kerajaan) menetapkan syarat-syarat zalim yang mustahil dipenuhi Anwar, dan (syarat) ini bercanggah dengan hak asasi dan semulajadinya untuk mendapatkan rawatan pilihannya sendiri," memorandum itu dipetik.

Dalam pertemuan dengan Suhakam kira-kira sejam, Anwar bertegas untuk mendapatkan rawatan pembedahan mikro endoskopik (EMS) di luar negara daripada pakar Jerman, Dr Thomas Hoogland.

Seorang lagi pesuruhjaya badan hak asasi itu, Mahadev Shankar, dilaporkan berkata Suhakam akan merujuk isu itu daripada pelbagai pihak, termasuk panel doktor yang merawatnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima bulan mulai November.

Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara selama 15 tahun, menolak jenis rawatan yang ditawarkan oleh kerajaan dan dibawa pulang ke penjara pada 10 Mei lalu.