Perpindahan bersejarah EPL 2015/16
Pada 8 September lalu Malaysiakini menyiarkan bahagian pertama senarai perpindahan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mencatatkan sejarah tersendiri di kelab masing-masing.
Berikut adalah bahagian kedua rencana itu.
* Manchester United - Anthony Martial muncul sebagai pemain muda termahal dengan nilai perpindahan £36 juta (RM232.56 juta). Dia menjadi pemain ketiga termahal dalam sejarah The Red Devils selepas Angel Di Maria (£59.7 juta) dan Juan Mata (£37.1 juta). Martial juga menjadi penyerang paling mahal bagi Man United.
* Newcastle United - Kelab ini merekrut Georginio Wijnaldum dengan harga £14.7 juta (RM95 juta) yang juga pembelian terbesar dalam tempoh satu dekad. Wijnaldum menjadi pemain ketiga termahal selepas Alan Sherarer (£15 juta) dan Michael Owen (£16.8 juta). Mereka membelanjakan £47.8 juta pada musim ini.
* Norwich City - Pembelian Robbie Brady dengan harga £7 juta (RM45.22 juta) meletakkan pemain itu kedua termahal dalam sejarah mereka selepas Ricky van Wolfswinkel (£8.5 juta).
* Southampton - Menjadikan pembelian Virgin van Dijk sebagai bek termahal dalam sejarah The Saints dengan nilai perpindahan £11.5 juta (RM74.3 juta). Mereka juga menerima sekitar £25 juta hasil penjualan Morgan Schneiderlin yang juga penjualan kedua terbesar selepas Luke Shaw ke Man United.
* Stoke City - Pembelian terbesar kelab ini dengan membawa Xherdan Shaqiri dari Inter Milan dengan harga £12 juta (RM77.52 juta). Stoke juga membuat penjualan paling tinggi melalui penjaga gol, Asmir Begovic (£8 juta) ke Chelsea.
* Tottenham Hotspur - Son Heung-Min dengan nilai £22 juta (RM142 juta) menjadi pemain ketiga termahal sepanjang sejarah Spurs selepas Roberto Soldado (£26 juta) dan Erik Lamela (£30 juta).
* Watford - Etienne Capoue mencatatkan rekod sebagai pemain termahal dengan nilai perpindahan hampir £6 juta (RM38.76). Keseluruhannya mereka menghabiskan £35.4 juta (RM228.69) lebih tinggi berbanding musim perpindahan lalu.
* West Bromwich Albion - Salomon Rondon muncul pemain termahal Albion dengan nilai perpindahan mencapai £12 juta (RM77.52). Sementara James Chester sebagai bek termahal dengan harga £8 juta.

