Jawatankuasa kecil bertindak menentang pembinaan insinerator di Semenyih/Broga mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo supaya berpegang kepada janjinya dan memberhentikan pembinaan loji insinerator berkapasiti 1,500 tan di Broga.

Dalam kenyataan tiga muka surat yang ditandatangani oleh sembilan penduduk terbabit, mereka mendakwa sebuah laporan akhbar pada bulan April lalu memetik Mohd Khir sebagai berkata kerajaan Selangor tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, kerajaan negeri itu telahpun menyediakan tapak untuk pembinaan insinerator bernilai RM1.5 bilion itu, yang merupakan projek kerajaan pusat.

Pada akhir Mei lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memberi kelulusan bersyarat kepada laporan kesan alam sekitar (EIA) bagi projek tersebut, sekaligus menimbulkan kemarahan mereka yang telah melancarkan kempen menentang pembinaan loji tersebut sejak lebih dua tahun lalu.

Jawatankuasa kecil itu, yang dianggotai penduduk Kampung Baru Broga dan perkampungan sekitarnya, mendakwa tapak pembinaan insinerator itu terletak dalam kawasan tadahan air di Semenyih, dan ini melanggar undang-undang negeri.

"Berdasarkan kepada faktor di atas, kami mahu menteri besar berpegang kepada janjinya dan memberhentikan pembinaan loji tersebut kerana urusan tanah adalan di dalam bidangkuasa kerajaan negeri," kata ahli jawatankuasa kecil itu, Alice Lee ketika dihubungi malaysiakini.

Zon sensitif

"Alasan-alasan JAS menolak cadangan pembinaan tapak buangan sampah baru-baru ini adalah sebabnya mengapa kami turut menentang pembinaan loji insinerator. Ini belum mengambilkira risiko-risiko utamanya terhadap kesihatan kami.

Jawatankuasa itu juga menegaskan bahawa laporan penilaian Pelan Struktur Selangor (2002-2020) juga melarang sebarang pembangunan, termasuk pembinaan loji rawatan dan pelupusan sampah, dibina di dalam atau berhampiran kawasan tadahan air.

Walaupun laporan tersebut disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Negeri Selangor, namun menteri besar dan pegawa-pegawai kerajaan negeri telah menidakkan klasifikasi kawasan tersebut yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai 'zon sensitif alam sekitar'.

Mohd Khir tidak dapat dihubungi untuk mendapat reaksi daripadanya.

Ahad lalu, sekumpulan 50 penduduk telah berdialog dengan Ketua Pengarah JAS, Rosnani Ibrahim mengenai projek insinerator tersebut di samping untuk mengucap terima kasih di atas sikap dan dedikasi jabatannya menolak laporan EIA projek pelupusan sampah di kawasan berhampiran.

Ketika dihubungi semalam, pengerusi jawatankuasa kecil itu, Dr Zulkefly Mohamad Omar berkata, JAS patut mengkaji semula projek insinerator itu "kerana JAS telahpun menolak laporan EIA bagi projek pelupusan sampah tersebut."

Jejas kualiti air

"Lagi pun, kawasan Broga adalah kawasan tadahan air dan sebarang cadangan membina insinerator di situ akan menjejaskan kualiti air yang dibekalkan kepada 1.5 juta penduduk di Selangor dan Negeri Sembilan. Kawasan ini juga didapati berbukit dan oleh itu, terdedah kepada kejadian tanah runtuh pada masa depan," katanya.

Para penduduk di situ juga telah berusaha untuk meminta mendapatkan salinan surat penolakan JAS terhadap laporan EIA bagi projek pelupusan sampah tersebut.

Zulkefly berkata, beliau tidak pasti apa yang telah berlaku terhadap projek tersebut.

"Masalahnya ialah pada masa ini, kami tidak tahu status projek insinerator tersebut. Kami merancang untuk menemui Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Mohamad Saib sebelum Hari Raya ini untuk mengetahui kedudukan terkini mengenainya," katanya.

Beliau juga membidas pihak kerajaan tempatan yang didakwanya bersikap 'lepas tangan' mengenai pengurusan dan pelupusan sampah-sarap.

"Kami mahu bertanya kepada Majlis Perbandaran Kajang bagaimana mereka boleh membenarkan projek itu dibina dalam kawasan pentadbirannya sedangkan setiap majlis perbandaran bertanggungjawab terhadap pelupusan sampahnya di kawasannya sendiri."

Tiada tindakan

Beliau juga kecewanya kerana walaupun para pegawai kerajaan negeri telah membuat kenyataan melarang dijalankan sebarang pembangunan di kawasan tadahan air, tetapi hakikatnya, tiada sebarang tindakan telah diambil ke arah itu.
"Projek insinerator masih berterusan dan kami masih menunggu reaksi daripada Mohd Khir dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Ting," katanya.

Ong tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasannya mengenai perkara tersebut.

Menteri berkenaan masih enggan menemui penduduk Broga atau melawat kawasan tersebut walaupun pelbagai usaha telah dibuat sejak November 2002, termasuk menghantar surat dan melalui telefon. Kementerian berkenaan adalah pendukung projek tersebut.

Penduduk di Broga dan kawasan sekitarnya menentang cadangan pembinaan insinerator tersebut sejak ianya dipindahkan ke situ, dari tapak cadangan asalnya di Puchong pada akhir tahun 2002 berikutan bantahan penduduk di situ.