Sempena Hari Guru hari ini, ketua pembangkang mengenang jasa guru, menyifatkan guru sebagai manusia anjal yang terpaksa akur sahaja mengajar mengikut pertukaran sistem yang berlaku setiap kali menteri bertukar.

Ketua Barisan Alternatif Datuk Fadzil Mohd Noor, yang juga merupakan Presiden parti PAS, menyatakan bahawa jasa guru harus dikenang kerana mereka merupakan penyuluh budiman kepada kebangkitan tamadum umat di negara ini.

"Guru menjadi juara ketika tiada manusia yang mahu menggerakkan kesedaran politik bangsa. Guru telah menanamkan benih setiap pohon rendang yang hari ini menaungi kebangkitan bangsa.

"Hari gurulah tempat kita menoleh untuk menyelami nostalgia ketinggian budi guru," kata Fadzil yang merujuk kepada kebangkitan guru di Malaya memperjuangkan kemerdekaan.

Tidak terbela

Fadzil juga menyatakan bahawa pada hari ini, guru terpaksa merentangi pelbagai risiko kerana kerjaya.

"Guru terpaksa ke mahkamah kerana bertegas mendisiplinkan anak, ada guru yang tercedera angkara sayang anak di kalangan ibu bapa. Guru berpindah-randah menbawa hati dan persaan kerana berlainan cita rasa politik.

"Pastinya guru tidak terbela. Ada kesatuan yang hanya mencipta nama. Bukan guru yang dibela tetapi penguasa dirai," jelas Fadzil, yang mengajak kaum guru mengubah apa yang patut.

"Apa pun, guru yang berhati mulia akan mengambil setiap cabaran ini sebagai amanah yang seiring dengan gelaran guru," kata Fadzil.