Ucapan Najib Razak di majlis perasmian Perhimpunan Pemuda,Wanita dan Puteri Umno pada Sep 21 lalu, cuba mendedahkan apa yang dikatakan pelan bertindak bangsa Melayu untuk berjaya.

Seperti yang acapkali diulang dalam ucapan mengenai Agenda Melayu, ucapan Najib tidak banyak mempunyai kelainan atau keistimewaan daripada apa yang sering dicanangkan oleh kebanyakan pemimpin elit Melayu.

Malang sekali, ucapan retorik seperti itu tidak banyak membantu menggerakan perubahan bangsa Melayu kerana apa yang ketara ialah budaya dan gaya hidup pemimpin elit di kalangan orang Melayu itu sendiri, terutama yang dijaja oleh Umno, tidak sama sekali melambangkan kejujuran yang bersungguh-sungguh untuk merubah nasib bangsa Melayu.

Yang ditonjolkan ialah budaya menonjol kemewahan, mengguna wang untuk mendapat pengaruh, mengamalkan kehidupan berlumba-lumba untuk mendapat gelaran, budaya mendampingi orang ternama untuk mendapat tempat, bersikap talam dua muka untuk mengajar pangkat dan mengamalkan politik curang dan politik feudal.

Apa yang sebenarnya perlu diberi tumpuan dan dikikis ialah perangai gelojoh dan berpura-pura untuk naik keatas dalam hiraki kepimpinan Umno. Selagi dipinggirkan jatidiri orang Melayu, baik dari segi bahasa, gayahidup dan identiti Islam yang murni, maka selagi itulah Agenda Melayu hanya akan menjadi laungan kosong.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi menekankan agar perwakilan Umno memilih pemimpin yang berwibawa dalam taklimat presidennya, tidak ramai yang memberi perhatian kepada apa yang dimaksudkan wibawa itu sebenarnya.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai mencapai ekuiti 30 peratus kekayaan bangsa Melayu. Jika tidak dimasukkan perbadanan-perbadanan seperti Tabung Haji, Lembaga Pembangunan Bandar (UDA), dan sebagainya, ekuiti 19 peratus yang dicapai pada 1990 itu sebenarnya jauh lebih lebih kecil.

Kini tanah milik Melayu itu juga telah mengincup akibat tindakan pemimpin elit Melayu yang mengatasnamakan pembangunan. Siapakah yang sebenarnya yang menyebabkan bangsa Melayu masih ditahap nombor tiga dalam urutan pendapatan per kapita di negara ini jika tidak kerana pemimpin elit orang Melayu itu sendiri?

Kami berpendapat selagi perubahan sikap pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri tidak berlaku dan selagi gaya hidup mewah tidak dikikis dari kehidupan mereka, maka selagi itulah bangsa Melayu ini akan terus mimpi dengan laungan Ketuanan Melayu yang palsu.

Jika pemimpin-pemimpin ini tidak secara jujur berusaha mempertahankan kedudukan bangsa Melayu dari segi identiti ke-Islaman, bahasa dan kebudayaan, kami berpendapatan orang Melayu akan terus ditakuk lama dan akan tetap hidup bergantung kepada ihsan pemimpin elit yang sememangnya ingin agar pergantungan itu akan menjadi jaminan untuk mereka terus disokong oleh Melayu bawahan.


Penulis adalah presiden Badan Teras Pengupayaan Melayu.