Selama enam tahun jasadnya terpenjara namun jiwanya tetap merdeka. Tubuhnya berada di balik tembok penjara Sungai Buluh namun bayang-bayangnya terus menghantui Tun Dr Mahathir Mohamad. Itulah karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini beliau bebas apabila sistem kehakiman Malaysia menunjukkan keberanian untuk berdiri sendiri.

Namun pelbagai andaian menyelubungi keputusan 2-1 yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu. Sebilangan besar rakyat masih tidak percaya, menerima keputusan tersebut, yang tidak diduga sama sekali.

Selama ini, ramai beranggapan Anwar akan merengkok dalam penjara selama 9 tahun lagi. Tidak ada tanda-tanda bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibebaskan kerana sistem kehakiman negara ini sudah lama longlai. Namun pada 2 September lalu, genap 6 tahun Anwar dilucutkan dari jawatannya dalam kerajaan dan parti, tiba-tiba beliau mendapat kembali kebebasannya.

Kini, banyak pihak tertanya-tanya apakah sebenarnya di sebalik kebebasan Anwar itu? Ada yang mengandaikan ia telah dirunding dan diatur terlebih dahulu. Kononnya kebebasan yang diperoleh oleh Anwar itu adalah kebebasan bersyarat. Laporan media asing secara terang-terang mendakwa wujudnya pakatan sulit antara Anwar dan kerajaan bagi mendapatkan pembebasan daripada tuduhan meliwat.

Ditiup pula spekulasi kononnya Anwar disyaratkan supaya menyertai semula Umno atau dikehendaki bersara terus daripada politik Menurut mereka, tidak mungkin Anwar dibebaskan begitu sahaja kerana adanya beliau di luar tembok penjara, akan mengundang celaka kepada Umno dan kerajaan.

Para pemerhati itu berpendapat watak, imej dan karisma Anwar, mampu mewujudkan satu barisan pembangkang yang kuat, yang mampu menggugat Barisan Nasional.

Bagaimanapun, Anwar dan keluarganya menolak sama sekali adanya sebarang rundingan atau syarat bagi pembebasan itu. Anwar sendiri menegaskan, kemenangan rayuannya di Mahkamah Persekutuan adalah kerana keberanian dan kebijaksanaan sistem kehakiman.

Pakatan

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau dengan tegas menyangkal laporan media asing itu.

"Saya tidak membuat perjanjian dengan mana-mana pihak," tegasnya pada hari Sabtu lalu.

Namun, bagi mereka yang cenderung untuk mempercayai wujudnya pakatan bagi pembebasan tersebut, Parti Keadilan Rakyat kini hanya menunggu masa untuk ditinggalkan. Mereka masih sangsi walaupun Anwar telah menyatakan bahawa beliau akan tetap bersama pembangkang dan meneruskn agenda reformasinya.

Para reformis tulen, yang tidak berparti sebelum tahun 1998 dan menyokong Anwar secara ikhlas adalah majoriti yang masih bercakap tentang teori pakatan di antara Anwar dan kerajaan.

Malah, ada di antara mereka menjangkakan Anwar, bersama-sama orang-orang kuatnya yang terdiri dari bekas ahli Umno, akan menyertai parti pemerintah itu tahun depan selepas segala strategi yang dirancang dilaksanakan.

Menurut mereka, janganlah terkejut jika selepas ini agenda perpaduan Melayu dan Islam diwar-warkan oleh pihak tertentu untuk dijadikan landasan bagi penyertaan semula Anwar dalam Umno.

Strategi seperti itu sudah sering digunakan, termasuk dalam penyertaan semula ahli-ahli parti Melayu Semangat 46 ke dalam Umno pada pertengahan tahun 1990-an dulu. Tidak kurang juga yang mengandaikan Anwar akan mengumumkan persaraannya dari arena politik dengan alasan kesihatan selepas kembali dari Munich nanti.

Memang itu satu alasan yang sangat baik, bermaruah dan mudah diterima oleh para penyokong Anwar. Seandainya salah satu daripada jangkaan itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi tamparan besar bagi Parti Keadilan Rakyat, barisan pembangkang dan para reformis yang selama ini sanggup berkorban hingga dikejar FRU, disembur air gatal dan gas pemedih mata serta disumbat ke penjara.
Kalau Anwar kembali kepada Umno, beliau akan dianggap sebagai pengkhianat, mementingkan diri sendiri dan segala simpati kepadanya selama ini, akan bertukar menjadai sumpah seranah dan kebencian.

Sanggupkah Anwar menerima senario itu? Beliau akan dibenci rakyat yang menyokongnya selama ini. Beliau akan dianggap serupa sahaja dengan para pemimpin lain yang keluar masuk Umno. Anwar akan dipandang setaraf dengan Datuk Paduka Ibrahim Ali!

Masa depan

Dan Anwar juga perlu ingat, kembalinya semula ke dalam Umno belum menjamin masa depan poilitik yang cerah untuknya. Malah, laluannya untuk ke puncak lebih berliku, beliau akan mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau di luar Umno.

Datuk Seri Najib Tun Rzak tidak mungkin memberi laluan walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin bersedia untuk berkorban. Anwar tidak boleh sekali-kali beranggapan para penyokongnya yang berada dalam Umno sebelum ini, akan terus menyokongnya. Senario politik Umno sudah jauh berbeza selepas Dr Mahathir meletakkan jawatannya.

Anwar kena ingat tabiat orang Umno. Mereka lebih selesa menyokong seseorang yang berkuasa dan mampu memberikan projek, kontrak, saham atau konsesi balak. Di dalam Umno, kalau sekadar bermodalkan air liur dan idelisme perjuangan, orang itu tidak akan mencapai apa-apa.

Anwar juga harus memikirkan dengan serius kata-kata Datuk Nazri Aziz bahawa beliau adalah "history". Jika Anwar masih memilih memasuki semula Umno dan membisukan diri, beliau akan menerima nasib seperti Tengku Razaleigh Hamzah. Menjadi "gurkha" buat selama-lamanya. Akhirnya Umno sendiri menjadi keranda politik Anwar.

Oleh itu, kalau "si mata lebam" ini mahu terus dihormati dan disanjung, beliau perlu berada di luar Umno. Masa depan politik Anwar lebih cerah di barisan pembangkang. Bekas Timbalan Perdana Menteri ini boleh memberikan dimensi baru kepada barisan pembangkang walaupun beliau belum boleh bergiat aktif.

Sebenarnya, harapan yang diletakkan oleh para reformis pada Anwar sangat tinggi. Bagi golongan ini, pembebasan Anwar bukan pengakhir perjuangan. Memperjuangkan kebebasan Anwar hanya salah satu daripada agenda mereka.

Bagi reformis tulen seperti Pak Din, Jonah, Budi Hikayat, Fathi Aris, Tian Chua, Malik Husin, Hishamuddin Rais, UBU dan ribuan lagi, perjuangan mereka baru sahaja bermula.

Anwar dan Dr Wan Azizah .. jangan kecewakan dan patahkan semangat mereka.