Permohonan pendakwa untuk memanggil anak ADUN Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali, yang berusia 4 tahun sebagai saksi diketepikan mahkamah pagi ini. Peguam yang mewakili keluarga Azmin, Roy Prabhakaran, berjaya memohon sapina bertarikh 25 Mei lalu bagi perbicaraan pengarang 50 Dalil , Khalid Jafri Bakar Shah, diketepikan.

Bagaimanapun, beliau membuat aku janji kepada Mahkamah Sesyen Ampang bahawa kanak-kanak itu, Farah Afifah, akan dibawa hanya untuk pengecaman daripada doktor yang menjalankan ujian DNA.

"Saya telah berbincang dengan pihak Pendakwa Raya dan beliau telah bersetuju sapina diketepikan," jelas peguam bela Azmin ketika dihubungi malaysiakini . Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasmah Musa.

Ujian DNA yang dijalankan oleh polis sebelum mendakwa Khalid membuktikan Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin, adalah ibu bapa sah kepada kanak-kanak itu.

Dalam buku itu, Khalid mendakwa Farah Afifah adalah hasil perhubungan sulit isteri pemimpin Parti KeADILan Nasional itu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarang itu kini dituduh mencetak maklumat palsu di bawah Seksyen 8 A (1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Bagaimanapun tarikh memohon Farah Afifah hadir ke mahkamah bagi tujuan itu belum diputuskan oleh pihak mahkamah.

Mahkamah yang bersidang kurang 15 minit pagi ini akan mendengar kes pengarang tersebut pada Rabu ini hingga 6 Jun depan.

Malaysiakini pada Jumaat lalu melaporkan Azmin membantah tindakan Jabatan Peguam Negara mensapina anaknya yang masih kecil dan belum berupaya untuk membuat sebarang kenyataan.

Azmin menyifatkan tindakan sapina itu "pelik dan tidak munasabah" dan "satu komplot untuk terus-menerus mengaibkan keluarga kami."