PKR dan DAP sepakat untuk tidak membubarkan DUN Selangor untuk mengelakkan pilihan raya negeri dijalankan ekoran perpecahan Pakatan Rakyat.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pilihan raya negeri tidak perlu dilakukan kerana tiga parti dalam Pakatan sebelum ini berjaya menguasai Selangor dengan majoriti besar.

Pilihan raya negeri yang baru juga akan membazirkan dana, katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

“...lebih baik jika diteruskan kerjasama politik dalam bentuk kerajaan gabungan di peringkat negeri,” tambah Rafizi.

Beliau berkata, parti itu mengambil kira kritikan yang timbul apabila pilihan raya kecil DUN Kajang dijalankan pada tahun lalu.

“Di Selango, tiada apa yang berubah dalam soal kerjasama tiga parti dalam pentadbiran negeri,” katanya.

Katanya, kerajaan Selangor juga tidak boleh dibandingkan dengan kerajaan persekutuan, yang dikuasai BN dengan hanya 48 peratus undi popular.

“BN hanya meraih 48 peratus undi popular dalam pilihan raya umum lalu, kami pula (Pakatan pada masa itu) mendapat 52 peratus undi,” kata Rafizi.

Sementara itu, pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata langkah untuk membubarkan DUN adalah pilihan terakhir yang akan difikirkannya.

Katanya, DAP akan bertemu Menteri Besar, Azmin Ali dalam tempoh secepat mungkin untuk membincangkan pilihan yang ada bagi mengekalkan kerajaan Selangor.

"Pembubaran DUN ini adalah perkara yang kita cuba elak,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

MP Shah Alam, Khalid Samad pula berharap partinya tidak akan menyokong sebarang usul untuk membubarkan DUN.

Katanya, ketiga-tiga parti dalam kerajaan Selangor kini perlu meningkatkan usaha untuk memberi khidmat kepada rakyatnya.

[Baca berita asal]