Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengaku tidak selesa apabila diminta untuk bergambar dengan peminat pasukannya.

Biasanya Klopp akan menolak permintaan untuk bergambar bersama pengagum The Kop kerana menyifatkan ketika ini sudah terlalu banyak gambarnya beredar di media sosial.

Selepas diumumkan sebagai pengendali baru Liverpool, jurulatih dari Jerman itu menjadi perhatian peminat bola sepak - terutama penyokong The Kop yang mengharapkan sentuhannya dapat mengubah nasib pasukan itu di EPL.

‎Sikap Klopp terhadap peminat itu dilihat ketika dia dan dua penolongnya Peter Krawietz serta Zeljko Buvac menikmati makan malam baru-baru ini.

Media semalam melaporkan Klopp, Krawietz dan Buvac didekati beberapa penyokong Liverpool yang meminta mereka untuk bergambar bersama.

Namun bekas jurulatih Borussia Dortmund itu terpaksa menolak permintaan itu dengan baik.

‎‎"Saya terpaksa menolak kerana setiap foto yang diambil akan muncul di Twitter. Seolah-olah saya berada di restoran dan bar setiap hari. Saya bukan orang seperti itu," kata Klopp.

Itu kerja lucu

Menurutnya, terlalu banyak bergambar ketika Liverpool di bawah kendaliannya belum pun teruji walau sekali bukan sesuatu yang wajar.

"Biarkan Liverpool beraksi terlebih dulu, kemudian lihat bagaimana pandangan penyokong terhadap saya," jelasnya dalam laporan The Mirror.

Klopp turut mengakui gambarnya bukan saja diedar oleh penyokong, malah turut menjadi buruan paparazzi.

"Saya tak suka dirakam gambar setiap masa. Memang lucu apabila mereka menunggu tiga jam untuk mendapatkan sekeping gambar," katanya.

Liverpool akan bertandang ke White Hart Lane untuk mencabar Tottenham Hotspur pada jam 7.45 malam ini (waktu Malaysia).

#Klopp : "I don't like being photographed all the time. It's a funny job to wait for 3 hours to take one photo." pic.twitter.com/mK1b9yZ1zq

— Soccer Aspects (@SoccerAspects) October 17, 2015