Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang diserang sakit jantung baru-baru ini, turut turun padang malam tadi untuk 'menyuntik' semangat kepada jentera pilihanraya kecil PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Kuala Berang.

Dalam ceramahnya malam tadi, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, menyifatkan sebagai "mengarut" konsep Islam Hadhari yang digalakkan oleh kerajaan untuk menjadikan umat Islam lebih progresif.

"Kalau al-Quran dan Hadis demo tak terima, Islam Hadhari tu lagu mana? Selagi Umno tidak terima al-Quran dan Hadis...mengarut aje Islam Hadhari, Hadara...Badawi...Badawawi, mengarut aje," katanya.

Menurut Bernama, menurut bersama Nik Aziz di ceramah tersebut di Taman Kenanga di Kuala Berang, malam tadi ialah presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presiden Datuk Mustafa Ali bagi membantu calon PAS Muhyiddin Abdul Rashid.

Muhyiddin akan berdepan dengan Mohd Zawawi Ismail dari Barisan Nasional (BN), dalam pilihanraya kecil tersebut Sabtu ini.

Nik Aziz, 73, diserang sakit jantung pada 22 Julai dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital di Kota Bharu, sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, dan seterusnya ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemimpin Umno hanya berani untuk menyuarakan mengenai Islam Hadhari kepada orang kampung sahaja tetapi tidak berani untuk membahaskan perkara itu di hadapan mereka yang berilmu.

Dakyah

Abdul Hadi pula berkata, Islam yang diperjuangkan oleh Umno adalah Islam yang hanya mengikut akal manusia dan bukannya dari al-Quran dan Hadis.

Ini kerana, katanya, perlembagaan Umno tidak meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai hukum tetapi sebaliknya hanya mengikut Islam sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata konsep Islam Hadhari yang digalakkan oleh kerajaan bukannya satu Islam baru seperti yang didakwa oleh PAS, tetapi adalah satu kaedah untuk memajukan umat Islam menjadi cemerlang dan berwibawa.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin PAS tidak faham atau sengaja tidak mahu faham mengenai konsep Islam Hadhari dan kerana itu mereka terus melakukan pelbagai tohmahan dan dakyah terhadap kerajaan.

"Kita mahu pastikan umat Islam bukan sahaja baik dalam soal ibadatnya tetapi juga cemerlang dalam soal dunia, itulah Islam Hadhari," katanya selepas menghadiri majilis berkhatan beramai-ramai di Kampung Gaung di Kuala Berang hari ini.

Dr Mohd Khir berkata, beliau yakin rakyat akan menolak dakyah PAS selepas mereka telah melihat kejayaan serta kecemerlangan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Sementara itu, pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut, Datuk Harun Taib berkata, sehingga hari ini, lebih separuh pengundi di DUN Kuala Berang memihak kepada PAS.

Rebutan

Beliau dipetik oleh Harakah Online sebagai berkata para pengundi kini mula menyedari bahawa Islam Hadhari yang dibawa oleh BN adalah karut.

"Dua, tiga hari lepas saya kata 50-50, hari ini 50.5 peratus yang memihak kepada PAS sebab orang tahu kami tentang Islam Hadhari yang dibawa oleh BN, sekarang baru mereka tahu bahawa Islam hadhari adalah karut bukan dari Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.," katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu.

Berikutan itu, katanya, para pengundi telah berubah daripada menyokong BN kepada PAS.

Bagaimanapun, katanya, pengundi `atas pagar' masih menjadi rebutan kerana setiap hari mereka akan `turun' sama ada memihak kepada PAS atau BN.

"Ada pengundi atas pagar `turun' pergi ke PAS, ada pergi BN, ada separuh turun, boleh naik balik," kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 400 hingga 500 pengundi atas pagar dalam DUN tersebut yang yang tidak memihak kepada PAS atau BN.

"Tapi (dalam) rebutan ini, ada PAS tak kuat, BN tak kuat, ini jadi rebutan. Kadang-kadang kami dapat yang BN, kadang-kadang BN dapat, ini saling memancing, tengok umpan," katanya.