Banyak beban yang ditinggalkan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa digalas oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Deretan kesilapan Dr Mahathir terpaksa diperbetulkan oleh Pak Lah. Antaranya projek-projek mega yang membazir, gejala rasuah yang berleluasa dan sistem pendidikan yang kacau bilau.

Beberapa hari lalu, satu lagi kesilapan besar Dr Mahathir terpaksa diperbetulkan oleh Pak Lah. Kini, Institut Teknologi Mara (ITM) yang "dikuburkan" oleh "kebijaksanaan" bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu, mahu dihidupkan semula.

Dalam keghairahan untuk menaikkan taraf ITM menjadi universiti pada tahun 1999, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, ITM yang telah ditalkinkan. Satu tindakan yang gopoh-gapah dan dalam keghairan untuk menjadikan isu ITM sebagai umpan pilihanraya, Universiti ITM (UiTM) ditubuhkan. Malangnya, penubuhan itu menjadikan ITM yang menjadi asas kepada UiTM "hilang".

Dr Mahathir telah tersilap strategi. Sepatutnya UiTM wujud seiring dengan ITM, sebagaimana TAR Kolej tegak bersama kelahiran Universiti Tunku Abdul Rahman. Menghilangkan ITM daripada dunia pendidikan negara, ada satu kesilapan yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu.

Ramai yang terkilan dan kecewa apabila institusi yang telah melahirkan ramai teknokrat dan profesional Melayu itu, hilang begitu sahaja.

Apa salah ITM? Apa kurangnya ITM maka ia perlu dikuburkan. Sepatutnya UiTM ditubuhkan dan ITM dikekalkan. Sepatutnya rakyat Malaysia mendapat satu institusi tambahan, bukannya membunuh yang lama. Syukurlah, pentadbiran Pak Lah menyedari kesilapan itu. Masih belum terlambat untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan tahun 1999 itu.

Peluang pendidikan

Kali ini, kita tidak boleh lagi tersilap strategi dan tidak boleh membuang masa. Masa berjalan begitu pantas. Bangsa lain semakin maju dan berkembang, sedangkan orang Melayu khayal berpolitik.

Menyegerakan pengambilan semula pelajar ITM pada sesi November ini adalah langkah bijak dan tepat. Para pelajar yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, perlu diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sijil dan diploma.

Sebenarnya, apabila tokoh-tokoh pendidikan termasuk bekas Pengarah ITM, Tan Sri Arshad Ayub mahu ITM diwujudkan semula, mereka bukan mahu bernostalgia. Mereka sebenarnya amat menghargai kemampuan yang ada pada ITM. Mereka sedar, walaupun cuma bertaraf kolej, ITM bukan sebarangan kolej.

Bagi mereka, ITM adalah lambang kemajuan orang Melayu dalam bidang pendidikan dan teknologi. Sejak 30 tahun lalu, ITM melahirkan graduan yang mempunyai kualiti dan imej tersendiri. Seluruh masyarakat, terutamanya sektor swasta, tahu bagaimana lulusan ITM mahir berbahasa Inggeris dan "versatile".

Walaupun hanya berkelulusan peringkat diploma, mereka mampu menyaingi graduan dari universiti lain. Produk ITM yang lahir pada 1970 an dan 1980 dulu, amat dikagumi. Mereka sangat laku di pasaran swasta. Mereka dianggap lebih baik daripada lulusan universiti awam tempatan yang lain.

Kesimpulannya, produk ITM sebelum 1999 mempunyai pakej yang lengkap. Mereka lambang Melayu baru yang boleh bersaing dengan bangsa asing. Buktinya, ramai di antara mereka sudah menjadi usahawan berjaya, pengurus yang berketrampilan, teknokrat dan profesional yang dihormati

Globalisasi

ITM ibarat angsa yang bertelur emas. Malangnya ia dibunuh oleh orang Melayu sendiri. Dengan beralasankan meritokrasi dan membasmi minda subsidi, ITM dihukum. Namun kesilapan itu belum terlewat untuk dibaiki.

Oleh itu, diharapkan ITM yang baru akan dibentuk dengan teliti dan berhala tuju. Graduan yang dihasilkan oleh ITM baru ini mesti berfikiran baru dan mampu bersaing dalam globalisasi.

ITM baru mesti melahirkan graduan yang dihormati oleh bangsa asing. Bukan sahaja mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing, tetapi berketrampilan dan bermoral.

Kalau ini tidak mampu dilakukan, tiada gunanya ITM diwujudkan semula. Kalau semata-mata untuk melahirkan tenaga pekerja untuk pasaran buruh, pentadbiran Pak Lah tidak perlu bersusah payah memperbetulkan kesilapan Dr Mahathir itu.

Kegemilangan ITM sejak tiga dekad yang lalu perlu dijadikan pengajaran dan panduan, bukan sekadar kenangan sahaja. ITM tidak boleh menjadi seperti Akademi Fantasia. ITM mesti menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan agama, negara dan bangsa.