Agak memalukan dan menyedihkan serta kita berasa aib apabila setiap hari pucuk pimpinan parti, orang ramai, rakyat di desa, di kota, orang Melayu, bukan Melayu serta ahli Umno sendiri bercakap mengenai politik wang yang masih wujud dalam Umno yang sudah berusia 58 tahun.

Mereka tidak hanya berbincang mengenainya tetapi turut berusaha menerusi apa cara pun untuk bersama-sama mengharamkan tabiat (bukan amalan) politik wang yang boleh menjahanamkan parti itu suatu hari nanti jika ianya tidak dinoktahkan segera.

Yang menjadi masalahnya ialah pada hari ini, politik wang hanyalah dikaitkan dengan Umno dan tidak pula dengan pertubuhan politik lain! Mengapa? Apakah mereka tidak mengalaminya atau mereka tidak mendedahkannya sepertimana Umno yang kelihatan seperti menepuk air di dulang?

Walaupun pelbagai pihak memperkatakannya, namun politik wang tetap "subur" dalam Umno dan belum nampak akan lenyap dalam masa terdekat ini. Bahawa kesuburan politik wang ini kelihatan seakan-akan seirama dengan kesuburan amalan demokrasi dalam Umno, bukanlah suatu penafian.

Ataupun kita boleh berhujah bahawa politik wang dalam Umno subur disebabkan adanya bekalan dan permintaan. Hari ini, Umno masih dikatakan bergelumang dengannya, walauapapun yang dilakukan untuk membanterasnya, lebih-lebih lagi apabila golongan yang terbukti secara terang-terangan terbabit dalam politik wang, masih menafikan perbuatan mereka.

Ada yang dihukum, ada yang tidak. Ada yang hanya diberikan amaran keras dan ada yang langsung terlepas! Bagi yang terlepas, mereka tidak langsung dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk menjawab pertuduhan kerana dikatakan tidak cukup bukti.

Lembaga disiplin

Kita terdengar kisah seorang ketua bahagian yang juga seorang ahli Parlimen yang kesnya dibuang untuk kali kedua terlepas pada 2001 dan terlepas juga kali ini (2004) atas alasan kekurangan bukti. Sedangkan pihak pengadu sudah cukup bersedia dengan laporan, keterangan saksi, kehadiran saksi dan bahan bukti untuk lembaga disiplin.

Mungkin pada pendapat si polan ini, andaikata parti tidak serius pada 2001 dan 2004 (sehinggakan beliau terlepas walaupun ada bukti), masakan parti akan serius pada pemilihan berikutnya?

Kemungkinan besar beliau akan mengulangi perbuatan ini tanpa rasa ragu-ragu! Andaikata disabitkan kesalahan sekalipun, hukumannya hanyalah paling maksima, digantung keahlian selama tiga tahun, yang tidak membabitkan jawatan awamnya.

Tidaklah keterlaluan andaikata kita berpendapat bahawa tabiat ini akan terus berleluasa apabila parti nampak seperti tidak bersungguh-sungguh melakukan apa yang wajar dan patut untuk menghapuskan politik wang.

Kita tidak menafikan memang benarlah parti mengambil pelbagai usaha dan tindakan untuk membanterasnya, namun setiap kali diadakan pemilihan jawatan, masalah ini masih wujud. Maka kesimpulannya: apabila parti tidak begitu serius, ahlipun tidaklah sangat serius dalam soal ini!

Dan, tidaklah memeranjatkan apabila timbul lagi kisah si polan membayar perwakilan untuk mendapat pencalonan atau si polan menyogok perwakilan untuk menang. Yang menyedihkan lagi ialah ianya menjadi berita utama media tempatan, sehangat berita siapa yang menang untuk jawatan tertentu dan siapa pula yang tumbang!

Pandang ringan

Dalam konteks ini, kita dapati obkjektif media amatlah jelas membantu parti membanteras politik wang. Tetapi bagaimana pula dengan Umno? Apabila hukumannya amat ringan, persoalannya apakah parti memberi isyarat yang jelas?

Dahulunya, apabila masalah politik wang hangat dibincangkan, kita bertanya apa sudah jadi dengan Umno? Peliknya, pada hari ini, pada tahun 2004, kita masih membincangkan persoalan masalah yang yang sama.

Persepsi awam ialah walaupun hanya segelintir penjenayah politik wang di kalangan "pemimpin" Umno yang baru dipilih di setiap peringkat, namun pepatah Melayu bahawa 'seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit' tidaklah boleh dipandang ringan. Pada analisis terakhirnya, yang tercemar imejnya ialah Umno.

Dalam kita berbangga dengan pencapaian Umno sebagai satu-satunya parti politik pejuang kemerdekaan yang masih wujud (dan terus memerintah), tetapi dalam nada yang sama, kita juga kesali wujudnya politik wang yang terus membelenggu Umno.

Orang Umno akan berkata, bukankah pemimpin kita, termasuklah bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengeji, menyeru, menangis dan akhirnya berdoa (di perhimpunan agung) agar Umno dilindungi daripada bahana politik wang dan para penjenayahnya dihukum keras?

Bukankah parti pernah mengadakan persidangan khas untuk meminda perlembagaan agar diwujudkan khusus fasal khas mengenai politik wang bersertakan garispanduan hukuman terhadap penjenayah politik wang?

Hukuman tegas

Selain itu, parti juga mewujudkan pelbagai lagi garispanduan dan bentuk tindakan yang disifatkan keras, namun ianya tetap wujud kerana kehadiran pemberi dan penerima. Kesimpulannya ialah hukuman yang ditetapkan masih belum keras dan tidak setimpal dengan jenayah ini.

Hari ini, umum berpendapat bahawa politik wang terus dipraktikkan dengan pelbagai cara dan rupa sehinggakan kadangkala kita terfikir apakah kesemua perwakilan yang menghadiri mesyuarat cawangan, persidangan perwakilan bahagian dan perhimpunan agung Umno, boleh dibeli atau telah dibeli? Kadangkalanya dibeli dengan harga yang amat murah, seperti RM50 sekepala?

Mungkinlah benar, bukan kesemua perwakilan itu mata duitan. Akan tetapi, disebabkan minoriti yang bersifat sedemikian, maka tidaklah menghairankan apabila timbul persepsi bahawa 'sekandang kerbau sudah terpalit dengan lumpur' yang dibawa oleh hanya seekor atau dua kerbau!

Pertanyaan juga dilontarkan, seperti apakah kesemua atau sebilangan atau segelintir sahaja perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka adalah golongan manusia yang tidak bermoral dan rendah akhlaknya yang mengharapkan sesuatu sebagai pulangan di atas undi yang mereka berikan?

Kadangkala kita juga bertanya apakah mereka ini semua bersih daripada tabiat menerima sogokan politik? Apakah hati dan nafsu mereka ini mudah cair apabila melihat ringgit Malaysia yang berkeping-keping dihulurkan oleh calon atau agen calon? Apakah maruah mereka mudah dibeli dengan hanya dibawa berhibur di kelab karaoke mewah atau separa mewah atau untuk selembar kain batik.

Atau apakah harga diri mereka mudah digadai apabila si polan menjanjikan jawatan tertentu untuk satu undi yang sebenarnya amat bermakna kepada perjuangan membela agama, bangsa dan tanahair, akan tetapi telah dikhianati?

Maruah parti

Bukan sekali, malahan berkali-kali pucuk pimpinan parti mengeluh, marah, ulangbicara, berpesan dan bertegas mahukan tabiat keji ini dihentikan agar parti bersih dan kelihatan bersih di mata semua pihak - untuk orang parti dan bukan orang parti yang menjadi pemerhati dari jauh.

Namun, masih ada insiden politik wang dalam proses pemilihan jawatan penting parti di semua peringkat, termasuklah dalam pemilihan kali ini. Yang turut memual dan menyedihkan ialah kita mendengar harga yang dibayar untuk membeli maruah, harga diri dan hati perwakilan, amatlah murah sekali! Kita bertanya apakah ini harga perjuangan Umno?

Saya berkongsi pandangan dengan Dr Mahathir bahawa mereka yang memberi adalah sama bersalah dengan mereka yang menerima. Pemberi adalah penjenayah dan penerimanya juga penjenayah yang merupakan golongan yang tergamak menjual dan mengadai maruah mereka tanpa sebarang keraguan!

Kalau tiada pemberi, penerima pun tidak akan wujud. Kalau ada pemberi tetapi tiada penerima atau ada peminta tetapi tiada pemberi, maka sudah pastilah politik wang tidak akan wujud dan nescaya umno akan bersih daripada musibah ini kini dan selamanya.

Tahun ini sahaja (kita dimaklumkan) seramai 33 orang didapati bersalah dengan politik wang dan dihukum gantung keahlian tiga tahun atau hanya diberikan amaran. Kita bertanya apakah memadai hukuman sedemikian? Ada di kalangan mereka penyandang jawatan pentadbiran seperti Setiausaha Parlimen, Ahli Exco Negeri dan seorang pegawai khas menteri! ( Bersambung )

Bahagian 2 akan disiarkan pada 28 Oktober.


Nota : Muhammad Zahir Utarawan bukanlah nama sebenar penulis. Beliau adalah bekas wartawan dan ahli Umno yang amat mengambil berat mengenai masa depan parti dan politik tanahair.