Rafidah kecewa dituduh dengki Puteri Umno
"Saya cukup geram (apabila) orang tuduh Wanita Umno (berasa) dengki dengan (Puteri)," katanya kepada 300 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara dalam perjumpaan khas Wanita Umno hari ini.
Pertemuan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-55 Umno yang dimulakan pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Rafidah berkata tegurannya terhadap Puteri Umno adalah ikhlas agar pemimpin muda wanita itu dapat bergerak bersama-sama dengan barisan pemimpin Wanita yang ada sekarang.
Rafidah juga mendedahkan, beliau menerima laporan jentera Puteri di peringkat cawangan dan bahagian masih tidak seragam.
"Ada Puteri (Umno) yang dicadangkan oleh Wanita bahagian, ada yang mendapat persetujuan (Wanita) negeri. Ada yang dilantik entah oleh siapa-siapa yang tidak dikenali," kata pemimpin Wanita yang berpengalaman itu lagi, sambil menambah beliau berharap kerjasama kedua-dua kumpulan wanita itu dapat dijalinkan secara harmoni.
Ketua Wanita itu juga mencadangkan barisan pemimpin dan pengambilan anggota Puteri dikemukakan oleh Wanita Umno sendiri. Bagaimanapun beliau menambah, cadangan itu akan diputuskan oleh Presiden Umno.
Dalam ucapan kira-kira sejam, Rafidah sempat mengingatkan Wanita agar menumpukan kerja politik dari sekarang bagi menghadapi pilihanraya umum ke-11 yang dijangkakan pada 2004.
"Umno berada dalam suasana (di mana) peringkat bahagian pun macam-macam berlaku," kata Rafidah, merujuk perebutan jawatan-jawatan di peringkat itu dan cawangan baru-baru ini yang semakin sengit sehingga mencetuskan pergaduhan.
Beliau berkata Wanita bukan sahaja perlu bersedia menghadapi cabaran dalam parti tetapi juga pembangkang.
Perasaan berdendam
"Pembangkang mempunya taktik (tertentu, misalnya) politik jalanan, menyebar fitnah sehingga sanggup ke luar negeri sekalipun," katanya, sambil mengingatkan anggota Wanita agar melupakan perasaan berdendam, malu atau berkecil hati semasa pemilihan baru-baru ini.
"Kita sudah kalah di Kelantan, Terengganu, jangan kita izinkan (Umno kalah lagi), tok seh dah... (tak mahu lagi). Kerja mesti ke arah menghadapi sasaran pilihanraya," kata Rafidah.
Beliau juga menyarankan ahli pergerakan itu agar memperluaskan aktiviti dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Wanita Barisan Nasional.
"Rapatkan diri dengan (golongan) tentera, jangan lima tahun sekali (ketika pilihanraya) baru hendak berjumpa," katanya, sambil berpesan agar Wanita menguatkan pengaruh dengan memastikan setiap penyokong parti itu mengemaskinikan rekod daftar pemilih.
"700,000 nama daripada senarai pemilih telah dipotong oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), Kita perlu pastikan, betulkah nama-nama senarai itu (nama orang yang) sudah mati? Pastikan senarai pemilih itu bersih, lengkap dan tidak diragukan lagi," pesannya lagi, sambil menggesa Wanita agar menggalakkan orang ramai mendaftar atau menyemak daftar pengundi baru yang dibuka SPR sehingga 31 Mei ini.
Beliau menambah, jika hendak diharapkan "pihak lelaki" mencari pengaruh untuk Umno sememangnya sukar, dan Wanita haruslah terus bergerak demi kepentingan parti.
Sebelum pertemuan khas itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob menyampaikan ucapan alu-aluan kepada lebih 3,000 pemimpin dan ahli parti. Selepas itu mereka menonton tayangan slaid mengimbas kembali sejarah perjuangan politik parti itu.
Perhimpunan itu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Abdullah Badawi, Naib-naib Presiden Tan Sri Muhammad Mohd Taib serta Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Datuk Mustapa Mohamed, Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Sulaiman Ninam Shah dan Timbalannya Datuk Seri Onn Ismail.

