Muqadimmah

Pada bulan Ogos tahun ini saya dijemput ke Indonesia oleh teman-teman saya di Pusat Kajian Islam dan Pluralisme (ICIP), Jakarta, untuk memberi beberapa ucapan tentang persoalan Islam Progresif dan masa depan gerakan Islamisme di Nusantara. Setelah memberi ucapan-ucapan yang sama temanya, persoalan yang sama timbul berkali-kali: Apakah dia itu Islam Progresif dan apakah yang mungkin berlaku kepada gerakan Islamisme progresif di rantau ini? Karangan ini merupakan suatu simpulan ucapan-ucapan yang saya telah berikan itu, dan saya berharap bahawa tulisan saya ini dapat menjawab beberapa persoalan dan keraguan yang telah timbul.


I. Kembali kepada 'Radikalisme' yang asal dan tulen

Dewasa ini, para pemimpin, anggota dan pengikut gerakan Islamisme sedunia begitu takut dan curiga kepada istilah 'radikal' ataupun 'radikalisme'. Hampir semua pemimpin Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan label 'Muslim moderat' yang dikatakan beradab, damai dan pasif (Baca: Disenangi kuasa-kuasa Barat dan patuh kepada kehendak dan agenda Washington).

Apatah lagi setelah istilah 'radikalisme' itu diberi suatu makna atau warna yang begitu negatif sekali, sehingga dipersamakan dengan 'militan', 'ganas' dan 'ekstrimisme'.

Kita begitu waspada dan risau terhadap istilah 'radikal' ini, sehingga kita tidak mahu apa-apa hubungan dengannya, atau dikaitkan dengannya walau bagaimanapun. Begitu takut 'dikambing hitamkan' dengan gelaran 'Islam radikal', sehingga gerakan-gerakan Islam sedunia dijinakkan dan dijadikan kambing langsung!

Inilah aspek komedi gerakan Islamisme dewasa ini, yang mengatakan mereka itu 'berani mati' tapi 'takut lapar'... (Kerana maklumlah, golongan Islamis radikal tidak disenangi Barat dan tidak boleh terima wang sumbangan dan naungan dari mereka!)

Saranan saya ialah association atau perkaitan antara konsep 'radikalisme' dan fenomena-fenomena negatif seperti 'militan', 'ganas' dan ekstrimisme' itu salah, baik dari segi sejarah dan juga logik. Dari sudut pandangan etimologi (iaitu asal-usul sesuatu perkataan atau konsep itu), kedua-dua konsep itu tidak ada apa-apa hubungkait langsung.

Yang menakjubkan ialah bagaimana telah berlaku suatu alihan paradigma dan alihan wacana yang menyebabkan berlakunya perkaitan antara 'radikalisme' dan 'militan' ini. Seperti yang saya telah sebut dalam bahagian pertama siri rencana ini, perubahan-perubahan sebegini disebabkan oleh faktor-faktor institusi, relasi kuasa dan struktur kuasa tertentu, dan bukanlah hasil usaha geng-geng jin dan hantu pelesit yang dikhuwatiri oleh sesetengah pihak konservatif di kalangan kami.

Agensi-agensi yang terbabit dalam peralihan wacana dan paradigma ini termasuklah golongan pers arus perdana, kerajaan-kerajaan negara terbangun, kroni-kroni mereka di negara-negara membangun, dan (malangnya, tetapi benar juga) kesilapan sesetengah gerakan Islamis itu
sendiri.

Peralihan wacana ini tidak berlaku tanpa sebab. Memang ada sebab-sebab tertentu mengapa istilah dan konsep 'radikalisme' itu telah dikambinghitamkan dan diberi label dan nilai negatif yang baru. Untuk memahami proses ini dan sebab-musababnya, kita perlu bermula dengan suatu sorotan sejarah, balik kepada suatu era di mana 'radikalisme' itu tidak dianggap bahaya, malah positif nilainya dan diagung-agungkan.

II. Radikalisme yang Positif

Saya tertarik kepada Islamisme yang radikal rupa dan jiwanya. Malah saya membela gerakan Islamisme radikal atas keyakinan saya bahawa gerakan ini mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk berdepan dengan gejala globalisasi dan aspek-aspek negatifnya. Dalam konteks politik antarabangsa waktu ini, jelas sekali gerakan Islamis radikal sajalah yang mampu menangani masalah-masalah ekonomi dan politik yang rumit dan kompleks yang disebabkan oleh proses globalisasi yang tidak dikawal dan tidak dapat dikawal.

Kita patut kembali kepada makna 'radikalisme' yang asal. Pada akhir abad ke-19 dan pertengahan abad ke-20, gerakan nasionalis dan anti-kolonial di dunia ketiga dipimpin dan diterajui oleh tokoh-tokoh radikal yang hebat dan berperibadian tinggi dan mulia.

Tokoh-tokoh Asia seperti Jose Rizal di Filipina, Pridi Banomyong di Siam (yang mendirikan Universiti Thamassat), Nguyen Cho Thacht (@ Ho Chi Minh) di Vietnam, Bung Karno dan Muhammad Hatta, Haji Agoes Salim di Indonesia dan Syed Sheikh al-Hady dan Dr Burhanuddin al-Hemly di Malaysia kesemuanya boleh dilabelkan 'radikal' pada masa itu.

Mengapa 'radikal'? Kerana mereka berusaha untuk membebaskan negara dan masyarakat mereka daripada bebanan hidup di bawah suatu regim kolonial yang tidak adil. Matlamat dan wawasan politik mereka berlandaskan suatu ide kebebasan yang tulen, yang berdasarkan konsep keadilan sejagat yang tidak membelah-bagi. Mereka tidak berkompromi dalam perjuangan mereka dan mereka menentang status quo yang sedia ada secara total.

Penentangan total inilah yang menyebabkan mereka dianggap radikal pada masa itu. Tetapi perlu diingat bahawa pada masa itu penentangan total anti-kolonial disokong dan didokong oleh rakyat jelata. Tokoh-tokoh ini sedar bahawa perubahan dan kemerdekaan yang sempurna tidak akan dicapai selagi struktur kuasa dan relasi kuasa yang lama, masih kekal. Oleh kerana itulah, fokus penentangan mereka diarah kepada sistem politik dan institusi politik kolonial masa itu.

Contoh yang sama boleh kita dapatkan dari kasus yang berlainan: Mahatma Gandhi di India juga dilabelkan 'radikal' yang merbahaya. Pemimpin-pemimpin nasionalis Afrika seperti Patrice Lumumba di Congo menghadapi tekanan yang sama. Dan saya kira pemimpin 'radikal' yang paling terkenal dalam abad ke-20, tidak lain dan tidak bukan Nelson Mandela di Afrika Selatan, yang langsung tidak berdialog atau berkompromi dengan regim apartheid di sana, hingga beliau dipenjarakan lebih 25 tahun.

Apakah Nelson Mandela, Mahatma Gandhi dan Patrice Lumumba itu individu-individu bersifat radikal yang merbahaya? Ya, tentu sekali 'merbahaya' tetapi merbahaya bagi regim militer dan rasis yang kejam, zalim dan korup! Patutkah kita menolak radikalisme jenis itu? Bagi mereka yang ingin perjuangan untuk keadilan itu diteruskan, jawapannya tentu tidak.

Aneh sekali, dewasa ini kuasa besar Amerika pula mengunakan label 'radikal' untuk meminggir dan mengkambinghitamkan musuh dan saingan mereka. Tetapi perlu kita ingat bahawa Amerika juga didirikan oleh pemimpin-pemimpin yang dahulunya dianggap radikal.

George Washington, yang memberontak menentang kerajaan Inggeris pada abad ke-18, juga digelarkan 'radikal' oleh Raja George Inggeris pada zaman itu. Malah boleh dikatakan tanpa apa-apa keraguan, bahawa Amerika tidak mungkin wujud tanpa gerakan pro-kemerdekaan yang radikal. Jadi mengapakah pemimpin-pemimpin Amerika waktu ini takut kepada aliran-aliran ide dan politik yang berwajah radikal?

Adakah mereka dihantui oleh bayangan-bayangan mimpi mereka? Atau mungkinkah mereka sedar bahawa sekarang ini Amerika bukan lagi suatu negara yang dijajah, tetapi negara yang menjajah dan dianggap negara penjajah?

III. Radikalisme dan keagamaan

Persoalan radikalisme ini menjadi kian rumit apabila dikaitkan dengan suatu lagi fenomena sosial yang merupakan suatu faktor pembolehubah (variable) yang kompleks: Agama.

Jelas sekali bahawa di kalangan ideolog dan pemimpin negara terbangun, telah wujud suatu ketakutan dan keraguan terhadap fenomena politik keagamaan. Pada dekad 1960-an dan 1970-an, wujudnya fenomena teologi kebebasan (liberation theology) di Amerika Latin dan Amerika Tengah.

Di kalangan tokoh dan pemikir agama Katholik di sana, lahirlah suatu wacana keagamaan yang memampirkan sifat kepeduliannya terhadap isu-isu keadilan sosial dan kemasyarakatan. Pemimpin-pemimpin gerakan teologi kebebasan ini mula mengunakan ide-ide dan nilai agama Nasrani untuk menentang kezaliman dan ketidakadilan regim-regim militer yang didokong dan disokong oleh penaung mereka, iaitu kerajaan Amerika dan kelompok bisnis-militernya.

Walaupun gerakan teologi kebebasan ini gagal mencapai kebebasan yang sempurna, jelas sekali bahawa kelebihan dan keupayaan gerakan sebegini terserlah. Golongan elit politik, bisnis dan militer terharu apabila melihat demonstrasi jalanan, mogok dan lain-lain fenomena penentangan yang begitu hebat dan populer. Dari masa itulah, gerakan politik keagamaan itu tidak disenangi lagi.

Wacana (discourse) mana-mana agama itu memang mempunyai potensi untuk menentang dan merombak kembali suatu orde sosial dan politik yang sedia ada. Ini adalah kerana tiap-tiap agama yang diwahyukan dan diturunkan kepada umat Manusia itu mengandungi pesanan atau mesej yang sama: Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan sejagat bagi seluruh umat manusia, yang merupakan insan setaraf dan sama di sisi Tuhan.

Oleh kerana ini, amat susah bagi kita membayangkan suatu wacana keagamaan yang bersifat 'pasif' dan 'jinak'.

Agama Buddhisme, sebagai contoh, mempunyai mesej radikalnya: Buddhisme boleh diinterpretasikan sebagai suatu wacana baru yang mengkritik dan menolak hegemoni kasta Brahmin yang begitu dominan dalam struktur sosial dan hiraki kuasa masyarakat Hindu pada masa itu.

Oleh kerana itulah, dalam tulisan-tulisan Buddhisme, kita kerapkali membaca adengan yang mengkritik golongan Brahmin itu.(1) Bagi kasta atasan Brahmin itu, Buddhisme memang boleh dianggap suatu sistem ide dan nilai yang merbahaya dan radikal tetapi radikalisme Buddhisme itu wujud kerana sikap kepeduliannya terhadap isu-isu keadilan sosial.

Dalam kasus agama-agama tradisi Ibrahim (Abrahamic tradition), timbul juga elemen-elemen radikalisme yang sama: Agama Nasrani (Christian) mengandungi kritikan terhadap hegemoni golongan paderi (Rabbi) kaum Yahudi. Nabi Isa mengkritik kesalahgunaan kuasa dan kesilapan penafsiran teks di kalangan elit agama Yahudi ini, sehingga beliau dituduh 'menghina agama Yahudi' dan menyebar agaran sesat.

Tetapi elemen radikan yang ada dalam ajaran Nabi Isa itu wujud oleh kerana agendanya yang bersifat transformatif dan menghala ke arah suatu reformasi total baik dari segi interpretasi tekstual maupun orde sosial.

Apabila Nabi Muhammad menerima wahyu, beliau juga dituduh seorang 'radikal' yang menimbulkan kekacauan dan konflik di kalangan masyarakatnya. Nabi Muhammad dituduh menyebar ajaran sesat, membawa fitnah, mencetuskan konflik antara keluarga, dan sebagainya. Tetapi Nabi ditentang kerana ajaran agama Islam itu sebenarnya menentang secara total ketidakadilan dan kezaliman yang berluas-luasan di kalangan kaum bani Quraish pada masa itu.

Islam memang dari awalnya mempunyai ciri 'radikal' sebegini kerana ia tidak senang dengan ketidakadilan, dan mereka yang senang dengan orde lama yang korup itu pula tidak senang dengan kedatangan Islam. Oleh kerana kedua-dua sistem nilai dan orde sosial ini tidak boleh dipersamakan atau disesuaikan, maka wujudlah konflik yang berasaskan saingan kuasa.

'Radikalisme' yang ada pada ajaran agama Islam dan agama yang lain berpunca dari visi atau wawasan sosialnya, iaitu suata wawasan orde yang baru, yang menentangkan kesalahan dan kemungkaran orde sedia ada, dan ingin melahirkan suatu orde sosial baru yang lebih adil bagi semua. Dapatkan kita, waktu ini, menolak agenda pembaharuan yang radikal tetapi positif dan
progresif sebegini?

IV. Apakah maknanya 'Radikalisme' hari ini?

Saya menolak sama sekali persamaan yang dibuat antara 'Islamisme radikal' dan aksi militan, ganas, garis keras dan konservatif. Malah hakikatnya, gerakan Islam garis keras, yang bersifat konservatif dan pendirian kolot dan kuno, lebih dekat dengan golongan konservatif Barat yang digelar Neo-Konservatif (Neo-Cons) itu.

Ini jelas kelihatan apabila kita membandingkan pendirian mereka terhadap beberapa isu seperti hak asasi manusia (HAM), demokrasi, hak wanita, keadilan sosial, keadilan gender dan
lain-lain lagi.

Persoalannya ialah: Jikalau kita ingin kembali kepada suatu definisi atau interpretasi Islam progresif yang maju, dinamik dan radikal secara positif dan konstruktif, bagaimana?

Bagi saya, halangan-halangan utama yang dihadapi oleh pihak Islamis progresif waktu ini adalah:

1. Terpaksa membela agenda progresif yang kerapkali dilabelkan 'radikal' itu;

2. Terpaksa berfikir dan menjalankan aktivitas dalam ruang wacana dan ide yang sempit, di mana parameter perjuangan itu masih terkongkong oleh orthodoksi yang lama,

3. Terpaksa mendirikan suatu wacana pembaharuan sosial dengan menggunakan logik, wacana, istilah dan ide dari era yang lalu.

Bagi Islam progresif itu benar-benar 'progresif' sifatnya, ia harus progres iaitu maju keluar dari lingkungan ide dan praxis yang ketinggalan zaman. Kitab-kitab lama yang kuno tidak dapat memberikan kita jawapan kepada masalah-masalah semasa, terutama masalah yang disebabkan proses globalisasi.

Oleh kerana itu, parameter perjuangan dan ide-ide asas perjuangan Islamisme itu mesti dirombak kembali, agar lahirnya suatu wacana Islamisme yang bisa berdepan dengan realiti harian yang ada. (Dan bukan masalah esoterik seperti hantu jin di bawah katil!).

Bolehkah gerakan Islamisme progresif ini melepaskan dirinya dari dominasi epistomologi, logik dan praxis zaman dulu? Apakah rupa dan bentuknya wacana progresif yang baru ini? Inilah persoalan-persoalan yang akan dibincang dalam bahagian seterusnya.


Nota

1) Sebagai contoh, dalam babad cerita Jataka Wetsandon (atau Jataka Wesantara), adanya watak Brahmin yang jahat dan zalim, yang merampas anak-anak Putera Wetsandon (Wesantara), untuk digunakan sebagai hamba-hambanya. Akhirnya Brahmin ini mati kesemputan, kerana makan terlalu banyak!

Watak-watak Brahmin negatif (yang kadangkala juga lucu) begini seringkali wujud dalam babad-babad Jataka (cerita kitaran hidup individu-individu berlainan), yang rohnya mengalami transmigrasi keruhanian (spiritual transmigration), sehingga menjelma sebagai watak Gautama Buddha) dan mencerminkan sifat anti-Brahmin yang ada dalam ajaran Buddhisme itu.

Selalunya, Brahmin-brahmin itu dipaparkan sebagai individu yang tamak haloba, bersifat duniawi dan hipokrit, suatu kritikan dan sindiran terhadap golongan kasta atasan Brahmin secara menyeluruh.


Apa itu 'Islam Progresif'? (Bhgn I)