Status pelarian untuk masyarakat Rohingya
Butir-butir terperinci mengenai cadangan mengeluarkan kad pengenalan (KP) kepada masyarakat Rohingya (rakyat Burma beragama Islam) di Malaysia bagi mengiktirafkan mereka sebagai pelarian, akan diketahui minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.
Butir-butir terperinci mengenai cadangan mengeluarkan kad pengenalan (KP) kepada masyarakat Rohingya (rakyat Burma beragama Islam) di Malaysia bagi mengiktirafkan mereka sebagai pelarian, akan diketahui minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.
"Saya telahpun menulis surat kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri minggu lalu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengeluaran kad pengenalan tersebut, termasuk bagaimana ianya hendak dilaksanakan. Saya menjangka mendapat jawapannya minggu depan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
"Kita akan membiarkan mereka tinggal di sini sementara kita memperincikan prosedur berhubung pengeluaran kad pengenalan tersebut," katanya.
Menurutnya, beliau juga telah memberitahu pegawi kementerian berkenaan mengenai isu tersebut ketika mereka bertemu sewaktu mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada hari Rabu.
"Malah, pejabat Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian di Kuala Lumpur juga mahu mengetahui butir-butir lanjut mengenainya," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, hanya masyarakat Rohingya sahaja yang diberi kad pengenalan diri tersebut.
Tiada dokuman
Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk mengiktiraf secara rasmi status masyarakat Rohingya ini supaya mereka boleh mendapat pekerjaan dan membolehkan anak-anak mereka bersekolah.
Bagaimanapun, sehingga ini tidak jelas bagaimanapun rancangan kerajaan untuk mengendalikan perkara tersebut yang membabitkan 10,000 Rohingya.
Mohd Nazri turut menjelaskan, masyarakat Rohingya memasuki negara ini menggunakan dokumen perjalanan yang sah. Bagaimanapun, mereka kemudian memusnahkannya, dan secara automatik menjadikan mereka pendatang tanpa izin atau orang tiada bernegara.
"Satu lagi masalah ialah kerajaan negara mereka sendiri enggan mengiktiraf mereka sebagai rakyatnya kerana mereka tidak memiliki dokumen berkaitan. Ini juga menjejaskan langkah Malaysia untuk menghantar mereka pulang," katanya.
Pada 27 September lalu, Mohd Nazri telah dipetik memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat Rohingya bagi mengelak mereka ditahan oleh pihak penguatkuasa untuk dihantar pulang.
"Kerajaan juga boleh menggunakan kad pengenalan diri itu untuk mengawasi pergerakan mereka dalam negara ini, tetapi mereka tidak diberi status warganegara.
Ditahan
"Jika dan bila sistem demokrasi kembali diamalkan di Myanmar atau Burma, mereka akan dihantar pulang," katanya sepertimana dipetik dalam rakaman sidang Dewan Rakyat ketika menjawab soalan berhubung kehadiran rakyat Rohingya di Malaysia Timur.
Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok juga telah meminta Mohd Nazri sewaktu persidangan Dewan Rakyat memberi butir-butir terperinci mengenai proses permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan tersebut.
Beliau ingin tahu bagaimanakah untuk memohon kad pengenalan yang memberi status pelarian kepada masyarakat Rohingya dan pihak berkuasa yang mana satukah yang akan mengeluarkannya.
Menurut rakaman sidang Dewan Rakyat tersebut, Kok juga menceritakan bagaimana wakil-wakil masyarakat Rohingya di Malaysia telah ditangkap dua hari selepas menemui Pertubuhan Parliamen Mynmar pada pertengahan September lalu.
Dalam jawapannya, Mohd Nazri meminta Kok merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Imigresen untuk mendapat penjelasan mengenai penangkapan tersebut.

