Ketara sekali Umno Kedah tidak sabar-sabar mahu melihat kerusi parlimen Sik dikosongkan secepat mungkin. Menteri Besar, Datuk Syed Abdul Razak Syed Zain mengumumkan jentera pilihan raya parti itu di Sik telah diarahkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Sik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman yang pernah memenangi kawasan itu - tetapi tewas tujuh bulan lalu - juga ghairah ingin melihat Datuk Shahnon Ahmad melepaskan jawatan ahli parlimennya.

Baru saja Shahnon membuka mulut untuk berundur daripada arena politik, parti Melayu itu, media arus perdana dan Dr. Hamid menyambutnya dengan penuh berahi. Malah tokoh agama Umno itu telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding sekali lagi di kawasan tersebut jika berlaku kekosongan.

Begitulah ghairahnya Barisan Nasional berhadapan dengan isu ini. Umno negeri melihat hasrat Shahnon itu sebagai satu peluang untuk menebus kembali maruah yang tercemar dalam pilihan raya November lalu.

Sik mahu dijadikan gelanggang untuk memulakan serangan baru, setidak-tidaknya memberikan amaran dan membendung kemaraan PAS di negeri utara itu.

Dalam pilihan raya umum lalu PAS merampas 12 (daripada 36) kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan (daripada 15) kerusi parlimen. Ini adalah kejayaan terbesar PAS di negeri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Malangnya PAS dan penyokong Shahnon di Sik tidak sanggup kehilangan 'Cikgu' sebagai wakil rakyat mereka. Lantas Shahnon didesak supaya kekal Selepas menimbangkan permintaan dan desakan itu, Shahnon menukar hasratnya - beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen PAS.

Keputusan Sasterawan Negara itu menghampakan Umno dan Dr. Hamid. Musuh politik PAS ini benar-benar mengharapkan Shahnon menunaikan hasratnya kerana mereka yakin, jika diadakan pilihan raya kecil di Sik, kerusi itu mampu dirampas semula.

Dua kejayaan dalam pilihan raya kecil Sanggang (Pahang) dan Telok Kemang (Negeri Sembilan) mengukuhkan keyakinan Umno bahawa Sik yang dimenangi PAS dengan majoriti kecil 478 undi itu tidak sukar direbut.

Dalam pilihan raya kecil DUN Sanggang, calon Umno berjaya menewaskan calon PAS dengan majoriti yang lebih besar, hampir seribu undi, berbanding pilihan raya umum 1999. Di Telok Kemang, MIC berjaya menundukkan Parti KeADILan Nasional tetapi dengan jumlah majoriti yang lebih kecil.

Oleh itu Umno memerlukan satu lagi "testing ground" selepas kemenangan di Telok Kemang dan Sanggang masih gagal untuk memulihkan sepenuhnya semangat dan imejnya.

Dr. Hamid yang kecewa dengan keputusan PAS menghalang hasrat Shahnon itu sanggup menuduh parti Islam "tamak kuasa" dan tidak mengutamakan kepentingan pengundi Sik. Beliau nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat kekalahannya di tangan tokoh sasterawan yang baru menceburi politik.

Mungkin beliau berasa rendah diri kerana terpaksa dimasukkan ke kabinet melalui "pintu belakang".

Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mengulas kenyataan itu menyifatkan bekas ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia itu yang sebenarnya gila kuasa kerana sanggup menerima jawatan menteri walaupun telah ditolak oleh rakyat.

Bagaimanapun, keputusan untuk meletakkan calon Umno di kawasan itu terletak di tangan Perdana Menteri. Mungkinkah Dr Mahathir memilih semula seorang calon yang pernah tewas jika kerusi Sik itu kosong? Apakah mungkin Umno memecah tradisi untuk memilih seseorang yang pernah kalah dicalonkan sekali lagi di kawasan yang sama?

Kecuali di Kelantan, Umno selama ini tidak pernah memilih "orang yanag kalah" sebagai calon wakil rakyatnya. Di negeri Cik Siti Wan Kembang, Umno kekurangan pemimpin. Oleh itu terpaksa memilih calon-calon yang pernah tewas untuk bertanding semula, misalnya Datuk Ibrahim Ali, Datuk Hashim Safin dan Datuk Ahmad Rastom (sekadar menyebut beberapa nama).

Rasanya tidak mungkin Dr. Mahathir memperluaskan amalan di Kelantan itu ke Kedah pula. Jika berlaku juga, ia seolah-olahnya membayangkan Umno ketandusan pemimpin. Adakah Umno Kedah sebegitu terdesak?

Paling penting, apakah pengundi Sik sedia menerima Dr. Hamid semula setelah mereka melihat Sik masih kekal sebagai daerah termundur walaupun 40 tahun dikuasai BN.

Tentunya Presiden Umno akan memilih jalan paling selamat, iaitu memilih seorang calon baru yang segar dan bersih daripada sebarang rekod kekalahan. Jika Dr. Hamid dipilih sekali lagi, Umno sebenarnya menyempitkan peluang untuk menang.

PAS mempunyai pelbagai senjata untuk membongkar kekurangan dan kelemahan Dr. Hamid. Oleh itu jika kerusi parlimen Sik kosong, adalah lebih selamat untuk memilih seorang tokoh baru.

Umno tidak wajar menuduh sewenang-wenangnya terhadap PAS kerana menghalang hasrat Shahnon. Sebagai sebuah parti, tentunya PAS mempunyai perhitungan sendiri untuk mengelakkan pilihan raya kecil.

Bagi PAS, sekarang bukan masa untuk menguji populariti. Andainya diadakan pilhan raya kecil dan PAS tewas, parti itu akan menanggung malu dan Umno akan mendapat kemenangan moral yang tinggi.