2 buku ITBM dilancar di Frankfurt
Dua karya tempatan yang diterjemah kepada bahasa Jerman, Der Damm (Empangan) dan Willkommen zu Hause Juita (Selamat Pulang Juita) telah dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 (FIBF 2015).
Der Damm adalah karya Zakaria Ali yang merupakan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Awards) 2003, menceritakan kisah daripada kaca mata seorang pemuda bernama J yang melihat bagaimana sistem kapitalis melenyapkan kampung halamannya atas alasan pembangunan, manakala Willkommen zu Hause Juita hasil Sasterawan Negara Prof Emeritius Muhammad Salleh ( gambar ) menceritakan tentang rasa hati menebal seorang bapa kepada anak perempuannya.
Menurut Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kedua-dua karya tersebut mengambil latar tempatan tetapi membawakan tema atau nilai sejagat yang boleh difahami bukan sahaja dalam konteks tempatan malah antarabangsa.
"Kedua-dua karya ini merupakan hasil usaha ITBM memperkaya serta memartabatkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa melalui medium penterjemahan.
"Sebagai karya yang memaparkan intipati Asia Tenggara khususnya Malaysia, proses menterjemahkan buku ini kepada bahasa Jerman dan memperkenalkan serta memasarkan buku ini di sana adalah cukup wajar," kata ITBM dalam satu kenyataan.
Majlis tersebut disempurnakan bersama oleh Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif Abera Verlag (publisher), Markus Voss.
- Bernama

