Calon MT dilantik jadi ejen perisik
Pelik tapi benar. Itulah yang berlaku apabila ada di kalangan calon kerusi Majlis Tertinggi (MT) dilantik menjadi ejen perisik oleh ibu pejabat Umno untuk mengawasi perjalanan kempen bagi pemilihan pucuk pimpinan Umno bulan depan.
Pelik tapi benar. Itulah yang berlaku apabila ada di kalangan calon kerusi Majlis Tertinggi (MT) dilantik menjadi ejen perisik oleh ibu pejabat Umno untuk mengawasi perjalanan kempen bagi pemilihan pucuk pimpinan Umno bulan depan.
"Saya merasa pelik apabila mendapat tahu ada calon MT dilantik menjadi ejen perisik," kata seorang pemimpin veteran Umno yang tidak mahu namanya disebut.
"Macam mana tu...sepatutnya pihak berkenaan tidak melantik mereka yang berkepentingan, apatah lagi yang menjadi calon, untuk menjalankan tugas risikan tersebut," tambahnya.
Menurutnya lagi, beliau pernah membangkitkan perkara tersebut dengan beberapa rakannya untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perkara tersebut.
"Menurut mereka, calon-calon MT yang dilantik sebagai ejen perisik tersebut terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai peluang untuk menang dalam pemilihan tersebut.
"Bagaimanapun, bagi saya, ia masih sesuatu yang tidak wajar kerana menang atau tidak, mereka ini merupakan golongan yang ada kepentingan kerana mereka sendiri pun adalah calon," tegasnya.
Politik wang
Minggu lalu, Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen (B) Datuk Paduka Husainay Hashim, mengumumkan pewujudan rangkaian mata dan telinga atau ejen perisik bagi melaporkan kepada ibu pejabat parti mengenai pembabitan sesiapa saja, terutama calon, dalam politik wang.
Identiti anggota perisik itu yang terdiri daripada kalangan perwakilan dan calon yang bertanding, tidak akan diumumkan dan hanya diketahui ahli itu sendiri dan pemimpin tertinggi parti.
Ejen perisik Umno ini akan mengesan beberapa calon termasuk orang besar yang terbabit dalam gejala politik wang menjelang pemilihan parti September ini.
Sehubungan itu, Ahad lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, dilaporkan berkata ejen perisik Umno yang bertindak sebagai rangkaian mata dan telinga parti, mengesan beberapa calon termasuk orang besar yang terbabit dalam gejala politik wang.
Menurut Radzi lagi, mereka akan dipanggil membela diri oleh Lembaga Disiplin Umno tidak lama lagi.
Selepas mesyuarat bahagian bulan lalu, lapan calon layak bertanding merebut jawatan Naib Presiden termasuk dua orang penyandangnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Pencabar mereka ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Johor Baru Datuk Shahrir Samad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob.
Jamuan makan
Manakala bagi jawatan MT pula, 59 calon mendapat 10 pencalonan maksimum untuk melayakkan mereka bertanding bagi merebut 25 kerusi MT dalam pemilihan Umno bulan depan.
Sementara itu, sumber-sumber yang rapat dengan Umno berkata, beberapa calon yang bertanding jawatan tinggi parti kini menggunakan pelbagai cara untuk berkempen.
"Calon-calon dilarang daripada mengadakan jamuan makan untuk ahli-ahli Umno kerana itu akan dianggap berkempen.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku, ada pihak lain yang akan mengadakan majlis jamuan. Tidak lama selepas itu, calon tertentu akan muncul, seolah-olah beliau kebetulan lalu di situ," katanya.
Berikutan itu, katanya, pihak yang mengadakan jamuan tersebut akan memperkenalkan calon tersebut kepada para hadirin yang sebahagian besarnya adalah ahli-ahli dan perwakilan Umno.
"Kita tidak tahu sama ada pihak yang mengadakan jamuan itu, berbuat demikian bagi pihak calon berkenaan. Jadi, sukar untuk Jawatankuasa Disiplin untuk mendakwa mereka," tambahnya.

