Kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.

Beliau berkata kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal jam 6 petang ini.

"Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan atau Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi berkata perampas bagaimanapun berjaya melarikan diri menaiki bot penyelamat kapal berkenaan.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

Jejak perampas

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sebuah pesawat P-3C Orion, C130 dan pesawat Beechcraft kini sedang menjejaki perampas yang melarikan diri daripada kapal tangki MT Orkim Harmony.

Beliau berkata TLDM turut menghantar tiga kapal dan dua helikopter untuk menyertai operasi pencarian.

Abdul Aziz yang mengemaskinikan operasi berkenaan melalui akaun Twitter beliau berkata lapan perampas melarikan diri daripada kapal tangki berkenaan pada kira-kira 8.30 malam tadi, menggunakan bot penyelamat.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony telah dibebaskan pada kira-kira 2.30 hari ini.

Kesemua anak kapal selamat kecuali seorang tukang masak warga Indonesia yang cedera akibat ditembak di paha oleh penjenayah berkenaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Aziz berkata tentera laut Indonesia bersetuju membantu mencari perampas kapal tangki MT Orkim Harmony yang melarikan diri di perairan Kepulauan Natuna.
 
Katanya, persetujuan itu dinyatakan kepadanya oleh Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia Laksamana Ade Supandi melalui perbualan telefon dan teks pesanan ringkas awal pagi tadi.
 
Setakat ini, selain kerajaan Malaysia, turut membantu dalam operasi memburu perampas berkenaan ialah Tentera Udara Diraja Australia yang menyediakan pesawat P3C Orion.
 
Abdul Aziz berkata operasi memburu berkenaan turut disertai Tentera Udara Diraja Malaysia yang menyediakan pesawat C-130 Hercules dan B200T-Beechcraft.
 
TLDM dalam pada itu mengerahkan KD Pahang, KD Terengganu dan KD Jebat disertai dua helikopter Super Lynx dan Fennec, katanya.
 
Beliau berkata TLDM juga sedang meminta kerjasama Tentera Laut Vietnam dan Thailand untuk membantu operasi berkenaan.
 
Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata selain kesemua kru disahkan selamat kecuali seorang tukang masak yang cedera, muatan 6,000 tan metrik petrol RON95 turut disahkan tidak dilarikan perampas.

- Bernama