'Debat Perdana Malaysia' tanpa perdebatan
Pada malam 26 Julai 2004, saya bergegas ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor untuk menghadiri "Debat Perdana Malaysia" antara Ketua Pembangkang YB Lim Kit Siang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Mohd Nazri Abdul Aziz.
Sesudah mengikuti perjalanan seluruh program tersebut, saya berasa seakan-akan tertipu.
Dari segi aturcara Kit Siang dan Nazri masing-masing diberi masa 45 minit untuk berucap. Dan Kit Siang yang pertama berucap, kemudiannya diberi lebihan masa 5 minit untuk membalas hujah Nazri. Lantaran itu, mereka tidak berdebat dalam ertikata sebenar.
Yang anehnya ialah pihak penganjur tidak dapat menjelaskan kenapa pusingan kedua, seperti yang dijadualkan iaitu setiap pendebat diberikan masa 15 minit untuk berucap dibatalkan sedangkan syarat polis hanya melarang para hadirin mengemukakan soalan.
Namun, nak dianggap sebagai ceramah pun tidak boleh, kerana tajuk debat: "ISA ia atau tidak?"telah ditetapkan, dan dijanjikan pula ia akan merupakan "Debat Perdana Malaysia" yang bersejarah!
Pada malam 26 Julai 2004, saya bergegas ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor untuk menghadiri "Debat Perdana Malaysia" antara Ketua Pembangkang YB Lim Kit Siang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Mohd Nazri Abdul Aziz.
Sesudah mengikuti perjalanan seluruh program tersebut, saya berasa seakan-akan tertipu.
Dari segi aturcara Kit Siang dan Nazri masing-masing diberi masa 45 minit untuk berucap. Dan Kit Siang yang pertama berucap, kemudiannya diberi lebihan masa 5 minit untuk membalas hujah Nazri. Lantaran itu, mereka tidak berdebat dalam ertikata sebenar.
Yang anehnya ialah pihak penganjur tidak dapat menjelaskan kenapa pusingan kedua, seperti yang dijadualkan iaitu setiap pendebat diberikan masa 15 minit untuk berucap dibatalkan sedangkan syarat polis hanya melarang para hadirin mengemukakan soalan.
Namun, nak dianggap sebagai ceramah pun tidak boleh, kerana tajuk debat: "ISA ia atau tidak?"telah ditetapkan, dan dijanjikan pula ia akan merupakan "Debat Perdana Malaysia" yang bersejarah!
Yang lebih mengecewakan ialah apa yang dinamakan "Debat Perdana Malaysia" tersebut bukan saja tidak disiarkan secara langsung melalui mana-mana televisyen tempatan, malah ia terpaksa dilangsungkan di bawah kawalan ketat pasukan polis berpakaian seragam dan preman, dan pengenaan 11 syarat yang harus dipatuhi oleh pihak penganjur.
Alasan mansuh ISA
Antara syarat tersebut, ialah pendebat tidak dibenarkan melanggar Akta Hasutan, para hadirin tidak dibenarkan mengemukakan soalan, dan sebarang senjata atau bahan letupan tidak dibenarkan dibawa ke dalam dewan!
Sebagai sebuah negara yang melaksanakan sistem demokrasi, tidakkah kerajaan BN merasa keterlaluan mengenakan syarat-syarat yang "tidak masuk akal" seperti ini kepada Ketua Pembangkang dan Menterinya? Atau negara kita memang negara polis seperti anggapan setengah orang?
Dalam ucapan Kit Siang, beliau terlalu banyak bersandar kepada hujah-hujah buku Rais Yatim, Timbalan Menteri Dalam Negeri (1976-78), yang bertajuk "Freedom under Executive Power in Malaysia". Antara lain, enam alasan kenapa ISA patut dimansuhkan telah dipetik seperti berikut:
Pertama, sejak Darurat 1969, tiada subversif yang sebenarnya wujud di dalam atau di luar negara.
Kedua, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk digunakan oleh eksekutif demi menghadapi segala kemungkinan yang dapat difikirkan, termasuk keadaan darurat yang baru.
Ketiga, ISA merupakan penggubalan undang-undang semasa perang untuk menghadapi keganasan komunis, objektif ini kini sudah tidak wujud lagi.
Keempat, pelaksanaan ISA secara berterusan telah menjadi dalih pihak berkuasa untuk mengendalikan negara berasaskan darurat.
Kelima, sekarang ISA tidak digunakan demi tujuan politik untuk menyepikan pembangkang. (Penangkapan reformasi-7 pada Black April tahun 2001 telah menafikan hujah ini - penulis).
Keenam, Malaysia patut menghormati dan mengakui tuntutan-tuntutan hak-hak asasi yang telah berakar-umbi dalam pelbagai konvenan antarabangsa.
Semangat demokrasi
Selain itu, hujah-hujah Rais Yatim mengenai bagaimana ungkapan "memudaratkan keselamatan negara" telah diputarbelitkan, dan bagaimana pula "kuasa-kuasa yang digunakan oleh polis dan Menteri di bawah ISA telah menjadi unilateral/sebelah pihak saja, tanpa tertakluk kepada mana-mana authoriti yang lain" juga telah digunakan oleh Kit Sing untuk mengkritik ISA.
Dikemukakan juga pengakuan Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri (Ogos 1973 hingga Julai 1981) bahawa dalam penangkapan lebih 4,000 tahanan ISA (1,600 telah dihantar ke kem tahanan), beliau hanya menandatangani perintah-perintah tahanan yang diletakkan di depan beliau tanpa penyiasatan yang lebih lanjut, sama ada mereka patut ditahan.
Pada keseluruhannya, prestasi Kit Siang sederhana saja, namun penyangkalan Nazri terhadap beberapa alasan menentang ISA, memperlihatkan kekurangan semangat demokrasi dan tidak menghormati hak-hak asasi rakyat.
Umpamanya, hujahan beliau bahawa kemenangan BN dalam setiap kali pilihanraya umum telah membuktikan rakyat sebenarnya telah mengatakan "ya" kepada ISA.
Andaian hujah ini jika benar, maka mengikut logik yang sama, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar pula bertanya: "Adakah ini juga bermakna rakyat menyokong pemimpin-pemimpin yang korup bila mereka mengundi BN?"
Kerajaan BN, jika ingin mengetahui hasrat rakyat yang sebenar, patut membenarkan debat diadakan dalam semua bidang dan peringkat masyarakat tanpa sebarang sekatan yang tidak munasabah, dan semua debat yang terbabit hendaklah disiarkan sepenuhnya oleh pelbagai media massa.
Pengakuan
Setelah isu ISA didebatkan dan diketahui secara luas dan umum, maka pungutan suara pun boleh diadakan untuk menetapkan sama ada rakyat menyokong atau menentang ISA.
Saya hampir tidak percaya ketika mendengar Nazri berkata bahawa tiada menteri yang "berani" menahan mereka yang mengancam keselamatan negara sekiranya perintah tahanan boleh diteliti semula dalam mahkamah.
Tidakkah ini suatu pengakuan terang-terangan bahawa banyak perintah tahanan, jika diteliti semula dalam mahkamah, sebenarnya penahanan yang tidak sah di sisi undang-undang?
Dengan lain perkataan, banyak penangkapan dan penahanan di bawah ISA dilakukan akibat salahguna kuasa pihak berkuasa terbabit secara wenang-wenangannya, atau sekurang-kurangnya secara unilateral dan subjektif, yang tidak selaras dengan keadilan undang-undang dan sistem demokrasi.
Patutlah Nazri diejekkan apabila beliau cuba menyamakan penahanan jenayah biasa dengan penahanan ISA dalam aspek jangka masa penahanan mereka tanpa diadili.
Kata beliau: "Perbezaan hanya jangka masa penahanan, bagi kes polis yang lain hanya selama 14 hari, walhal dalam kes ISA, ia boleh ditahan selama 2 tahun."
Penyokong Anwar
Perbezaan 14 hari dengan 2 tahun (sebenarnya selepas 2 tahun boleh ditambah 2 tahun lagi, 2 tahun demi 2 tahun tanpa hadnya). Terbukti beliau tidak menghargai kebebasan individu sebagai hak asasi manusia yang tidak boleh dirampas dengan sesuka hati.
Sebagai penyokong Anwar Ibraham dulu, jika Nazri juga mengikut jejak Ezam Mohd Nor yang melibatkan diri dalam gerakan reformasi dan malangnya ditahan di bawah ISA, maka tentulah beliau tidak akan berkata dengan selamba yang berbeza hanya 14 hari dengan 2 tahun!
Nazri tidak dapat menyangkal hujah-hujah Rais Yatim yang dikemukakan Kit Siang, tetapi beliau memberi suatu komen yang ringkas: buku Rais Yatim ditulis ketika beliau adalah pembangkang. Secara tidak langsung, beliau telah mengaku kewujudan ISA itu memang tidak menguntungkan pembangkang!
Ini juga bermakna, jika parti pemerintah tidak mengambil berat tentang hak asasi manusia dan semangat perundangan yang adil, dan cenderung untuk menyalahgunakan ISA demi mengukuhkan pemerintahan parti yang goyah, maka mereka tentu tidak bersedia untuk memansuhkan undang-undang zalim itu!
Ini justeru sikap kerajaan BN yang enggan memansuhkan ISA.

