Tiada halangan perwakilan bahas isu Anwar
Perwakilan Umno tidak akan dilarang daripada menimbulkan isu berkaitan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu perbahasan di perhimpunan agung parti pada 21 hingga 25 September ini, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perwakilan Umno tidak akan dilarang daripada menimbulkan isu berkaitan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu perbahasan di perhimpunan agung parti pada 21 hingga 25 September ini, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, ia terserah kepada perwakilan yang membahaskan usul di perhimpunan tersebut, sama ada mahu membangkitkan perkara yang berkaitan dengan Anwar.
Anwar telah dibebaskan daripada penjara awal bulan ini setelah Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung tuduhan meliwat.
Sejak itu timbul dakwaan kononnya terdapat usaha untuk membawanya kembali ke Umno.
Anwar kini menjalani rawatan lanjut di Munich, Jerman selepas pembedahan pada tulang belakangnya di sana.
Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, Muhyiddin berkata usul yang pertama adalah mengenai ucapan dasar Presiden yang antara lain menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, usul tersebut juga bertujuan untuk mengucapkan tahniah kepada Abdullah kerana kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihanraya lalu.
Hak bersuara
"Bagaimanapun setakat ini tiada usul tergempar. Isu itu (Anwar) mungkin dibahaskan dalam lingkungan ucapan dasar atau mana-mana (usul) sahaja," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno.
"Kita tak boleh nak kawal kalau mereka nak kemukakan pandangan. Itu terserah kepada mereka. Ini soal politik dan kita tak boleh nak kata jangan bahas, jangan bincang kerana mereka ada hak untuk menyuarakan, apa lagi jika mereka menyokong keputusan Presiden parti," katanya.
Ahad lalu Abdullah menjelaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang tawar menawar dengan Anwar untuk membawanya semula ke dalam Umno.
Sebelum itu, Pemuda Umno mengeluarkan kenyataan menolak sebarang usaha untuk membawa masuk Anwar ke dalam parti itu.
Hari ini, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datin Seri Rafidah Aziz turut menyatakan pendirian pergerakan itu menentang sebarang cubaan untuk membawa bekas timbalan perdana menteri kembali kepada Umno.
Muhyiddin bagaimanapun tidak pasti ketika ditanya sama ada perhimpunan agung kali ini akan turut membuat sebarang ketetapan mengenai Anwar.
Bagaimanpun, katanya, forum terbaik bagi menyuarakan pendapat mengenai isu itu ialah menerusi perhimpunan agung kerana pada masa itu kesemua pemimpin parti hadir.
"Kita akan lihat sama ada wakil negeri (yang berbahas) akan bawa topik yang serupa ... kemungkian besar begitulah," katanya.

