Jika saya ditanya siapakah yang seharusnya menjadi perdana menteri hari ini - jawapan saya masih lagi Musa Hitam. Tapi pada hakikatnya, saya menyedari bahawa ini hanyalah satu bayangan harapan yang tidak mungkin akan terjadi. Tetapi tidak semestinya saya tidak dibenarkan berkhayal, berangan-angan dan bermimpi.

Berangan-angan, bermimpi dan berkhayal - sama seperti ketawa - masih lagi satu perbuatan yang belum lagi diaktakan sebagai melanggar undang-undang keselamatan negara. Ertinya, saya tidak akan ditahan di bawah ISA jika saya berangan-angan untuk menjadikan Musa Hitam sebagai perdana menteri.

Apa yang menjadikan saya ketawa berpanjangan sebulan ke belakang ini bukan tentang Musa Hitam tetapi tentang Tengku Razaleigh Hamzah. Saya tidak mentertawakan Tengku Razaleigh. Saya tidak mahu dianggap kurang sopan terutama bila berhadapan dengan putera raja ini, walaupun saya seorang sosialis. Jangan tersalah anggap, sosialis itu satu falsafah hidup yang memperkasa penganutnya untuk berbudi dan berbahasa.

Apa yang menggelikan hati saya ialah apabila saya membaca pelbagai pandangan para pemerhati politik dan komentar-komentar mereka di media arus perdana. Hujah yang paling lawak ialah parti Umno mengamalkan demokrasi. Tetapi jika ada pertandingan untuk jawatan presiden maka akan terjadi perpecahan di dalam parti. Justeru telah dikeluarkan arahan untuk melarang kerusi presiden ditandingi.

Hujah ini jelas satu hujah 'oxymoron - bertelagah'. Pertama, pertandingan adalah asas falsafah demokrasi untuk memilih yang terbaik. Kedua, jawatan-jawatan yang lain masih terbuka untuk dipertandingankan. Apakah pertandingan ini tidak akan memecahkan parti. Di sini saya kurang faham tentang arkeologi pemikiran seperti ini.

Perkara yang kedua yang menggelikan hati ialah tulisan-tulisan yang tidak putus-putus memperlekeh, memperkecilkan, menyerang dan cuba memberi noktah politik kepada Tengku Razaleigh. Tulisan-tulisan ini muncul sebaik sahaja putera raja ini menyatakan hasratnya untuk menawarkan diri bertanding untuk jawatan presiden parti Umno.

Tulisan-tulisan ini datang dari pelbagai sudut dan muncul dalam pelbagai bentuk. Ada suara yang menyamar sebagai pemerhati politik. Ada yang menjaja komentar kerana memiliki ijazah politik dari Universiti Buffalo. Ada yang bersuara sebagai politikus pencen. Ada pula yang menyamar untuk memberi nasihat. Ada pula yang memperingatkan tentang biologi Tengku Razaleigh. Ada pula yang cuba menjajakan kisah-kisah 'kesedihan' lama.

Sokongan

Hanya pandangan Mak Nyah dan Mat Rempit dari Batu Road sahaja yang tidak diambil pusing. Dalam apa pun bentuknya, semuanya menyimpan tujuan asas untuk mempastikan agar anak raja Kelantan ini tidak mendapat sokongan dan gagal untuk mendapat pencalonan dari anggota parti.

Sebagai seorang sosialis, saya ingin memaparkan pandangan Mao. Mengikut Mao, jika musuh menyerang kita, ini bukan sesuatu yang tidak baik. Ini adalah baik kerana telah jelas garis pemisah di antara kita dengan musuh. Jika musuh tidak menyerang, maka ini merbahaya kerana kita telah sama serupa dengan musuh.

Jadi, jika saya Tengku Razaleigh, semua serangan ini hanya membuktikan bahawa diri saya masih lagi relevan. Jika saya telah kotai dan tidak memiliki sokongan dalam parti, kenapa perlu berhari-hari media berkumat-kamit berbuih mulut cuba memberi noktah kepada langkah politik saya. Hakikat ini yang wajib sama-sama kita fikirkan. Pandangan politik proletar Mao ini amat tepat untuk memahami apa yang berlaku kepada anak keluarga feudal dari Kelantan ini.

Memang betul, jika kita melihat sekali imbas penawaran diri Tengku Razaleigh itu, kelihatan beliau ingin membunuh diri. Kerusi-kerusi di dalam parti telah/sedang dilingkari oleh 'tembok China' dengan benteng 'scud missiles' yang terus mengancam. Lebih tinggi jawatan itu, lebih tinggi pulalah tembok China ini. Kita tidak perlu mendapat ijazah PPE dari Oxford University untuk menyedari bahawa kemungkinan Tengku Razaleigh melintasi tembok ini adalah mustahil.

Jadi, tembok China inilah perkara wahid yang ingin disampaikan kepada rakyat oleh anak raja dari Kelantan ini. Anak raja ini mungkin ditewaskan oleh 'scud missiles' - ini bukan agenda asalnya. Tengku Razaleigh menawarkan dirinya sebagai satu 'sekolah politik' kepada rakyat seantero negeri untuk menyedari bahawa kewujudan tembok China ini sedang mengancam proses
pendemokrasian dalam negara ini.

Proses penyempitan ruang demokrasi inilah yang telah menafikan rakyat Malaysia dari pimpinan Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim. Struktur sistem pemerintahan kuku besi yang diamalkan oleh Mahathir Mohamad selama 22 tahun, telah membawa mudarat yang amat sangat ke atas pembudayaan dan pemikiran masyarakat Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh ialah untuk menyedarkan kembali rakyat terutama orang Melayu di dalam Umno bahawa tanpa demokrasi mereka akan menggali kubur parti mereka sendiri.

Tawar diri

Dengan menawarkan diri, Tengku Razaleigh cuba menduga apakah telah berlaku satu perubahan proses pendemokrasian di dalam Umno sesudah Mahathir. Apakah berkemungkinan peralihan pucuk pimpinan dalam struktur yang sama, akan membawa apa-apa yang baru. Jawabnya terbukti bahawa struktur dan sistem yang sedia wujud didalam Umno hari ini tidak memungkinkan tersebar dan tersuburnya demokrasi.

Perkara kedua yang ingin disampaikan oleh Tengku Razaleigh kepada rakyat ialah susuk Ku Li adalah susuk perdana menteri. Tengku Razaleigh ialah 'prime minister material'. Ini kerana jawatan yang ingin disandangnya bukan ketua bahagian atau naib presiden atau timbalan presiden. Tengku Razaleigh menawarkan diri sebagai presiden parti, sekaligus untuk menjadi perdana menteri Malaysia.

Ramai orang akan mengaminkan dan bersetuju bahawa susuk Tengku Razaleigh adalah susuk Perdana Menteri. Orang ramai juga menyedari bahawa Abdulah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana 'fluke' politik. Dia diangkat secara tidak sengaja. Abdullah Badawi menjadi PM kerana susuk -susuk 'prime minister material' seperti Musa Hitam dan Anwar Ibrahim telah diketepikan oleh lincah jelek politik Mahathir.

Kewibawaan susuk politik Tengku Razaleigh memang satu hakikat yang disedari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Pembudayaan dan hemah kemelayuan Ku Li tinggi dan telah diuji. Tengku Razaleigh tidak mengalami krisis identiti. Beliau tidak akan ditanya sama ada dia Melayu atau tidak, seperti yang dialami oleh Mahathir Mohamad. Tidak mungkin akan muncul cerita-cerita 'anak mamak tongkang' di dalam biografi Razaleigh.

Tengku Razaleigh juga tidak perlu berkahwin dengan kerabat diraja atau memerlukan penobatan darjah Datok Tan Sri Tun Tan Teng Tong untuk menambah nilai diri. Susur galur keluarganya jelas.

Untuk saya, apa yang telah dilakukan oleh Tengku Razaleigh hanyalah permulaan. Mermerhatikan politik Tengku Razaleigh, saya rasakan telah wujud satu perhitungan yang lebih besar untuk agenda pendemokrasian negara ini. Saya tidak berani memberikan noktah terakhir untuk kerja politik Ku Li. Tidak mungkin.

Hari ini Umno sudah terperangkap dalam budaya politik KKN - korupsi, kronisma, nepotisma - yang telah ditelor, dieram dan dinetaskan oleh Mahathir Mohamad selama 22 tahun. Manifestasi yang paling jelas tentang bercambah suburnya budaya KKN ialah apabila umum membaca/mendengar nama dan bin anak beranak dan adik beradik yang dimasukkan ke dalam senarai nama-nama yang ingin dicalonkan untuk memimpin parti.

Konspirasi

Jelas kelihan para gedebe dan 'war lords' dalam Umno sedang bersiap sedia untuk melahirkan dinasti-dinasti baru. Kemunculan dinasti baru ini akan membawa kepada pertempuran politik yang baru.

Jika Umno gagal berubah, maka polity Melayu hari ini akan memerlukan satu wadah baru, yang lebih segar dan sihat untuk memperluaskan lagi ruang demokrasi. Rakyat Melayu semakin tercorot dalam semua bidang. Pemikiran manusia Melayu semakin dibonsaikan oleh budaya Umno.

Tengku Razaleigh memiliki pengalaman dalam pucuk pimpinan parti yang memerintah. Beliau memiliki pengalaman dalam pentabiran negara. Beliau pernah menjadi ketua parti pembangkang di parlimen. Apa yang lebih penting untuk dilihat oleh polity Melayu ialah Tengku Razaleigh tidak campur tangan dan terpalit lumpur di dalam kes konspirasi untuk memenjarakan Anwar Ibrahim. Tangan Ku Li tidak dilumuri oleh darah konspirasi.

Di sinilah peranan besar untuk Tengku Razaleigh - peranan untuk membawa Lorong Ketiga Poros Tengah - ke dalam politik Malaysia. Dengan pengalaman di dalam dan di luar kerajaan, kemungkinan Ku Li untuk memimpin Lorong Ketiga untuk Malaysia amat menjanjikan.

Semasa Tengku Razaleigh di luar kerajaan, Anwar Ibrahim berada di dalam kerajaan. Kini Anwar dalam penjara dan Ku Li pula di dalam kerajaan, tetapi beliau sedang membawa arus perubahan. Jika dua jalur polity Melayu ini bergabung, maka inilah yang dipanggil Lorong Ketiga Poros Tengah yang akan membawa politik baru ke Malaysia.

Pandangan umum, termasuk pandangan hati kecil sebahagian ahli Umno sendiri; jika tidak wujud tembok China dalam pemilihan, pasti mereka memiliki peluang untuk membuat satu pemilihan yang terbaik. Tidak semestinya mereka tidak akan memilih Abdullah Badawi. Apa yang penting mereka diberikan pilihan.

Arus politik akan terus berubah. Mungkin akan lebih menyebelahi Abdullah Badawi atau mungkin akan lebih menyebelahi Tengku Razaleigh. Semuanya berkemungkinan. Tetapi apa yang pasti ialah Anwar akan keluar dari penjara Sungai Buluh pada tahun 2008.

Ini bukan satu masa yang begitu lama untuk kita menunggu. Jadi, satu pencalonan dari Gua Musang itu boleh ditafsirkan sebagai satu tembakan permulaan untuk satu pertempuran yang lebih besar. Sementara menunggu lorong politik baru terbuka saya akan terus berkhayal, berangan-angan sambil ketawa.