Ada kalangan perwakilan tidak sempat mendaftar untuk mengundi dalam pemilihan bagi pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno kerana hanya baru tiba untuk menghadiri mesyuarat pada pagi ini.

Sekumpulan perwakilan Puteri Umno dari sebuah bahagian di Perak yang baru tiba pagi ini, gagal untuk mendaftar ketika berjumpa petugas di meja pendaftaran.

Menurut kakitangan yang bertugas di situ, pendaftaran untuk Wanita, Pemuda dan Puteri dibuat semalam, kerana pemilihan bagi ketiga-tiga pergerakan tersebut berlangsung pagi ini.

"Buat masa ini tak boleh dibuat apa-apa kerana pegawai dari semua wakil pergerakan tersebut kini sedang terbabit dengan pemilihan pagi ini," katanya.

Pemilihan pagi ini hanya membabitkan pemilihan ahli exo bagi ketiga-tiga pergerakan tersebut

Jawatan Ketua dan Naib Ketua bagi ketiga-tiga pergerakan tersebut telah dimenangi tanpa bertanding selepas selesai mesyuarat bahagian Julai lalu.

Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Shahrizat Jalil masing-masing menang tanpa bertanding untuk jawatan ketua and timbalan pergerakan Wanita. Manakala Datuk Hishammuddin Tun Hussein kekal sebagai Ketua Pemuda dan Khairy Jamaluddin menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua.

Lewat

Bagi Puteri Umno pula, Noraini Ahmad dipilih tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Azalina Othman untuk menerajui pergerakan itu.

Azalina melepaskan jawatan Ketua Puteri Umno kerana faktor had umur. Beliau bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT).

Manakala Rosnah Abd Rashid Shirlin menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua pergerakan tersebut.

Sementara itu, salah seorang daripada perwakilan dari Perak, ketika ditemui, berkata, kira-kira 40 perwakilan dari bahagiannya, tiba pagi ini.

Ditanya mengapa mereka hanya tiba pagi ini, sedangkan pendaftaran dibuat semalam, beliau berkata: "Tak tahulah, kami diberitahu supaya datang hari ini."

Ini bermakna mereka tidak berpeluang untuk mengundi pada pagi ini kerana tidak sempat berdaftar.

Menurutnya, ramai lagi perwakilan dari bahagian-bahaian lain pun dilihatnya baru sampai pagi ini.