Ramai orang membuat tanggapan salah terhadap corak pengundian Cina di Lukut. Kemenangan calon Parti KeADILan Nasional, Ruslan Kasim, sebanyak 297 undi melebihi calon Barisan Nasional, S. Sothinathan di kawasan itu memberikan gambaran seolah-olah kaum Cina menyokong Barisan Alternatif.

Dalam pilihan raya umum November lalu, calon BA (dari KeADILan) N. Gobalakrishnan, tewas 285 undi di tangan mendiang calon BN, Anpalagan Sami Reddy.

Dua keputusan itu membayangkan peralihan 582 undi Cina ke arah pembangkang.

Berbanding tanggapan umum selepas pilihan raya ke-10 lalu - pengundi Cina dikatakan memihak kepada kerajaan - melalui kuputusan sepintas lalu itu, nampaknya kali ini Cina menyokong pembangkang pula.

Bagaimanapun, jentera KeADILan dalam penilaian (post-mortem) hujung minggu lalu membuktikan sebaliknya.

Cina di Lukut masih lagi tidak menunjukkan kecenderungan mengundi BA atau tepatnya KeADILan dengan calonnya seorang Melayu.

BN
BA
Jumlah
Nov 1999
6,681
6,452
13,133
Jun 2000
5,649
5,946
11,595
Beza undi
- 1,032
- 506
- 1,538


Jadual di atas menunjukkan dengan jelas kedua-dua parti mengalami kemerosotan undi yang ketara di Lukut. Tetapi kemerosotan BN sebanyak 15.84 peratus, berbanding hanya 7.84 peratus bagi KeADILan (dahulu calon BA bertanding atas tiket DAP).

Sementara bagi kawasan-kawasan yang padat pengundi Melayu di DUN Chembong, Linggi, Pasir Panjang dan Si Rusa menunjukkan calon BA mendapat undi yang semakin bertambah. Jurang majoriti antara dua parti itu semakin kecil (lihat jadual terakhir).

Pertambahan beberapa ratus undi kepada BA di setiap DUN Melayu itu menjawab persoalan mengapa jumlah undi yang diperolehi oleh Ruslan meningkat sebanyak 1,407 undi berbanding yang dicapai oleh Gobalakrishnan.

1999
2000
Beza
BN
26,815
24,500
- 2,315
BA
17,121
18,528
+ 1,407
Majoriti
9,694
5,972
+ 3722


Pengundi yang menyokong BN dalam pilihan raya 1999 nampaknya tidak keluar mengundi, jelas sekali dalam DUN Lukut, seramai 1,032 orang dan keseluruhan kawasan parlimen itu seramai 2,315 orang (lihat dua jadual di atas).

Mungkin mereka kecewa terhadap janji-janji BN untuk menyelesaikan masalah penternakan khinzir. Namun, mereka tidak sanggup menyokong calon pembangkang. Mereka tidak keluar mengundi sebagai protes.

Mungkin juga mereka yang tinggal dan bekerja di luar kawasan tidak pulang untuk mengundi dengan andaian BN akan tetap memenangi kawasan itu sebab majoriti besar yang diperolehi dulu.

Walaupun peratus mengundi kali ini menurun beberapa peratus, tetapi ajaibnya calon BA mendapat pertambahan lebih 1,400 undi. Ini menunjukkan pengundi Melayu boleh memilih calon pembangkang Melayu berbanding calon bukan Melayu parti kerajaan.

Namun begitu, majoriti undi di empat DUN Melayu itu masih memihak kepada BN

Pecahannya dapat diperincikan seperti jadual di bawah: * angka tidak rasmi ini dikumpul oleh jentera pilihan raya KeADILan dan BA

Nov 1999
Jun 2000
Pertambahan BA
Chembong
- 2,217
- 1,503
714
Linggi
- 2,767
- 2,482
285
Pasir Panjang
- 1,746
- 883
863
Si Rusa
- 1,597
- 1,357
240


Dari segi undi pos pula, BA berjaya mendapat 1,743 undi dan calon BN mendapat 1,625 (undi rosak, 320). Undi pos yang dibanggakan dikuasai oleh calon KeADILan sebanyak 118 itu sepatutnya lebih besar jika sebanyak 1,362 undi yang dikategorikan "tidak dikembalikan" berjaya sampai ke peti undi (dalam bentuk beg).

Ada dakwaan undi itu sebenarnya dipangkah oleh kakitangan tentera tetapi pihak-pihak tertentu tidak menyampaikannya kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara terdapat satu lagi dakwaan serius "penyelewengan" dalam amalan membuang undi. Tentera yang berpangkalan di Port Dickson yang membuang undi lebih awal, bermula 5-9 Jun, didapati majoritinya menyokong BN.

Anggota tentera yang membuang undi pada hari mengundi 10 Jun menyokong BA.

Kenapa ada dakwaan ini?

Menurut sumber, semua kertas undi yang dipangkah pada 5-9 Jun dimasukkan dalam beg undi pos dan disimpan di balai polis berdekatan sebelum dikira pada hari mengundi. Keselamatan beg undi itu kini dipertikaikan.

Sejauh mana kesahihan dua dakwaan serius ini bagaimanapun belum disemak.

Sumber yang sama juga menyebutkan jumlah undi pos semuanya (termasuk yang rosak) sebanyak 5048, dan bukannya 5005 seperti didakwa oleh media massa perdana dan juga SPR.

Apapun teori atau penjelasan di sebalik corak pengundian yang terbaru ini, yang pasti pilihan raya kecil selalunya sedikit berbeza daripada trend pilihan raya umum. Ia tidak boleh digeneralisasikan dengan mudah.

Isunya lebih setempat dan keputusannya tidak membabitkan perubahan yang signifikan di peringkat pentadbiran negeri atau kerajaan pusat. Berbeza ketika pilihan raya umum, pengundi selalunya mengutamakan calon berbanding parti dalam pilihan raya kecil seperti di Telok Kemang.

Dengan kata lain, BA atau lebih khusus KeADILan meletakkan calon yang tepat dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Lagipun Ruslan memang mempunyai kekuatan di negeri kelahirannya itu.

Dalam pilihan raya 1999 lalu, di Negeri Sembilan, hanya dua kawasan parlimen sahaja yang menunjukkan calon pembangkang membawa kesan yang bermakna.

Selain kawasan Kuala Pilah yang ditandingi oleh Pengerusi DAP (waktu itu) Chen Man Hin (tewas 1,386 undi), satu lagi ialah kawasan Rasah yang ditandingi Ruslan (kalah dengan majoriti 2,818 undi).