Umno Bahagian Tanah Merah akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno supaya menimbang semula keputusannya untuk membatalkan mesyuarat kesemua cawangan di bahagian tersebut.

Jawatankuasa berkenaan membuat keputusan tersebut Isnin lalu kerana berlakunya kekeliruan melibatkan senarai ahli dan mengarahkan kesemua cawangan di Tanah Merah bermesyuarat semula.

Tanah Merah adalah satu-satunya daripada 14 Bahagian Umno di Kelantan yang belum menyelesaikan persidangannya dalam tempoh ditetapkan pada bulan lalu.

Ketua penaja Umno bahagian, Datuk Hashim Safin berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada jawatankuasa tersebut supaya mengarahkan tujuh cawangan yang bermasalah sahaja bermesyuarat semula, dan mengesahkan keputusan mesyuarat cawangan-cawangan lain.

Katanya, ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan yang telah mengesahkan keputusan mesyuarat cawangan-cawangan terbabit, kecuali tujuh cawangan berkenaan.

Sahkan keputusan

Menurut Hashim, keputusan supaya semua cawangan bermesyuarat semula bukan sahaja satu 'kerja besar" tetapi juga akan memakan masa yang panjang, sedangkan Umno negeri sudahpun mengesahkan keputusan mesyuarat 99 cawangan terbabit.

"Masalah hanya berlaku di tujuh cawangan terbabit, jadi biarkan tujuh cawangan berkenaan sahaja yang bermesyuarat semula. Kita akan merayu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno berhubung perkara tersebut," tambahnya.

Selepas mesyuarat cawangan, Hashim mendapat 33 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya, manakala pencabarnya Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang juga Ketua Pemuda bahagian dan Exco Pemuda Umno, memperolehi 73 pencalonan.

Hashim juga menjelaskan mengenai percanggahan dalam jumlah cawangan di bahagian berkenaan 128 cawangan menurut Ibu Pejabat Umno, dan 106 menurut Hashim.

Menurutnya, memang terdapat 128 cawangan di Tanah Merah tetapi hanya 106 sahaja yang layak mengundi.

Katanya, ini berdasarkan kepada surat yang diterima daripada Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang menyebut 106 cawangan layak mengundi Jun lalu.

Menurut Hashim, pihaknya belum lagi dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan Jawatankuasa Pengurusan Umno berhubung perkara tersebut.

Senarai ahli

Sebelum ini, Bernama memetik pengerusi Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan, Datuk Hassan Harun sebagai berkata kesemua cawangan di Tanah Merah diarahkan bermesyuarat semula kerana berlakunya kekeliruan melibatkansenarai ahli.

Keadaan itu, katanya, telah menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli di peringkat cawangan.

Malaysiakini telah melaporkan mengenai aduan dua ahli bahagian berkenaan kepada polis dan Suhakam mendakwa ada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pelajar sekolah menengah diperalatkan untuk mengundi dalam mesyuarat cawangan di situ.

Sehubungan itu, Hassan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Umno pusat juga mengarahkan jawatankuasa peringkat negeri memantau ahli yang disenaraikan di peringkat cawangan sama ada mereka benar-benar berdaftar dan tidak muflis seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

"Selepas senarai terbaru ahli itu dibersihkan dan disahkan, barulah mesyuarat cawangan boleh diadakan dan selepas itu disusutli dengan persidangan perwakilan Bahagian Umno Tanah Merah," katanya.

Beliau berharap kesemua mesyuarat itu dapat diadakan segera.