Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) yang dianggotai penulis dan penggiat seni, kecewa dan gelisah dengan kecenderungan golongan agamawan, termasuk pengikut PAS yang menurut mereka telah melabelkan sewenang-wenangnya seseorang penulis atau pemikir sebagai 'menghina Nabi" atau "anti-Islam".

"Gejala serius takfir ini dengan mudah memesongkan agenda utama diskusi kepada isu-isu sensasi dan emosi. Ia dengan mudah menyerang dan menghancurkan peribadi penyampai idea atau pembicara, tetapi melupakan sama sekali persoalan serius yang cuba dibawa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KsJT mengulas demikian berikutan usul dua bahagian PAS Pahang bulan lalu, menggesa penulis dan pemimpin politik Khalid Jaafar 'memohon maaf' kerana mendakwa kenyataan beliau kononnya telah menghina Nabi dengan berkata "Nabi sama dengan DO Bukit Beruntung".

Khalid didakwa membuat kenyataan tersebut dalam majlis dialog "Masa Depan Politik Teologi" pada 17 Jun lalu anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) dan KAF. Khalid adalah pengarah eksekutif IKD dan Ketua Penerangan Keadilan.

Menurut KsJT lagi, kecenderungan tersebut nampaknya semakin mudah dan popular di mana dua tahun lalu (2002) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-Raja Melayu agar sejumlah penulis dan wartawan dikenakan tindakan.

"Hingga sekarang mereka masih berkempen dalam bentuk seminar-seminar memanjang-manjangkan isu-isu serpihan ini.

"Kami berasa tindakan sebegini bukan sahaja menajamkan perseteruan terhadap beberapa penulis itu, tetapi menyedut diskusi kepada hal-hal sensasi yang tidak ada kena mengena dengan isu-isu semasa yang jauh lebih besar dan relevan yang sedang melingkari umat Islam," tambahnya.

Tidak toleran

Sebaliknya, KsJT menyeru semua pihak agar kembali kepada disiplin akal rasional dan debat terbuka dengan mengupas persoalan pokok yang dibicarakan dalam dialog pada 17 Jun lalu itu dan menilai kenyataan Khalid dalam konteksnya yang jujur dan sebenar.

"Dan bukannya sikap keras, anti-akal dan anti-tamadun yang ditunjukkan oleh bahagian-bahagian PAS Pahang itu atau beberapa organisasi Islam beberapa tahun lalu.

"Tindakan bahagian-bahagian PAS di Pahang itu tidaklah terasing daripada sikap golongan ulama dalam parti itu yang menolak tulisan Dr Farish A Noor (dalam Harakah, 16-30 April 2004) kerana penyelidik ini dianggap 'menghina Nabi'.

"Sikap semakin tidak toleran yang ditunjukkan secara terang-terangan oleh sebahagian pendukung PAS ini sangat mengecewakan dan cerminan jiwa anti-reformasi yang cuba digerakkan di negara kita," tambahnya.

Sehubungan itu, KsJT bimbang, budaya 'suka menghukum', menyasarkan pokok persoalan, dan sikap jumud segelintir warga negara ini, akan hanya menutup diskusi menganggap agama hanya hak segelintir yang 'berkuasa'.

"Agama dijadikan diskusi khusus untuk segelintir manusia terpilih, seolah-olah amalan kepaderian dan tradisi Kristian asas yang mendorong lahirnya sekularisme di Eropah.

"KsJT tetap mendukung usaha-usaha ke arah 'kebebasan intelektual' seperti diskusi terbuka, serta laporan media yang tepat, profesional dan tidak berpihak," tambahnya.