Seorang calon jawatan Naib Presiden Umno pernah dipanggil 'mengadap' oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno berhubung beberapa aktivitinya yang boleh dianggap melanggarkan garis panduan dan etika pemilihan parti bulan depan.

Sumber-sumber memberitahu malaysiakini bahawa dalam perjumpaan tersebut, calon berkenaan telah diberi nasihat dan ingatan supaya tidak lagi mengulangi perkara tersebut.

"Kami diberitahu yang perjumpaan tersebut berlangsung hampir dua bulan lalu... dan ianya berupakan perjumpaan untuk memberi nasihat terhadap calon berkenaan mengenai perkara tersebut," katanya.

Sumber-sumber tersebut enggan menyatakan apakah 'aktiviti' calon tersebut sehingga beliau dipanggil oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Bagaimanapun, malaysiakini difahamkan, bahawa calon tersebut telah membayar iklan di media berhubung perlantikan baru seorang bekas pemimpin kanan Umno.

Beliau juga dikatakan telah membayar iklan di media baru-baru ini berhubung dengan kegiatan sebuah pertubuhan yang dipimpinnya.

Jamuan

"Menurut garispanduan pemilihan, calon-calon tidak dibenarkan membuat sebarang iklan kerana ia dianggap sebagai berkempen," tegasnya.

Menurutnya lagi, calon-calon juga tidak boleh mengedarkan risalah, menulis buku atau mengadakan majlis makan secara besar-besaran kerana ianya dianggap sebagai berkempen.

Bagaimanapun, katanya, calon-calon boleh diwawancara oleh pihak media selagi mereka tidak memfitnah, menjatuhkan air muka dan maruah calon lain.

Lapan calon akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden termasuk dua orang penyandangnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Pencabar mereka ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Johor Baru Datuk Shahrir Samad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob.

Ejen perisik

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, walaupun memperolehi pencalonan mencukupi, untuk bertanding jawatan tersebut, tetapi menarik diri kerana mahu menumpukan perhatian kepada perebutan kerusi MT.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu berkata, pihaknya tidak pasti siapakah orang besar yang menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, akan dipanggil membela diri oleh Lembaga Disiplin kerana terbabit dalam gejala politik wang.

"Setakat ini, kami tidak pasti siapakah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Radzi. Setahu kami tidak adapun mana-mana pihak yang bercakap mengenai perkara itu.

"Bagaimanapun, kita tunggu dan lihatlah siapa yang akan dipanggil sama ada dari kalangan calon Naib Presiden ataupun calon kerusi Majlis Tertinggi," tambahnya.

Ahad lalu, Radzi dilaporkan berkata ejen perisik Umno yang bertindak sebagai rangkaian mata dan telinga parti, mengesan beberapa calon termasuk orang besar yang terbabit dalam gejala politik wang menjelang pemilihan parti September ini.

Saingan hebat

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada orang besar itu membabitkan calon jawatan Naib Presiden.

Pemilihan jawatan tinggi Umno akan berlangsung sewaktu perhimpunan agung parti itu pada 23 September depan.

Selain jawatan Naib Presiden, 50 calon telah layak bertanding bagi kerusi MT. Berasaskan kepada pencalonan yang diterima dari bahagian, persaingan hebat dijangka berlaku di antara calon-calon dari kalangan menteri besar dan menteri dan timbalan menteri.

Lima menteri besar dan lima menteri kabinet menduduki tangga 10 tertinggi. Mereka ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (Selangor), Datuk Seri Syed Razak Syed Zin (Kedah), Datuk Musa Aman (Sabah), Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (Perak) dan Datuk Muhammad Hassan (Negeri Sembilan).

Di kalangan menteri dan timbalan menteri pula ialah Datuk Aziz Shamsudin, Datuk Mohamed Khalid Nordin, Datuk Abdul Khadir Sheikh Fadzir, Datuk Shafie Afdal, Datuk Zahid Hamidi.