Pemimpin-pemimpin tertinggi Umno disarankan supaya tidak terus menerus membuat kenyataan seolah-olah ada di kalangan calon yang bakal bertanding dalam pemilihan parti bulan depan, akan mengambil kesempatan untuk meraih sokongan sewaktu berlangsungnya pilihanraya kecil Kuala Berang.

"Ada pihak yang berpendapat kenyataan tersebut seperti mengandungi unsur-unsur sindiran dan ditujukan kepada pihak-piah tertentu, seolah-olah mereka berhasrat berbuat demikian," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Katanya, kenyataan seumpama itu tidak sesuai diulang-ulang sewaktu Umno menghadapi pilihanraya kecil Kuala Berang, kerana Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang bakal mempertahankan jawatan naib presiden, juga merupakan pengerusi penyelaras Umno bagi pilihanraya kecil itu.

Pelantikan Muhd Taib itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tidak hairanlah jika ada penyokong-penyokong Tan Sri (Muhd Taib) yang mungkin terasa tersinggung dengan kenyataan seumpama itu...seolah-olah kehadiran mereka di sana ada niat lain daripada mahu membantu BN mengekalkan kerusi Kuala Berang.

"Kalau mereka bekerja kuat, nanti ada pula yang akan menganggap mereka berbuat demikian untuk mendapatkan sokongan untuk calon mereka yang bakal bertanding dalam pemilihan parti bulan depan," kata sumber-sumber itu lagi.

Rugi

Baru-baru ini, kenyataan tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Radzi Sheikh Ahmad, dan semalam, Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengulangi perkara yang sama.

Malah, seorang lain calon Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin turut membangkitkan isu yang sama baru-baru.

"Mereka berpendapat kenyataan itu tidak sesuai kerana tidak elok mempertikai niat baik mereka yang mahu membantu calon Barisan Nasional (BN) di Kuala Berang," kata sumber-sumber itu lagi.

"Nanti, kerana takut dianggap bukan-bukan, ada yang tidak berani hendak bekerja kuat...yang rugi adalah Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri," katanya.

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Berang 28 Ogos ini merupakan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Mohd Zawawi Ismail, 45, dan wakil PAS Muhyiddin Abdul Rashid, 43.

Menurut Bernama, pengumuman mengenainya dibuat oleh Pengurus Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Idris Che Mat, di akhir proses penamaan calon di Pejabat Daerah Hulu Terengganu hari ini.

Sokongan

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Komaruddin Abdul Rahman, 46, dari BN pada 30 Julai lepas akibat serangan jantung.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Komaruddin menewaskan calon PAS Dr Mamad Puteh dengan majoriti 1,695 undi. Seramai 11,430 pemilih layak mengundi, termasuk 130 orang pengundi pos akan membuang undi pada 28 Ogos ini.

Mohd Zawawi adalah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu sebelum meletak jawatan untuk bertanding.

Beliau adalah pembantu Allahyarham Komaruddin dan merupakan seorang pemimpin Umno yang akrab dengan masyarakat akar umbi di Kuala Berang.

Muhyiddin pula adalah Setiausaha PAS Kawasan Hulu Terengganu dan pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pilihanraya umum 1999, tetapi pada pilihan raya umum 21 Mac lepas tewas kepada calon BN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dengan majoriti 7,760 undi.