Pada hari ini 15 Sep lalu, berlangsung pilihanraya kampus. Saya sudah banyak mendengar dan melihat pelbagai taktik kotor yang digunakan oleh pihak 'Aspirasi' yang didalangi oleh pihak pentadbiran universiti untuk memenangi pilihanraya ini.

Saya tahu kemenangan pihak 'Aspirasi' adalah penting bagi mereka untuk bertapak di kampus dan untuk mewujudkan golongan mahasiswa yang hanya menjadi 'Pak Turut' dan sekadar berpuashati apabila makan minum mereka cukup dan tidak tergugat.

Sememangnya, pada tahun ini, kemenangan 'Aspirasi' lebih baik daripada tahun lepas. Mengapa tidak, sekiranya pelbagai taktik kotor digunakan oleh pihak 'Aspirasi' bersama pihak universiti. Sekadar memberi contoh pelbagai taktik kotor yang digunakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun ini:

  • Pengambilan nombor siri (kertas undi) sewaktu pilihanraya.

  • Mengambil nombor matrik/pendaftaran sekumpulan pelajar bagi menyemak undi mereka.

  • Tidak membenarkan calon 'Mampu' berkempen, memasang 'banner', mengedar risalah. (Hanya calon 'Aspirasi' sahaja dibenarkan berkempen, mengedar risalah dan memasang 'banner')

  • Ada pensyarah yang hanya memberi peluang untuk calon 'Aspirasi' berkempen (sebelum/semasa waktu kuliah) dan mengusir keluar calon 'Mampu'.

  • Pengetua kolej kediaman memberi amaran kepada pelajar akan dibuang kolej jika tidak mengundi 'Aspirasi'.

  • Borang pemohonan penginapan di kolej untuk sesi hadapan diedarkan sehari sebelum pilihanraya dan terdapat ruang di dalam borang untuk menyatakan sama ada pemohon adalah ahli Kelab Aspirasi atau tidak. Borang ini perlu dihantar pada hari pengundian.

  • Pemberian hadiah kepada kolej kediaman yang mencatat kemenangan undi terbanyak untuk calon 'Aspirasi'.

Tidak cukup dengan ini 'Pak Guard' (pegawai keselamatan universiti) turut bersekongkol dengan pihak universiti dan 'Aspirasi'. Kehadiran 'Pak Guard' yang begitu ramai di pusat-pusat mengundi juga mewujudkan suasana yang tegang. Pegawai keselamatan akan cepat-cepat mengerumuni mahasiswa yang cuba mempersoalkan sesuatu.

Ini berlaku kepada seorang rakan saya yang menegur pegawai undi apabila nombor siri kertas undinya diambil. Apalagi, 'Pak Guard' kita pun cepat-cepat datang kepada rakan saya, menyebabkan beliau membatalkan hasrat untuk menyuarakan pendapatnya dan beredar dari situ.

Pada asasnya, pilihanraya kampus berfungsi atau memberi peluang kepada pelajar untuk memilih pemimpin mereka. Tetapi pada hari ini, pilihanraya ini telah berubah dan digunakan sebagai medan penerapan budaya politik 'mainstream' di kalangan pelajar.

Pihak pentadbiran universiti telah menghapuskan ruang demokrasi di kampus. Mahasiswa tidak tidak punya lagi hak kebebasan bersuara dan hak memilih pemimpin. Mahasiswa dipaksa untuk membuat apa sahaja yang diarahkan oleh pihak universiti dan tidak dibenarkan untuk berfikir dan menegaskan pendirian sendiri.

Sudahlah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1974 yang sedia ada telah mengongkong kebebasan mahasiswa, kini ruang demokrasi seumpamanya juga turut dirampas. Kebebasan yang dinikmati oleh mahasiswa pada tahun 1970-an, telah berubah pada masa kini. Sistem demokrasi yang dilaung-laungkan sebelum ini, kini telah berubah kepada sistem 'totalitarian'.

Penindasan terhadap mahasiswa ini dilakukan bagi membentuk golongan muda yang tidak menyoal kelemahan kerajaan, satu golongan yang menjadi 'Pak Turut" serta tidak dapat berfikir secara kritikal dan analitikal.

Inikah golongan pemimpin yang akan dibentuk pada masa hadapan? Adakah golongan sebegini yang dipanggil pemimpin progresif ?

Bagi rakan-rakan seperjuangan di Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), saya ada mendengar tentang bantahan yang dilakukan terhadap segala manipulasi yang cuba dilakukan.

Syabas! Bagi rakan-rakan yang lain - sampai bila lagi saudara/saudari mahu membisu dan membiarkan penindasan berlaku di depan mata anda. Saya rasa subah tiba masanya untuk kita bangun dari tidur.