Ini sebuah kisah luar kebiasaan dan memberi inspirasi, apabila Madeline Stuart yang menghidap penyakit sindrom Down diiktiraf sebagai seorang model.

Berasal dari Brisbane, Madeline akhirnya berjaya merealisasikan impiannya menjadi model dengan memperagakan pakaian buat pertama kali di Minggu Fesyen New York.

Remaja Australia berusia 18 tahun itu 'menakluki' laluan catwalk di Vanderbilt Hall Grand Central – satu daripada mercu tanda terhebat Manhattan – sebagai sebahagian daripada persembahan pereka antarabangsa FTL Moda.

Pertunjukan itu dianjurkan dengan bantuan Yayasan Christopher and Dana Reeve, serta Models of Diversity.

Madeline yang bersaiz kecil dan berambut merah - diberi julukan "Maddy" diberi tepukan gemuruh sebaik saja dia melangkah naik ke pentas.

Madeline muncul diiringi dua model lelaki yang dicat biru badan mereka.

“Ia amat menyeronokkan,” kata Madeline.

Ibu merangkap pengurus Madeline, Roseanne Stuart turut menyaksikan persembahan itu dan duduk di barisan paling depan.

“Saya amat berbangga. Dia amat hebat! Madeline kelihatan comel, kan?" katanya.

Gigih penuhi impian

Sebelum detik yang amat ditunggu-tunggu itu, kata Roseanne, Madeline begitu teruja hingga tidak tidur sepanjang malam.

“Saya rasa amat mengagumkan Madeline diberi peluang ini. Ia satu tempat merealisasikan impian kami," katanya.

Madeline diberi peluang mengagumkan penonton dengan tiga busana berbeza, termasuk seluar pendek berlabuci dengan baju berwarna cat air dan gaun labuh bercorak flora.

Nyfw

Posted by Madeline Stuart on Monday, September 14, 2015

Untuk memenuhi impiannya itu, Madeline benar-benar bekerja keras demi memberikan penampilan terbaik.

Sebelum acara berlangsung, dia mengikuti program kecergasan yang ketat hingga susut 20 kilogram, hasil daripada aktiviti seperti menari, berenang dan menyertai kumpulan sorak.

Nama Madeline mulai diketahui insdustri fesyen tahun lalu selepas dia memberitahu Roseanne mengenai hasratnya yang mahu menjadi model.

Melalui bidang itu, Madeline berhasrat mencabar persepsi lazim mengenai kecantikan.

Nasib remaja itu berubah selepas Roseanne memuat naik beberapa keping imej Madeline di Facebook pada Mei lalu dan ia segera menjadi viral .

Sumber inspirasi

Dalam seminggu, dia mempunyai 20,000 pengikut dan hingga ke hari ini, akaun Facebook Madeline diikuti hampir setengah juta orang.

Usaha Madeline dan ibunya membuahkan hasil apabila syarikat EverMaya menamakan tas tangan mereka dengan nama remaja itu.

Hasil jualan tas tangan itu pula didermakan kepada sebuah pertubuhan sindrom Down antarabangsa.

Selepas wajah Madeline diangkat menjadi duta syarikat kosmetik Glossigirl, agensi FTL Moda menghubungi pasangan anak-beranak itu bulan lalu bagi menjemput mereka menghadiri Minggu Fesyen New York.

Menceritakan sejarah hidup Madeline, Roseanne berkata ketika zaman sekolahnya remaja terbabit pernah menjadi mangsa buli serta dipinggirkan kerana 'berbeza' berbanding teman sebayanya.

“Saya fikir kini orang ramai lebih berfikiran terbuka. Media sosial mengubah segalanya. Hal seperti ini tidak lagi perlu disembunyikan.

“Jika ada pasangan dengan anak sindrom Down percaya mereka mampu memiliki kehidupan hebat apabila melihat Madeline sebagai sumber inspirasi, dia pasti amat berasa gembira,” katanya.

Selepas Minggu Fesyen New York, Madeline dijadualkan ke West Coast untuk menerima hadiah model tahunan.

Mereka merancang untuk meluaskan kerjaya Madeline ke Sweeden dan Russia selepas ini.