Coca Cola atau Pepsi Cola
Setiap hari saya akan memasuki lamanweb akhbar kesayangan saya The Guardian dari kota London. Dahulu, semasa di Eropah, inilah akhbar langganan harian saya. Kini, keterbukaan alam siber telah membolehkan saya membaca Guardian sekali lagi, walaupun saya berada di Jelebu.
Sekarang saya boleh membaca Guardian tanpa ayat-ayatnya dipotong-potong atau gambar payudara Naomi Campell dibubuh cat hitam seperti yang pernah saya temui apabila saya membeli akhbar ini di lapangan terbang Subang satu ketika dahulu.
Kelmarin saya membaca satu tulisan kajisiasat dalam Guardian tentang Pepsi Cola dan Coca Cola. Kajian ilmiah ini ingin mengetahui bagaimana dan kenapa pembeli memilih dua jenama minuman ini. Dua syarikat ini sedang berlumba-lumba untuk mendominasi dunia; sehinggakan tidak ada satupun ceruk dunia kita yang tidak mengenali dua jenama minuman ini.
Semenjak saya memiliki kesedaran politik dan ingin membuat sesuatu yang dianggap betul politik - politically correct - saya telah tidak lagi membeli Pepsi mahupun Coke. Ini juga bermakna saya telah meninggalkan Bicardi n Coke - minuman yang bagitu 'trendy' pada tahun 70'an dahulu di University Malaya, terutama di Kolej Kelima. Saya kini telah memilih Pernod ala Tebing Barat - minuman kaum buruh kota Paris.
Tapi apa yang ingin saya surahkan di sini bukan tentang Guardian , Bicardi, Pernod atau coli Naomi Campell. Saya ingin berlabon tentang pilihanraya presiden Amerika Syarikat. Tetapi saya tidak mahu berhujah sama ada saya menerima atau menolak proses demokrasi Amerika. Ini satu kisah yang tersendiri.
Surah saya di sini ialah tentang pemilihan presiden Amerika yang akan berlangsung November ini pemilihan di antara parti Democrats dan parti Republicans. Parti Democrats dan Republicans ini, bagi saya samalah seperti Pepsi Cola dan Coco Cola.
Setiap hari saya akan memasuki lamanweb akhbar kesayangan saya The Guardian dari kota London. Dahulu, semasa di Eropah, inilah akhbar langganan harian saya. Kini, keterbukaan alam siber telah membolehkan saya membaca Guardian sekali lagi, walaupun saya berada di Jelebu.
Sekarang saya boleh membaca Guardian tanpa ayat-ayatnya dipotong-potong atau gambar payudara Naomi Campell dibubuh cat hitam seperti yang pernah saya temui apabila saya membeli akhbar ini di lapangan terbang Subang satu ketika dahulu.
Kelmarin saya membaca satu tulisan kajisiasat dalam Guardian tentang Pepsi Cola dan Coca Cola. Kajian ilmiah ini ingin mengetahui bagaimana dan kenapa pembeli memilih dua jenama minuman ini. Dua syarikat ini sedang berlumba-lumba untuk mendominasi dunia; sehinggakan tidak ada satupun ceruk dunia kita yang tidak mengenali dua jenama minuman ini.
Semenjak saya memiliki kesedaran politik dan ingin membuat sesuatu yang dianggap betul politik - politically correct - saya telah tidak lagi membeli Pepsi mahupun Coke. Ini juga bermakna saya telah meninggalkan Bicardi n Coke - minuman yang bagitu 'trendy' pada tahun 70'an dahulu di University Malaya, terutama di Kolej Kelima. Saya kini telah memilih Pernod ala Tebing Barat - minuman kaum buruh kota Paris.
Tapi apa yang ingin saya surahkan di sini bukan tentang Guardian, Bicardi, Pernod atau coli Naomi Campell. Saya ingin berlabon tentang pilihanraya presiden Amerika Syarikat. Tetapi saya tidak mahu berhujah sama ada saya menerima atau menolak proses demokrasi Amerika. Ini satu kisah yang tersendiri.
Surah saya di sini ialah tentang pemilihan presiden Amerika yang akan berlangsung November ini pemilihan di antara parti Democrats dan parti Republicans. Parti Democrats dan Republicans ini, bagi saya samalah seperti Pepsi Cola dan Coco Cola.
Belacan Batu Berendam
Kedua-duanya adalah harta yang dimiliki oleh industri pemodal gergasi antarabangsa. Jenama ini boleh dieja dengan huruf Jawi, huruf Cina, huruf Siam, Tamil atau apa pun - Pepsi dan Coke tetap menjadi ikon imperialis Amerika.
Terlalu susah untuk kita, sebagai warga dunia, untuk membezakan garis perjuangan dua parti politik Amerika ini. Amat payah untuk dibezakan yang mana Bush-Cheney dan yang mana Kerry-Edwards. Agaknya samalah susahnya untuk seorang Mat Yengkee dari Boston untuk membezakan belacan Batu Berendam dan belacan Tanjung Keling.
Awas! Saya telah membuat pilihan siapa yang wajib menjadi presiden. Saya lakukan bukan sebagai pengundi. Mmana mungkin, di Malaysia sendiri pun saya tidak mendaftar dan tidak mengundi. Saya membuat pilihan politik terhadap siapa yang saya anggap akan lebih menguntungkan arus perjuangan rakyat dunia. Saya telah memilih 'son of the Bush' - George W Bush untuk terus tinggal di Rumah Putih.
Jangan marah dan jangan teperanjat. Jangan anggap saya telah belot dari idealogi sosialisme yang saya anuti. Tidak. Malah pandangan saya ini seharusnya menjadi pegangan asas penganut sosialisme hari ini. Dari segi taktik dan strategi, perjuangan politik jangka panjang, George W Bush adalah pilihan yang unggul untuk rakyat dunia.
Pandangan saya ini bukan sesuatu pandangan yang baru. Pemilihan saya ini berasaskan pengumpulan pengalaman politik. Kita tidak perlu mentelaah kitab-kitab politik kuno dari zaman Socrates atau membaca pandangan buku-buku politik kontemperori untuk memahami strategi ini. Putarkan ingatan. Ingatkan kembali kepada laungan 'Undur Mahathir Undur'.
Ini satu slogan popular yang telah dilaungkan oleh Gerakan Reformasi. Slogan ini bertujuan mengolah persetujuan orang ramai. Pada hakikatnya, gerakan Reformasi amat bergembira dan senang hati dengan wujudnya Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Ini kerana Mahathir telah dijadikan ikon yang memungkinkan membara/merebaknya kemarahan orang Melayu. Hasilnya terbukti dengan keputusan pilihanraya 1999.
Ikon kebencian rakyat
Mahathir ialah Perdana Menteri rakyat Malaysia. Gantikan nama Mahathir ini dengan nama George W Bush dan nama rakyat Malaysia sebagai rakyat dunia. Lihat kesamaannya. Mahathir dibenci oleh rakyat Malaysia. George W Bush dibenci oleh rakyat dunia. Tidak ada metapora dan tidak ada perselindungan di sini. Yang wujud ialah dua ikon yang dibenci oleh rakyat.
Memang rakyat dunia berhak merasa marah terhadap Bush. Kutukan yang dilemparkan kepada Bush berasaskan tindak tanduk politik Bush sendiri. Kebencian rakyat dunia terhadap George W Bush lahir dari hati suci yang ingin melihat dunia yang lebih adil dan selamat. Tetapi politik bukan tentang kemarahan dan kesucian hati. Politik adalah perjuangan satu kelas untuk menumpaskan kelas yang sedang memiliki kuasa.
Sekali imbas, menukar Bush pasti akan dilihat sebagai pilihan terbaik. Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini. Ini bukan pilihan yang terbaik. Ledakan kemarahan spontan tidak akan menyampaikan kita ke satu matlamat politik yang dicita-citakan. Saya memilih Bush, samalah seperti saya memilih Mahathir untuk meneruskan kepimpinannya.
Hari ini segala tindak tanduk George W Bush telah sama-sama kita dilihat dengan jelas. Rakyat dunia telah sepakat untuk membenci George W Bush. Imperialisme yang dahulunya hanya disabitkan dengan gerakan kiri dan sosialis, kini telah sama-sama difahami oleh banyak kumpulan, termasuk para Wahabi dan para Yuppies dari Talawi.
Projek imperial 'orang minyak' dari Rumah Putih, telah menjadi pengetahuan umum. Seluar dalam George Bush semakin terlondeh dan sedang memperlihatkan Dick Cheneynya. Senjata Pemusnah Massa kini telah menjadi Senjata Penipu Massa. Satu demi satu pembohongan Rumah Putih telah dibongkar oleh media. George W Bush sentiasa bersilat lidah apabila berhadapan dengan media.
Rahim Noor George Bush aka Donald Rumsfeld hanya menunggu masa untuk diseret ke mahkamah antarabangsa kerana peranannya ke atas apa yang berlaku di Abu Gharib.
Kejujuran suami
Bush sendiri juga akan diseret ke mahkamah dalam kes pembocoran nama seorang wanita agen perisik CIA. Nama agen ini telah dibocorkan apabila suami agen tersebut, seorang diplomat, telah berkata benar dengan menafikan kes pembelian urinium oleh Saddaam Hussein dari Niger di Afrika. Bush cuba mencari bahan-bahan untuk membuktikan wujudnya rancangan nuklear Saddam.
Niat jahat Rumah Putih telah digagalkan oleh kejujuran sang suami. Pembocoran nama agen wanita ini kepada media adalah langkah propaganda hitam yang dianggap berpunca daripada Rumah Putih, iaitu George W. Bush sendiri.
Secara peribadi Bush sering menjadi bahan lucuan di kalangan para pemikir dan intelektual Amerika. Walaupun pernah ke Yale, tetapi Bush dilihat sebagai insan yang tidak memiliki daya fikrah yang original seperti JFK atau Bill Clinton. Keadaan ini diburukkan lagi dengan rekod Bush sebagai bekas graduan pusat serenti.
Sebagai bekas pemadat dan pendadah, George W Bush kini sering menjadi bahan kajian oleh para ilmuan psikologi untuk melihat apakah tindak tanduknya menyerang Iraq dahulu dilakukannya kerana dianya masih dalam keadaan berdengong dan gian.
Dalam masa yang sama kaum keluarga mangsa 9/11 masih lagi belum berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diberikan oleh badan-badan perisek Amerika. Perletakan jawatan Pengarah CIA baru-baru ini, wajib dilihat sebagai bisul yang masih belum ditemui punatnya. Pasti akan muncul lagi beberapa cerita/skandal yang masih terpendam di Rumah Putih.
Sokongan Bush secara membabi buta terhadap Sharon telah menakutkan regim-regim Arab yang biasanya menjadi kuda tunggangan Amerika. Persekongkolan golongan fundamentalis Kristian di Amerika dengan puak Zionis untuk menumpaskan inspirasi rakyat Palestin, Arab dan Islam, semakin jelas dilihat.
Saudi Arabia, Jordan dan Mesir, telah cuba menjauhkan diri dari George W Bush kerana negara-negara ini juga risau dan takut dengan kemarahan rakyat mereka sendiri.
Rakyat dunia ketiga
Semua ini wajib kita lihat sebagai sesuatu yang positif kerana projek imperial Amerika kini dalam keadaan kelam kabut dan tidak tersusun. Kuasa imperialis Amerika kini semakin tidak sebulu dan bertelagah dengan negara-negara Eropah, terutama Peranchis, Jerman dan Russia. Semua ini adalah kontradiksi kapital yang pasti akan menguntungkan perjuangan jangka panjang rakyat dunia ketiga.
Kalau kita bermain catur dengan George Bush, maka kini si Dubya telah di 'check mate' oleh rakyat dunia. Kemungkinan untuk George W Bush menambahkan lagi bala tentera Amerika di Iraq amat tipis. Sokongan negara-negara lain untuk 'bertandang' ke Iraq amat minima. Kemungkinan negara-negara yang sedia ada untuk mengundurkan diri dari Iraq, seperti yang telah dilakukan oleh Sepanyol dan Filipina, amat besar.
Selagi George W Bush berada di Rumah Putih, amat payah bagi kompleks industri tentera mengolah persetujuan rakyat Amerika untuk menyerang Iran, Korea Utara atau Cuba. Semua ini akan berubah sekiranya John Kerry berjaya memasuki Rumah Putih. Ini samalah seperti pertukaran Mahathir dengan Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya. Kemarahan rakyat akan kendur. Rakyat berilusi dan berharap satu pembaharuan akan muncul.
Wajib disedari bahawa John Kerry tidak pernah menentang, malah menyokong perang ke atas Iraq. John Kerry, sebagai penyapu baru, mungkin akan berjaya mengolah persetujuan rakyat Amerika untuk menambah jumlah bala tentera Amerika di Iraq dan Timur Tengah. Manakala John Edwards yang dilihat sebagai klon JFK - kacak dan berkarisme - berkemungkinan meyakinkan Nato untuk menghantar bala tentera.
Sebenarnya, tidak pernah wujud perbezaan dasar yang hakiki terhadap Israel dan Palestin untuk parti Democrats atau parti Republicans. Tidak kira siapa di Rumah Putih , Bush-Cheney atau Kerry- Edwards, bagi Isreal, semuanya adalah sama. Jaringan Zionist berselirat di seluruh dunia. Justeru, pergerakan Zionist antarabangsa tidak pernah merasa risau tentang peralihan yang berlaku di Rumah Putih.
Saya tetap mahukan George W Bush untuk terus menginap satu penggal lagi di Rumah Putih. George Bush sebagai presiden akan menajamkan lagi kontradiksi di antara kepentingan rakyat dunia dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa. Pergeseran ini akan menyemarakkan lagi api pemberontakan rakyat Amerika sendiri dan akan membantu rakyat dunia. Kontradiksi ini
sedang menajam.
Semua ini disedari oleh golongan elit politik dan elit ekonomi di Amerika. Pada ketika ini, kelas pemerentah dan elit ekonomi Amerika sedang merancang untuk melakukan 'regime change' dan memasang 'muka baru' untuk mengendalikan kepentingan modal mereka. Rakyat Amerika akan diberi pilihan pada bulan November ini untuk memilih Pepsi Cola atau Coca Cola.
Tetapi pada pemerhatian saya, besar kemungkinan 'regime change' ini tidak akan berlaku. Para gerila Baathist di Fallujah dan para mujahideen Al-Qaeda di Tora Bora tidak akan membenarkan George Bush meninggalkan Rumah Putih.
George W Bush adalah ' rakan setia dan pembantu keras' perjuangan mereka. Baathist dan Al-Qaeda ini pula tidak akan minum Coke, Pepsi, Bicardi atau Pernod, mereka meminum Zam Zam Cola. Ini satu jenama yang baru.

