Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini sejak seminggu lalu selepas mengadu sakit urat dan lenguh badan.

Menurut Bernama, Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob berkata Nik Aziz yang sedang bercuti rehat selepas mengalami serangan jantung akut pada 22 Julai lalu, kini beransur baik.

"Selepas balik daripada menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) tempoh hari, Menteri Besar ada mengadu sakit-sakit urat dan lenguh badan, tetapi keadaannya semakin baik di HUSM," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-47 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Merdeka di Kota Baru, hari ini.

Nik Aziz, 72, dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana apabila mengalami serangan jantung akut pada awal pagi 22 Julai lalu dan kemudiannya dipindahkan ke HUSM untuk rawatan selanjutnya sebelum menjalani pembedahan kecil memasukkan alat kardiac defibrillator di IJN awal bulan ini.

Menteri Besar itu kini diberi cuti rehat selama enam minggu bagi memulihkan kembali tahap kesihatannya sebelum dibenarkan bertugas semula.

Ahmad berkata rakyat tidak perlu khuatir dengan keadaan Nik Aziz dan sebaliknya berdoa agar kesihatan Menteri Besar semakin baik dan segera kembali bertugas.

Katanya adalah lebih baik Nik Aziz berehat di HUSM kerana di sana Menteri Besar akan diberikan rawatan yang secukupnya.

Ketika ditanya bila Menteri Besar akan dibenarkan pulang, Ahmad berkata: "Saya ingat tidak lama lagi...ini bergantung pada tahap kesihatan dan kecergasannya."

Bulan Merdeka

Mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan, Ahmad meminta semua penduduk mengibarkan Jalur Gemilang kerana sambutan itu adalah milik semua masyarakat negara ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengadakan pelbagai acara seperti khutbah Jumaat khas dan Malam Ambang Kemerdekaan pada malam 30 Ogos dan Kelantan merupakan antara lima negeri yang dipilih oleh RTM untuk membuat lintas langsung sambutan itu dari Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua ketua-ketua jajahan daerah dan jabatan sebagai bermulanya kempen sambutan bulan kemerdekaan di Kelantan.