Ops Nyah K Kinabalu tahan 50 warga asing
Seramai 32 warga Filipina dan 18 warga Indonesia ditahan dalam Ops Nyah Bersepadu di Kampung Inanam Laut dan Kampung Sinulihan Inanam, di Kota Kinabalu, malam tadi.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kesemua mereka dihantar ke lokap berpusat untuk tahanan dan siasatan.
"Dalam operasi selama lapan jam bermula pukul 11 malam tadi, sembilan individu turut ditahan kerana positif dadah dalam pemeriksaan ke atas 89 pendatang tanpa izin di dua kampung berkenaan," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Chandra berkata operasi itu akan dilaksanakan setiap minggu bagi membanteras masalah pendatang tanpa izin dan setinggan di bandar raya ini.
Beliau berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain itu membabitkan tujuh pegawai dan 200 anggota.
- Bernama

