Penyokong seorang calon bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Tanah Merah 'terperanjat' besar apabila mendapati sebahagian daripada tin biskut yang digunakan sebagai peti undi, masih lagi mengandungi biskut.

Menurut sumber-sumber, penyokong Aisan Fadli Abdul Halim memeriksa peti-peti terbabit selepas mendapati undi yang diperolehi Aisan merosot sehingga 50 peratus daripada yang dijangkakan.

"Mereka menjangka Aisan boleh memperolehi lebih 100 undi berdasarkan kepada kempen yang dijalankan sebelum ini," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Aisan hanya memperolehi 65 undi. Berikutan itu beliau tewas kepada Jusoh Deraman yang mendapat 113 undi. Seorang lagi calon bagi jawatan tersebut, Mohd Yuswadi Yaacob (58 undi).

Seramai 241 perwakilan Pemuda telah mengambil bahagian di dalam pengundian tersebut. Bagi jawatan naib ketua, Asri Hamzah mendapat 87 undi untuk menewaskan dua pencabarnya, Mazli Mustapha (79 undi) dan Mohd Rozali Yaacob (65 undi).

Biskut

"Paling tidakpun, berdasarkan kempen yang dijalankan, Aisan sepatutnya mendapat 80 undi. Tetapi undi yang diperolehinya hanya 65. Kerana itulah penyokong mengesyaki ada yang tidak kena," tambah sumber-sumber itu.

Berikutan itu, katanya, mereka memeriksa semula peti-peti undi dan mendapati ianya adalah tin biskut.

"Malah, mereka menemui sesetengah tin biskut tersebut masih mengandungi baki biskut yang tidak habis dibuang.

"Keadaan itu tindakan untuk menggunakan tin-tin biskut sebagai peti undi dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa, sehingga tidak semuanya sempat dikosongkan," kata sumber-sumber itu.

Sepatutnya, kata sumber-sumber, peti-peti yang disediakan oleh Badan Perhubungan Negeri untuk tujuan pengundian harus digunakan.

Malaysiakini difahamkan, kesemua jawatan tinggi dalam Pemuda Umno bahagian tersebut telah dimenangi oleh penyokong bekas Ketua Pemudanya, Ikmal Hisham Aziz yang sebelum ini dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua bahagian berkenaan.

Beli undi

Bagaimanapun, Jawatankuasa Disiplin Umno telah menggantung keahlian Ikmal Hisham (gambar) selama selama tiga tahun kerana terbabit politik wang.

Berikutan itu, Datuk Hashim Safin telah mengekalkan jawatan Ketua Bahagian tersebut tanpa bertanding.

Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bahagian Tanah Merah diadakan Jumaat lalu selepas ditangguhkan Julai lalu berikutan aduan yang dibuat terhadap Ikmal Hisham yang didakwa membeli undi.

Sementara itu, seorang penyokong Aisan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, pihaknya sedang menyedia laporan terperinci mengenai kejadian tersebut sebelum melaporkannya kepada pihak atasan parti.

"Kita dijangka laporan tersebut dapat diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno, Jawatankuasa Disiplin Umno dan Badan Perhubungan Umno Kelantan," tambahnya.

Di samping itu, katanya, mereka juga telah membantah kehadiran Ikmal Hisham dimesyuarat tersebut kerana beliau telah digantung keahliannya, tetapi bantahan itu tidak dihiraukan...," tambahnya.