Jatuh bangun Pak Din bersama reformis
Hari ini, genap 15 hari perginya seorang insan yang banyak berjasa. Kehilangannya itu secara tiba-tiba kuat terasa di kalangan teman-teman, apatah lagi ahli keluarganya.
Pada 26 April, awal-awal pagi kita dikejutkan dengan penahanan seorang aktivis hak asasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Badaruddin Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Din.
Beliau adalah mangsa ke-10 selepas kenalan-kenalannya ditahan antara 10 hingga 24 April lalu. Di kalangan reformis, Pak Din tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sejak siri-siri perhimpunan reformasi pada September 1998, Pak Din kelihatan di hampir semua perkumpulan orang ramai itu. Selepas perhimpunan itu pecah berderai dan babak-babak berkejaran, Pak Din turut berlari-lari memanggil mereka yang dipegang polis itu, "nama! nama!" Ada yang tidak faham. Mereka yang sedar akan menjerit memberitahu nama masing-masing dan ada kalanya nombor IC (kad pengenalan) dan nombor telefon.
Jika tidak sempat, Pak Din akan berkeliaran di tepi-tepi lori biru berjaring untuk mendapatkan nama-nama mereka yang ditahan itu. Kemudian nama itu akan dirujuk kepada ahli-ahli keluarga yang risau dan mencari-cari.
Sanak saudara tahanan mungkin tidak mengenalinya atau malah tidak mengetahui nama Pak Din tetapi kelibatnya - agak menonjol kerana usianya dan rambutnya yang beruban di sana-sini - sukar dilupakan sampai bila-bila. Itulah kegiatan Pak Din yang 'mengancam keselamatan negara' di balai-balai polis, yakni semata-mata mengurus reformis yang ditahan akibat perhimpunan 'haram' itu.
Beliau terpaksa menenangkan mereka dan memberikan sedikit sebanyak 'kaunseling' tindakan-tindakan selanjutnya. Ada yang mengucapkan terima kasih tetapi tidak kurang juga yang marah-marah. Nasiblah!
Bagi pemimpin negara yang takut pada jeritan rakyatnya sendiri, kegiatan Pak Din ini berbahaya dan boleh ditahan di bawah "akta keselamatan dalam negeri," lucu!
Pak Din selepas itu sekali lagi muncul dicelah-celah orang ramai di mahkamah (selalunya di Jalan Raja, Kuala Lumpur) untuk mengurus hal-ehwal guaman serta ikat jamin tahanan-tahanan tersebut.
Kerana simpati yang mendalam, Pak Din ada kalanya mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli sedikit minuman atau makan tengahari sementara seseorang tahanan dapat diikat jamin pada sebelah petang selepas dibawa pada sebelah pagi. Macam-macam ragam, banyak gelagat manusia - tetapi Pak Din terhibur. "Puas," itu katanya berkali-kali kepada kami.
Bengkak mata kanan
Kerana itu, Badaruddin Ismail, 56, yang dikurung ISA dikenali juga sebagai 'Pak Din Mahkamah' - maklumlah bukan seorang sahaja Pak Din di dunia ini. (Nota: Pak Din yang dimasukkan hospital selepas matanya cedera dalam perhimpunan di Lebuhraya Kesas bukan Pak Din yang kini ditahan di bawah ISA)
Itulah kegiatannya selama ini sehingga dilantik untuk menganggotai urusetia sebuah pertubuhan hak asasi tersohor, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) - bahagian dokumentasi dan pemantauan. Buat masa ini, beliau sedang menerbitkan dokumentasi tentang isu-isu keganasan polis ketika menangani perhimpunan di Lebuhraya Kesas, November tahun lalu.
Sebagai aktivis Suaram, Pak Din (foto: di belakang Lokman Noor Adam ketika dikerumuni polis) tidaklah ditangkap walau berada dalam kumpulan perhimpunan reformasi dan politik pembangkang. Namun, di peringkat awal beliau pernah ditahan dan dibelasah polis sehingga bengkak mata kanannya.
Waktu itu, Pak Din ditahan bersama adiknya dan foto kecederaan itu terpampang di muka depan sebuah akhbar harian utama beberapa hari selepas 24 Oktober 1998 - hari beliau ditangkap di Kampung Baru dan kemudiannya ditahan di Pulapol (Pusat Latihan Polis), Kuala Lumpur.
Selain bersama reformis, wartawan (termasuk Malaysiakini.com) dan aktivis pembangkang, Pak Din tidak keberatan menghulurkan bantuan kepada atau setidak-tidaknya menjenguk serta bertanya khabar mangsa-mangsa bencana alam. Pendek kata beliau berada di semua tempat! Dan Pak Din melakukan semua itu atas daya usaha sendiri tanpa dorongan atau peruntukan wang sebarang organisasi.
Ketika Pak Din bersama kami memantau orang awam - khususnya penyokong reformasi - yang ditahan polis dan mengesan mereka di balai-balai polis di sekitar Kuala Lumpur, gayanya memimpin lantang dan tegas tetapi terbuka dan prihatin. Kehilangannya kini sungguh terasa.
Sehingga ke hari ini, sudah dua minggu Pak Din ditahan dan kami masih tertanya-tanya justifikasi kerajaan mengurungnya di bawah ISA. Seorang tua (jika dibandingkan kami yang muda-muda) dan berjasa kepada orang ramai kini terpenjara akibat kegiatannya itu.
Bagi kami, penahanannya di bawah akta zalim itu sebagai ulangan detik-detik hitam dalam sejarah pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Cuma kali ini ISA membungkus seorang aktivis hak asasi itu sendiri (tahanan-tahanan lain terdiri daripada ahli politik, aktivis masyarakat dan penulis).
SAIFUL LIZAN pernah bertugas bersama Pak Din dalam 'kumpulan pemantau' bagi mengesan tangkapan polis dan membantu keluarga tahanan-tahanan perhimpunan aman menguruskan khidmat guaman serta ikat jamin.

