Kenapa hanya Utusan Malaysia dan sesekali The Star yang menyindir Ketua Menteri (KM) Melaka Mohd Ali Rustam dalam isu lambakan penganugerahan 'Datuk' baru-baru ini? Tentunya ada sebab. Tiada orang kuat di Utusan Malaysia yang menerima anugerah tersebut, selepas Datuk Sirajuddin Rafia.

Maka, Utusan Malaysia 'menyinga' seketika dan terpaksa mendapatkan komen dari seorang dua, yang rajin bercakap antaranya Dato' Seri Dr Rais Yatim dan Dr. Awang Sariyan. Editor The Star juga pernah mendapat Datuk dari Melaka. Terbaru, Editor Harian Metro, Hafifi Hafidz.

Sebenarnya, penganugerahan Datuk terbanyak datangnya dari Pahang. Diikuti Pulau Pinang dan Melaka. Penganugerahan dari Pahang tidak begitu dihebohkan kerana Pahang sebuah negeri terbesar di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah. Lagipun timbalan perdana menteri datangnya dari Pahang.

Pulau Pinang juga besar dan kebetulan, perdana menteri datangnya dari Pulau Pinang. Kenapa pula bila bintang-bintang bertaburan di Melaka, ia menjadi bahan ejekan dan senda-gurauan? Apa yang tidak kena?

Bayangkan, dalam heboh orang bercakap soal politik wang dalam pemilihan Umno, tiba-tiba Datuk Seri Mohd Ali 'menaburkan bintang-bintang' dengan murahnya. Langkah ini adalah sesuatu yang lebih 'teruk dari politik wang'.

Di mana-mana sahaja sekarang ini, kedengaran ejekan, perli dan sindiran. Maka bermacam-macam SMS sindiran masuk ke telefon bimbit, antaranya berbunyi: "Tuan dianugerahkan Datuk. Sila dapatkan bintang tuan di Pejabat Pos yang berhampiran".

Ada juga yang menghantar SMS berbunyi; 'Sertai peraduan dan menang dengan ganjaran hadiah seperti berikut: 1) Datuk Seri 2) Datuk Wira 3) Datuk. 10 hadiah saguhati iaitu JP dari Melaka.'

Lebih menyedihkan, ada SMS berbunyi; 'Jika tuan tidak dapat mengambil bintang Datuk di Pejabat Pos berhampiran, sila berhubung dengan mana-mana Balai Polis terdekat.'

Berita Harian 13 Okt, di Ruangan Sembang Sentral menulis: 'Hanya orang kecewa pertikai anugerah'.

Tulisan itu cuba mempertahankan Mohd Ali, mungkin atas 'arahan' pihak atasan di Berita Harian, NST dan Harian Metro, untuk berbuat sesuatu bagi menutup mulut orang ramai daripada terus membincangkannya.