DBP patut gulung tikar?
Beberapa bulan menjelang pemilihan pucuk pimpinan Umno yang merupakan penunjang bahasa, bangsa dan agama Melayu, tiba-tiba timbul isu mengenai ketulenan bahasa Melayu.
Sebelum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'polis' bahasa yang berkanun tampil ke depan, Kementerian Penerangan telah mengambil tindakan untuk mengharamkan beberapa buah lagu Melayu atas alasan pencemaran bahasa.
Di pihak yang lain, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Dr Rais Yatim juga mengisytihar perang terhadap penggunaan bahasa rojak supaya "bahasa kebangsaan dijamin tidak tercabul dan keutuhannya dihormati oleh semua generasi."
Maka fenomena "setengah belut setengah ular"atau penggunaan bahasa caca-merba (bercampur-aduk) pun mulai dibidas oleh beberapa pihak dalam media.
Antara lain, penggunaan perkataan "infotainmen"oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dalam slogan barunya:"Saluran Infotainmen Anda", juga ditegur oleh pihak DBP sambil ianya digantikan dengan perkataan "infohiburan"atau "inforia".
Sebelum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'polis' bahasa yang berkanun tampil ke depan, Kementerian Penerangan telah mengambil tindakan untuk mengharamkan beberapa buah lagu Melayu atas alasan pencemaran bahasa.
Di pihak yang lain, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Dr Rais Yatim juga mengisytihar perang terhadap penggunaan bahasa rojak supaya "bahasa kebangsaan dijamin tidak tercabul dan keutuhannya dihormati oleh semua generasi."
Maka fenomena "setengah belut setengah ular"atau penggunaan bahasa caca-merba (bercampur-aduk) pun mulai dibidas oleh beberapa pihak dalam media.
Antara lain, penggunaan perkataan "infotainmen"oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dalam slogan barunya:"Saluran Infotainmen Anda", juga ditegur oleh pihak DBP sambil ianya digantikan dengan perkataan "infohiburan"atau "inforia".
Namun, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, bukan saja tidak menganggap perkataan "infotainmen"itu bahasa rojak, malah menegaskan ia telah dirujuk dan dipersetujui oleh pakar-pakar bahasa progresif.
Istilah terjemahan
Menurutnya lagi, penggunaan istilah "infotainmen" sebenarnya lebih tepat dan menggambarkan maksud yang jelas berbanding istilah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Pertikaian yang tidak berkesudahan ini mungkin merupakan catatan kaki yang baik terhadap suatu resolusi yang telah dirumuskan dalam Seminar Pembanterasan Bahasa Rojak di Melaka anjuran bersama DBP Wilayah Selatan dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) baru-baru ini.
Resolusi terbabit menyatakan perlunya memberikan kuasa pentadbiran kepada DBP, biar pun ia seolah-olah meletakkan badan berkanun tersebut sebagai 'polis' atau penguatkuasa bahasa. Bagi mengatasi masalah kerancuan bahasa atau bahasa pijin, Dr Awang Sariyan, Pengarah Jabatan Bahasa DBP, menyarankan perlunya ditubuhkan Jabatan Audit Bahasa.
Jabatan ini akan bertindak sebagai pemantau dan pelapor masalah kerancuan bahasa, terus kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang mempunyai kuatkuasa undang-undang memantau, menegur dan mengeluarkan arahan berhubungan isu-isu bahasa.
Sepanjang tempoh hampir setengah abad penubuhannya pada 22 Jun 1956, DBP telah melalui kepemimpinan Prof Diraja Ungku Aziz (1956-1957), Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail (1957-1969), Allahyaraham Datuk Ali Ahmad (1970), Datuk Sujak Rahiman (1971-1976), Datuk Dr Hassan Ahmad (1976-1988), Datuk Jumaat Mohd Nor (1988-1993), dan Datuk A Aziz Deraman (1993-2004) yang telah bersara Julai lalu.
Bahasa ibunda
Tidak dapat dinafikan, DBP yang mendapat sokongan penuh nasionalis Melayu dan kerajaan, telah memainkan peranan penting, terutama dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Malaysia dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sungguhpun ia mungkin bertentangan dengan prinsip pendidikan bahasa ibunda sebagai hak asasi manusia.
Namun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, proses globalisasi telah memberi peluang kepada bahasa Inggeris untuk menghakiskan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Malah pemujaan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi dan bahasa yang sanggup membawa kemajuan kepada penggunanya, telah berjaya meyakinkan sesetengah pemimpin BN untuk mengubah dasar bahasa negara kita, iaitu membenarkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat sistem pendidikan kita. Bersama-sama landaan gelombang globalisasi seperti tersebut di atas, makin hari makin banyak istilah bahasa Inggeris yang telah dipinjam, diubahsuai, dicampuraduk dan digunakan serentak dengan atau menggantikan penggunaan istilah bahasa Melayu yang sedia wujud.
Tidak dapat dinafikan, fenomena penggunaan bahasa Inggeris yang berlebihan memang wujud, sungguhpun persoalan mengenai sama ada ia bahasa rojak atau bukan, sukar dipersetujui oleh pakar-pakar bahasa yang berlainan kecenderungan.
Bahasa kuno
Kini, dalam menentukan istilah mana bahasa rojak, dan yang mana pula bukan bahasa rojak, siapakah yang bertanggungjawab dan berkewibawaan untuk memutuskannya? DBP? Kementerian Peneranganan? Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan? Atau pengguna bahasa?
Jika DBP yang patut menangani masalah bahasa rojak, ada pula pihak yang menyalahkan badan berkanun itu sendirilah yang "menghalalkan" banyak perkataan Inggeris.
Seorang jurutera profesional, Hassan Abdul Karim misalnya, telah memberi suatu contoh bahasa Melayu yang digunakan oleh budak kampung sekarang: "Aku dan member-member aku suka muzik klasik yang dipermoden dan dipopularkan oleh artis-artis baru."
Beliau bersungut bahawa istilah-istilah Inggeris terbabit telah dihalalkan penggunaannya oleh DBP! Mengikut Hassan, ayat bahasa Melayu yang lebih tulen seperti: "Saya dan kawan-kawan suka irama lagu lama yang diberi wajah baru dan diperkenalkan menjadi kesukaan ramai"sudah menjadi bahasa Melayu kuno yang tidak canggih!
Bagaimana pun, saya fikir, lima perkara yang dikemukakan oleh Datuk Johan Jaaffar, ahli Lembaga Pengelola DBP dalam rencananya yang bertajuk "Bahasa tidak dinamis akan pupus" (Utusan Malaysia, 12 Ogos,2004) patut dijawab oleh DBP, kerana kritikan-kritikan terbabit telah mencabar sama ada DBP patut gulung tikar? Lima perkara terbabit ialah:
Fatwa
1. DBP tidak harus berdiri sebagai kubu mempertahankan "ketulenan" bahasa Melayu, dan menjadi pulau di tengah-tengah arus perubahan kebahasaan;
2. Bahasa Inggeris tidak ada sebuah DBP untuk "membina dan mengembangkan bahasa", tetapi bahasa Inggeris tetap berkembang begitu pesat dan menjadi bahasa ilmu dan komunikasi penting dunia. Apakah sebabnya tidak ada "fatwa"yang mengganggu-gugat pertumbuhannya seperti Academie Francaise bagi bahasa Perancis dan DBP bagi bahasa Melayu?
3. DBP harus menyedari perlunya menerbitkan kamus-kamus, dan Bahagian Leksikografi DBP harus berkerja lebih keras mencontohi bagaimana organisasi lain menerbitkan kamus dengan pantas, cepat dan semasa;
4. DBP boleh menyalahkan RTM kerana menggunakan perkataan "infotainmen", tetapi ianya juga harus melihat amalan atau prosedur pembentukan istilahnya sendiri seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga;
5. Kritikan terhadap buku kecil yang dikeluarkan oleh DBP Ungkapan Umum Media Penyiaran dan Tajuk Karyawan.
Selaku ahli Lembaga Pengelola DBP, Johan bukan saja tidak mempertahankan peranan "polis bahasa" itu, malah mempersoalkan sama ada "fatwanya" telah mengganggu-gugat pertumbuhan bahasa Melayu.
Malah, beliau sekaligus menolak peranan "kubu" DBP dalam mempertahankan "ketulenan" bahasa Melayu dalam arus perubahan kebahasaan. Jika DBP masih menganggap berperanan dalam "membina dan mengembangkan bahasa Melayu", maka badan berkanun tersebut terpaksa mempertahankan fungsi dan peranannya. Lantaran itu, ia mungkin merupakan tanggungjawab pertama Ketua Pengarah DBP yang akan dilantik, kerana sesiapa yang tiada jawapan terhadap kritikan-kritikan tersebut, tentunya tidak layak menerajui DBP dalam zaman globalisasi yang penuh cabaran ini!

