Umno Kelantan di bawah kepimpinan baru akan berhenti bersengketa dengan kerajaan negeri pimpinan PAS dan sebaliknya bersikap proaktif demi kebaikan rakyat negeri itu.

"Kita tidak nampak sebab apa kita perlu bersengketa dengan kerajaan negeri secara berterusan," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang baru dilantik, Datuk Annuar Musa.

Berikutan itu, menurut laporan Bernama , beliau berharap untuk menemui Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sehari dua lagi bagi membincangkan nasib rakyat di negeri itu.

"Saya akan memberikan penjelasan kepada Datuk Nik Aziz tentang pendirian Umno Kelantan dalam usaha membela nasib rakyat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata Umno sebagai parti pembangkang di Kelantan perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri pimpinan PAS terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.

Annuar, yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan ahli Dewan Undangan Negeri Ketereh, berkata Umno mempunyai sikap terbuka dan sanggup mengetepikan kepentingan politik untuk membela nasib rakyat.

Annuar berkata pendekatan ke arah itu diperlukan sekarang agar Umno turut memainkan peranan secara proaktif untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

Rombakan baru

Annuar dilantik menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed untuk menerajui Umno Kelantan dalam rombakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Sementara itu di Umno Terengganu akan mengadakan konvensyennya Februari tahun depan untuk menilai prestasi parti itu yang diberikan mandat memerintah semula negeri itu dalam pilihanraya umum lalu.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Idris Jusoh berkata konvensyen ini juga akan menilai kemampuan Umno memastikan tidak berlaku kesilapan dalam memerintah negeri itu.

"Kita mahu bermuhasabah diri dalam menentukan masa depan Umno yang lebih mantap pada masa akan datang, khususnya menjelang pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Terengganu semalam.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen.

Empat kerusi DUN yang masih dimenangi PAS ialah Rhu Rendang yang diwakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Batu Buruk (Datuk Wan Abdul Mutallib Embong), Manir (Datuk Harun Taib) dan Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut).

Idris yang juga Menteri Besar Terengganu berkata Umno mempunyai sasaran baru bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang iaitu untuk mewujudkan "sifar pembangkang" di negeri ini.