Umno mara setengah abad ke belakang
Berdasarkan kepada Perhimpunan Agung Umno ke-55 yang baru lalu, jika dikatakan parti itu telah menerima kenyataan bahawasanya ia sudah 'mara' beberapa dekad ke belakang, tentu ada orang akan segera melompat dan marah-marah. Tetapi, itulah hakikatnya.
Sebelum ini, orang menganggap Umno tidak ada tolok bandingnya di Malaysia paling besar, paling berpengaruh, paling berkuasa dan. paling berpaling!
Sebelum pergi lebih jauh, mari kita menyingkap sedikit sejarah. Umno dirasmikan di Johor Baru pada 11 Mei 1946 setelah dua bulan disarankan oleh Kongres Melayu SeMalaya, termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Malangnya, selepas rancangan tipu musliht Malayan Union digagalkan pada Februari 1947, pertubuhan tersebut (Umno) enggan menerima seruan 'Merdeka!' yang dicadangkan oleh PKMM. Sebaliknya, mereka masih dengan "Hidup Melayu!"nya. Maka jelaslah, sampai di peringkat itupun, Umno masih belum mahu memperjuangkan kemerdekaan bagi tanahairnya sendiri!
Kemudian apa jadi? PKMM yang dipimpin tokoh-tokoh nasionalis dan demokratik itu terus meninggalkan Onn Jaafar bersama-sama dengan Umnonya. Melalui PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) yang diikutsertai oleh API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), Hizbul Muslimin, BATA (Barisan Tani), BARA (Barisan Anak Rakyat) dan pertubuhan kiri Melayu lainnya, PKMM bekerjasama dengan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pimpinan Malayan Democratic Union (MDU) hingga menghasilkan Perlembagaan Rakyat yang bersejarah.
Sebelum ini, orang menganggap Umno tidak ada tolok bandingnya di Malaysia paling besar, paling berpengaruh, paling berkuasa dan. paling berpaling!
Sebelum pergi lebih jauh, mari kita menyingkap sedikit sejarah. Umno dirasmikan di Johor Baru pada 11 Mei 1946 setelah dua bulan disarankan oleh Kongres Melayu SeMalaya, termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Malangnya, selepas rancangan tipu musliht Malayan Union digagalkan pada Februari 1947, pertubuhan tersebut (Umno) enggan menerima seruan 'Merdeka!' yang dicadangkan oleh PKMM. Sebaliknya, mereka masih dengan "Hidup Melayu!"nya. Maka jelaslah, sampai di peringkat itupun, Umno masih belum mahu memperjuangkan kemerdekaan bagi tanahairnya sendiri!
Kemudian apa jadi? PKMM yang dipimpin tokoh-tokoh nasionalis dan demokratik itu terus meninggalkan Onn Jaafar bersama-sama dengan Umnonya. Melalui PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) yang diikutsertai oleh API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), Hizbul Muslimin, BATA (Barisan Tani), BARA (Barisan Anak Rakyat) dan pertubuhan kiri Melayu lainnya, PKMM bekerjasama dengan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pimpinan Malayan Democratic Union (MDU) hingga menghasilkan Perlembagaan Rakyat yang bersejarah.
Pada Jun 1948, penjajah Inggeris dengan sekaligus telah bertindak untuk menindas dan menghapuskan semua parti dan pertubuhan anti-British yang telah lama wujud sebelum Umno. (Malahan, API telah diharamkan pada bulan Julai 1947 lagi).
Bersikap keras
Pemerintahan "Darurat" si penjajah Inggeris telah menyebabkan sejumlah besar kader dan anggota Parti Komunis Malaya (PKM), PKMM dan lain-lainnya ditangkap, dibunuh, dibuang negeri dan sebagainya. Mereka yang sempat menyelamatkan diri ke hutan telah melancarkan perjuangan bersenjata. Dengan itu, bermulalah perang anti-British di Malaya.
Slogan "Merdeka!" akhirnya diterima juga oleh Umno pada bulan Mac 1951. Cadangan itu dibuat oleh Pemuda Umno untuk mencerminkan agenda politik parti tersebut. Perlu diingatkan, Onn Jaafar (gambar) tetap bersikap keras dengan alasannya bahawa masih belum sampai masanya lagi bagi Umno dan Malaya menuntut kemerdekaan. Mereka yang sebaya dengan saya tentu boleh ingat dengan jelas semangat yang berkobar-kobar di kalangan orang Melayu terhadap kemerdekaan pada masa itu. Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan meneriakkan "Merdeka!", dan dijawab dengan "Darah!". (Kemudian baru saya faham, mereka adalah golongan PKMM atau sekurang-kurangnya bukan orang Umno.) Sebaliknya, bagaimana pula sikap Onn serta pengikutnya? Mereka mengejek: "Tak pandai nak buat jarum, sudah mahu merdeka.!"
Ringkasnya, dalam suasana iklim politik yang sesuai dan terkawal, Umno telah tumbuh dan membesar untuk mengisi ruang kekosongan yang disediakan oleh penjajah Inggeris.
Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy pernah membidas sikap menyerah dan berkompromi yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan Umno terhadap penjajah (Inggeris). Dalam pidatonya bersempena Persidangan Agung parti itu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada bulan Disember 1956, beliau berkata:
"Selalu saja terdengar dari mulut setengah-setengah golongan Umno: 'Tunggulah hingga tahun 1957. Kita akan bertindak mengadakan perubahan dalam pimpinan. Sabarlah saja hingga tahun 1957.'
Mereka takut kalau mereka bertindak sekarang, mengadakan langkah-langkah memperbetulkan pimpinan-pimpinan mereka, maka Malaya tidak akan merdeka dalam tahun 1957.
Sikap ini samalah juga dengan sikap Tunku Abdul Rahman yang berkata: 'Kita harus bertindak sekarang secara yang boleh disetujui oleh penjajah, secara yang tidak boleh dicurigai oleh penjajah. Kalau kita bertindak di luar dari garis itu, kalau kita menyakiti hati penjajah, maka penjajah tidak mahu memberikan kemerdekaan kepada kita nanti di tahun 1957.' Sikap inilah yang menyebabkan pengkhianatan moral terhadap perjuangan Mesir oleh pimpinan Umno. Dengan lain perkataan, pimpinan-pimpinan Umno mengakui bahawa taktik kompromis, taktik beralah dan menyerah dalam soal-soal yang pokok mengenai kepentingan rakyat adalah jaminan kemerdekaan tanahair ini. Dengan lain perkataan, pimpinan Umno tidak percaya kepada kekuatan rakyat, tetapi kepada kebijaksanaan pimpinan itu beralah dan menyerah kepada penjajah."
Dilema dahsyat
Dengan menggunakan Perhimpunan Agung Umno 2004 dan bercerminkan kepada fakta-fakta sejarah tadi, kita akan dapat membuat satu kesimpulan yang nyata, iaitu: pada hakikatnya Umno sudah ketinggalan zaman, atau dengan perkataan lain yang lebih sedap didengar, parti itu sudah 'mara' beberapa puluh tahun ke belakang!
Cuba kita insafi betul-betul apa yang telah berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) selama beberapa hari mulai 21 September yang lalu? Ya, semua orang tahu tentang Perhimpunan Agung Umno yang ke-55; tetapi sebenarnya apa......?
Atas pasport 'Melayu', orang Melayu Umno (yang diwakili oleh 2,500 lebih agennya) telah berhimpun di sana untuk mencari satu formula baru yang lebih berkesan tentang bagaimana hendak hidup dan terus hidup dalam keadaan mereka dilanda dilema yang maha dahsyat.
Siapa tidak tahu, selama 22 tahun Dr Mahathir (Mohamad) sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau telah menjadi 'penaung' yang begitu menyeluruh dan ditakuti hingga tidak ramai yang boleh hidup segar di bawahnya, apa lagi untuk mencabar kedudukannya. Begitu juga dalam Umno, Dr Mahathir adalah segala-galanya. Dalam tempoh beliau berkuasa, sama ada disengajakannya ataupun tidak, Presiden parti itu telah 'berjaya' membonsaikan minda orang Melayu dalam Umno. Tetapi anehnya, lepas itu beliau menangis.
Kerajaan memang berkewajipan untuk membantu golongan yang mundur dan miskin. Dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan tanggungjawab ini. Akan tetapi, jika atas nama 'bangsa, agama dan negara' peluang ini dikaut dan direbut oleh sejumlah kecil manusia yang berkuasa serta kroni-kroninya, maka itu adalah penyelewengan dan salah dari segi undang-undang dunia maupun akhirat. Maka itu, ia wajib ditentang oleh semua!
Itulah sebabnya majoriti orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lain tidak dapat menerima saranan atau formula yang dibuat oleh kerajaan (baca: Umno) atas asas 'bangsa, agama dan negara' itu. Pada hakikatnya, apa yang berlaku ialah peluang untuk penyalahgunaan kuasa!
Peluang saksama
Percayalah, tidak ada jalan pintas dalam mengejar kejayaan dan kecemerlangan. Akan tetapi, satu prinsip sewajarnya dipertimbangkan, iaitu: peluang yang adil dan saksama mesti diberikan kepada siapa saja yang berhak menerimanya.
"Rumput kering bukan makanan untuk sang buaya dan serigala (nota: bukan tan srigala). Ia adalah hak dan makanan bagi kambing dan kuda." Lebih kurang begitulah moral daripada cerita 'The dog in the manger' yang saya baca di sekolah dalam zaman penjajah dulu. Begitu juga dengan apa yang dikatakan sebagai "hak istimewa orang Melayu". Hak apa dan untuk siapa?
Sekali lagi, ia boleh mengingatkan kita kepada orang kurang upaya (OKU). OKU yang berkesedaran sentiasa menuntut dirinya supaya berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Kenapa? Kerana dia insaf, bantuan bukannya untuk sepanjang hayat; jika tidak, tentu dia akan dibenci orang.
Tanyalah siapa saja yang mahir dengan kerja-kerja di kalangan OKU. Mereka akan memberitahu: sekiranya OKU itu hanya menunggu untuk disuap, akhirnya dia tidak akan memiliki apa-apa kemahiran kecuali membuka mulutnya mengikut bentuk sudu yang digunakan!
Orang Melayu, pada keseluruhannya, bukan OKU. Malangnya, pemimpin Umno yang maha berkuasa telah membendung dan mengongkong minda mereka hingga menjadi OKU. Keadaan ini sama seperti pembesar China di zaman feudal yang membebat kaki anak perempuan mereka untuk tujuan-tujuan tertentu. Mereka kata kaki yang bersaiz kecil itu cantik, tetapi yang punya kaki itu sendiri akan azab dan cacat buat selama-lamanya.
Keadaan inilah agaknya yang telah menginsafkan Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno yang baru. Dia berhasrat untuk membawa perubahan ke dalam Umno. Apa ertinya merdeka pada tahun 1957 itu, kalau hari ini orang Umno masih lagi tidak mampu dan takut untuk bersaing dan berdikari; kalau masih berjiwa hamba kerana minda mereka telah dibelenggu oleh pemimpin mereka sendiri? Justeru, kerana hendak mengubah sikap dan mentaliti ini, Abdullah terpaksa menyeru kepada seluruh ahli Umno supaya bersatu. Dia tidak malu dan tidak teragak-agak untuk meneriakkan slogan "Hidup Melayu!" yang sudah usang itu di akhir ucapan dasarnya.
Tetapi, sama ada disedarinya ataupupn tidak, Abdullah telah memutar roda sejarah Umno balik semula ke dalam zaman sebelum tahun 1951. Jadi, tahun ini, Umno telah 'mara' setengah abad lebih ke belakang!
SYED HAMID ALI adalah seorang bekas pemimpin pelajar dalam tahun 1970an dan kini menjadi aktivitis sosial di Johor.

