Nik Aziz punca Kelantan lemah?
Menjelang muktamar PAS yang bersejarah di Kuala Terengganu awal Jun lalu, pemimpin dan penyokong parti itu dikejutkan dengan sebuah buku, Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul.
Pada halaman depan buku ini, terpapar gambar tiga orang kuat PAS Kelantan, selain foto Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Buku yang dianggap penulisnya, MOHD SAYUTI OMAR, sendiri sebagai "menentang arus dan kontroversi" tidak mendapat sambutan di luar Kelantan tetapi PAS negeri itu bagaimanapun menunjukkan minat.
Ikuti wawancara malaysiakini mengapa penulis ini mengkritik parti Islam.
Malaysiakini: Apakah hasrat anda ketika menulis buku Tiga Abdul?
Sayuti: Niat saya ikhlas, untuk menegur kepimpinan PAS Kelantan dan juga sesetengah pegawai kerajaan yang tidak menghormati kerajaan negeri dan juga pihak istana yang dikatakan mencampuri urusan pentadbiran Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat. Itu tujuan saya sebenarnya, bukan bertujuan komersial.
Tetapi disebabkan penulis politik telah dikenali sebagai penulis picisan, kadang kala juga dituduh penulis upahan, keikhlasan saya itu seperti tidak terlihat oleh pembaca. Mereka yang kurang senang dengan rapuh menuduh saya yang bukan-bukan. Tuduhan paling popular ialah, "berapa anda diupah?"
Malaysiakini: Apakah benar penyokong-penyokong PAS, khususnya di luar Kelantan, memboikot buku anda?
Sayuti: Bukan semua. Ada juga pembaca yang menyokong buku saya. Buktinya, mereka menelefon secara peribadi dan mengirim emel kepada saya. Mereka memberikan semangat dan berterima kasih terhadap pendedahan yang saya buat.
Bagi penyokong PAS yang fanatik yang tidak boleh dikritik atau berminda sempit, mereka menuduh saya macam-macam. Mereka juga turut berkempen agar orang ramai tidak membeli buku itu. Mereka tuduh saya berniat jahat dan buku itu adalah idea daripada Umno!
Sebenarnya tidak! Tetapi tidak ada pemboikotan secara terbuka. Cuma sesetengah kedai yang menjadi agen penyebar maklumat PAS enggan menjualnya. Tindakan dianggap wajar. Tetapi secara diam-diam, mereka mencuri baca juga.
Malaysiakini: Setakat ini, berapakah naskhah buku anda sudah terjual? Apakah jualannya menggalakkan?
Sayuti: Sebanyak 5,000 naskhah cetakan pertama habis dijual dalam masa dua minggu. Kini saya sedang berusaha untuk mengulang cetakan kedua, sebanyak 10,000 naskhah lagi.
Ada permintaan tambahan daripada pembaca apabila buku ini dibahaskan dalam muktamar PAS ke-46 di Terengganu baru-baru ini. Perbahasan buku berkenaan secara tidak langsung memberikan publisiti percuma kepada buku berkenaan.
Malaysiakini: Bagaimanakah reaksi pemimpin-pemimpin PAS terhadap anda apabila mereka melihat buku itu?
Sayuti:
Selepas saya menulis buku itu saya belum berjumpa dengan pemimpin
utama PAS. Tetapi maklumat yang saya terima, ada yang menyokong dan
mengucapkan tahniah kepada saya.
Pemimpin yang ada kaitan dengan suku-sakat "tiga Abdul"
cukup marah pada saya - sampaikan saya diugut akan dipukul.
Saya dinasihatkan agar tidak pulang (ke kampung) di Kota Bharu. Tetapi sebagai penulis dan juga pejuang, saya tidak perlu berasa gerun. Khabarnya, kumpulan 'tiga Abdul' bercadang mengambil tindakan saman.
PAS Kelantan pula dikhabarkan menubuhkan tribunal khas menyiasat isi kandungan buku berkenaan. Tok Guru (Nik Aziz) khabarnya tidak banyak komen, dan beliau mengambil sikap mendiamkan diri. Mungkin sikapnya hanya 50-50 sahaja terhadap buku berkenaan.
Maklumat terbaru yang saya terima, tribunal itu telahpun selesai membuat siasatan dan laporan, tetapi tindakan seterusnya saya tidak tahu. Tunggulah...
Malaysiakini: Dengan pendedahan di dalam buku itu, apakah kedudukan PAS di Kelantan? Apakah ia akan bertambah lemah?
Sayuti: PAS masih kuat, dan tidak menjadi lemah. Sebabnya, saya bukan mengkritik PAS sebagai sebuah parti, tetapi beberapa amalan pemimpinnya. Dengan kritikan itu, malah ia boleh menguatkan kedudukan parti Islam kalau ia bersedia membuang bahagian-bahagian yang buruk dan busuk dalam parti itu.
Buku itu antara lain mendedahkan komponen buruk dalam PAS yang perlu dirawat atau dibuang segera.
Malaysiakini: Menurut pandangan anda, di manakah punca kesilapan atau penyelewengan PAS di negeri itu?
Sayuti: Sebenarnya tidak ada penyelewengan besar yang dilakukan oleh PAS Kelantan. Apa yang saya maksudkan ialah mengenai beberapa kelemahan yang wujud dalam kerajaan negeri.
Kelemahan ini antara lain berpunca daripada sikap Tok Guru Nik Aziz - sebagai Menteri Besar yang terlalu berlembut dan bertolak ansur. Lantaran itu ada orang yang mengambil kesempatan untuk tujuan tertentu.
Sikap beliau itu membawa natijah kepada kerajaan. Contohnya, sikap berlembut Tok Guru dalam isu penubuhan jawatankuasa penilaian (Hisbah). Apabila ada pihak tertentu yang tidak bersetuju supaya Hisbah ditubuhkan, maka beliau pun mendiamkan diri.
Jawatankuasa Hisbah tidak ditubuhkan di Kelantan walaupun ia merupakan satu janji dalam manifesto pilihan raya umum.
Disebabkan sikap lembut dan terlalu tolak ansur juga, pihak-pihak tertentu dalam kerajaan atau parti mengambil kesempatan dan melakukan penyalahgunaan kuasa.
Setakat
ini tidak ada penyelewengan yang ketara dalam kerajaan PAS, tetapi
orang-orangnya (pemimpin di peringkat kerajaan) yang bermasalah.

