Bajet 2016: Seniman beri reaksi berbeza
Tanpa sepatah pun perkataan seni, budaya atau hiburan disentuh secara langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2016 semalam, sebahagian penggiat seni tanahair tetap menyambutnya secara positif.
Menurut Presiden Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi, walaupun peruntukan kepada industri kreatif sepatutnya dikhaskan kepada pertubuhan seni namun melihat ia tetap tidak dilupakan oleh kerajaan.
“Ini kerana apa yang kami dapat lihat, afda dana diperuntukkan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, manakala aspek kebajikan anak seni di letakkan di bawah peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan sebanyak RM160 juta," katanya kepada Malaysiakini .
Menurutnya, keadaan itu agak berbeza berbanding bajet tahun lalu apabila sebanyak RM100 juta disalurkan khas bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.
Zed berkata, semua pihak perlu memahami bahawa industri seni turut memberi sumbangan kepada kadar keluaran dalam negara kasar negara.
Justeru, katanya, aspek itu tidak dapat dinafikan sesiapa.
Semalam Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan bertema Mensejahtera Kehidupan Rakyat di Dewan Rakyat.
Ia adalah belanjawan ketujuh dibentangkan beliau sejak menjadi perdana menteri.
Berbeza daripada Dr Mahathir
Untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan RM1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan Internet luar bandar dari maksimum 5 megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat.
Selain itu, RM250 juta diperuntukkan bagi projek pendigitalan penyiaran nasional untuk meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif.
Sementara itu pelakon dan penyair Pyanhabib secara terus terang berkata beliau kecewa kerana aspek kebudayaan dan kesenian seperti diabaikan kali ini.
"Ini berlainan dengan belanjawan yang pernah dibentang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dulu.
"Ketika itu, Dr Mahathir sering mengambil tahu keadaan seniman di Pasar Budaya.
"Beliau datang dan tengok saya membaca puisi serta menjual buku sendiri.
“Selepas itu beliau membentangkan bajet yang memperuntukkan ruang untuk pelukis dan penyair menjual hasil karya," katanya.
Itu, kata Pyanhabib, menunjukkan Dr Mahathir sekurang-kurangnya ada juga mengambil tahu tentang kebajikan pelukis atau penyair.
"Itu yang saya nampak selepas Najib bentangkan bajet semalam. Tak ada satu pun tentang saatera budaya.
"Kalau dia ada sebut celah lain, tak tahulah," katanya.
Bagi penyanyi Janji Manismu, Aishah, juga tidak ketinggalan memberikan reaksi kepada pembentangan semalam.
Sambil melampirkan laporan media di akaun Facebook beliau, Aishah menulis ringkas: "Dah rembat sana sini...lepas tu suruh rakyat tanggung padahnya..."

