Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula arahan menempatkan pelajar daripada pelbagai etnik dan agama di sebuah bilik seperti dirancangkan dalam program integrasi kaum pada tahun lalu.

Menteri berkenaan, Tan Sri Musa Mohamad berkata demikian kepada satu rombongan pelajar Universiti Malaya yang menemuinya di kementerian pagi ini.

"Beliau berjanji akan mengkaji isu ini yang diputuskan sebelum beliau mengambil alih kementerian tersebut," kata Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam universiti itu, Mohd Nazri Chik kepada malaysiakini petang ini.

"Menteri juga akan menghubungi pihak universiti (UM) untuk berbincang hal tersebut," jelas Nazri lagi.

Katanya, Musa tidak mengambil sebarang keputusan dalam pertemuan itu sebalik lebih berminat meneliti status pelaksanaan itu.

Dalam satu surat daripada Jabatan Pendidikan Tinggi pada 16 April tahun lepas, kementerian berkenaan mengarahkan semua institusi pengajian tinggi awam melaksanakan sistem penempatan pelajar di kolej kediaman.

Pelajar-pelajar daripada pelbagai kaum dan agama akan ditempat di sesebuah bilik bagi menggalakkan integrasi kaum.

Dalam pertemuan itu, seramai 30 pelajar daripada lima persatuan juga berbincang tentang kesan negatif pelaksanaan sistem tersebut yang disifatkan mengganggu keselesaan dan kebebasan mereka mengamalkan agama masing-masing.

Kumpulan pelajar yang sama - diwakili oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan empat lagi persatuan agama dan bahasa tiga kaum utama - telah menghantar satu memorandum kepada Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Mohd Zain, pada minggu lalu dan mempertikaikan pelaksanaan tergesa-gesa idea kementerian itu.

Bagaimanapun kumpulan pelajar itu menyambut baik pelaksanaan penempatan pelajar dijalankan berdasarkan faktor kedaerahan.

Menurut sumber pelajar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr. Firdaus Abdullah pernah dilaporkan sebagai berkata UM tidak akan mewajibkan pelajar berlainan kaum berkongsi bilik asrama.

Sebaliknya "mereka digalakkan berbuat demikian atas kehendak sendiri jika mereka merasakan sesuai," dalam laporan Utusan Malaysia 19 Jun tahun lepas.

Seorang pegawai HEP yang tidak mahu dikenali mengesahkan kepada malaysiakini bahawa pihaknya telah menerima memorandum kumpulan pelajar itu. Katanya, UM akan membawa usul tersebut dalam mesyuarat peringkat tinggi HEP tetapi tarikhnya belum diputuskan.